Pulau Pangkor cukup terkenal sebagai destinasi pelancongan namun begitu ada khazanah laut yang tidak diketahui ramai pemancing iaitu sotong mengabang.
Dengan kerjasama dan sokongan pelbagai pihak seperti Mohamad Fariz Mohamad Hanip (MPM), Rasli Ibrahim selaku tekong tersohor Pulau Pangkor, Azuddin Abas (Juara Tackle) dan Shafizul Abd Rahim dari Brotherhood Fishing Tackle, Rasengan melakukan eksperimentasi mengilat sotong mengabang atau lebih dikenali sebagai eging.
Dalam tempoh lapan bulan eging di kawasan berbatu tebing laut, menggunakan bot dan pesisiran pantai, Rasengan berhasil mendaratkan sotong mengabang pelbagai saiz.
Ini menunjukkan Pulau Pangkor kaya dengan taburan sotong mengabangnya. Secara tidak langsung eksperimentasi eging Rasengan berjaya di Pulau Pangkor.
Bagi pemancing yang inginkan aktiviti eging di Pulau Pangkor, peralatan pancing seperti joran lapan kaki digunakan dan kekili bersaiz 2500.
Tali jenis sulam 10 lb sebagai tali utama dan disambung dengan perambut kejutan 20 lb jenis fluorocarbon sepanjang dua meter sebagai penahan geseran pada batu karang.
Pemilihan saiz gewang untuk eging atau squid jig No. 2.0, 2.5 dan 3.0 adalah terbaik sepanjang bereksperimentasi di Pulau Pangkor.
Tetapi satu yang menarik sotong mengabang di pulau Pangkor walaupun bersaiz kecil (6cm) begitu rakus menghentam squid jig bersaiz No. 3.0.
Ternyata bukan saja Pulau Pangkor kaya dengan sotong mengabangnya tetapi tidak culas menghentam squid jig besar walaupun sotongnya bersaiz kecil.
Pemilihan warna squid jig yang sering disambar adalah merah jambu dan oren.
Eksperimentasi Rasengan menggunakan hampir 20 konsep warna squid jig bagi kesesuaian semua keadaan seperti awal pagi, tengah hari, petang, malam, mendung dan panas terik.