Pulau Pangkor cukup terkenal sebagai destinasi pelancongan namun begitu ada khazanah laut yang tidak diketahui ramai pemancing iaitu sotong mengabang.
Dengan kerjasama dan sokongan pelbagai pihak seperti Mohamad Fariz Mohamad Hanip (MPM), Rasli Ibrahim selaku tekong tersohor Pulau Pangkor, Azuddin Abas (Juara Tackle) dan Shafizul Abd Rahim dari Brotherhood Fishing Tackle, Rasengan melakukan eksperimentasi mengilat sotong mengabang atau lebih dikenali sebagai eging.
Dalam tempoh lapan bulan eging di kawasan berbatu tebing laut, menggunakan bot dan pesisiran pantai, Rasengan berhasil mendaratkan sotong mengabang pelbagai saiz.
Ini menunjukkan Pulau Pangkor kaya dengan taburan sotong mengabangnya. Secara tidak langsung eksperimentasi eging Rasengan berjaya di Pulau Pangkor.
Ads
Bagi pemancing yang inginkan aktiviti eging di Pulau Pangkor, peralatan pancing seperti joran lapan kaki digunakan dan kekili bersaiz 2500.
Ads
Tali jenis sulam 10 lb sebagai tali utama dan disambung dengan perambut kejutan 20 lb jenis fluorocarbon sepanjang dua meter sebagai penahan geseran pada batu karang.
Pemilihan saiz gewang untuk eging atau squid jig No. 2.0, 2.5 dan 3.0 adalah terbaik sepanjang bereksperimentasi di Pulau Pangkor.
Tetapi satu yang menarik sotong mengabang di pulau Pangkor walaupun bersaiz kecil (6cm) begitu rakus menghentam squid jig bersaiz No. 3.0.
Ads
Ternyata bukan saja Pulau Pangkor kaya dengan sotong mengabangnya tetapi tidak culas menghentam squid jig besar walaupun sotongnya bersaiz kecil.
Pemilihan warna squid jig yang sering disambar adalah merah jambu dan oren.
Eksperimentasi Rasengan menggunakan hampir 20 konsep warna squid jig bagi kesesuaian semua keadaan seperti awal pagi, tengah hari, petang, malam, mendung dan panas terik.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Setelah berehat hampir sebulan setengah di dockyard, selepas kembali dari Laut Andaman, Sea Splash kembali bergerak keluar dari muara Kuala Kedah. Namun kali ini Sea Splash kembali ke laut lepas dengan pelbagai pembaharuan. Segala kekurangan dan kelemahan pada Sea Splash telah diperbaiki dan dinaik taraf.
Bagi kejayaan dan kelancaran trip singkat ini, Dato Shukri telah mengundang beberapa orang tekong tersohor dari Kuala Kedah yang berpengalaman luas dengan lubuk-lubuk di sekitar Tukun Perak dan beberapa orang juruteknik yang mahir membaik pulih enjin dan pendawaian. Walaupun kesemua ahli trip percubaan pertama ke Tukun Perak melebihi 20 orang, namun ruang di Sea Splash masih selesa bagi menampungnya.
Sekitar jam 5 pagi barulah Sea Splash dapat berlepas ke Tukun Perak. Dengan jarak melebihi 80 batu nautika dari Kuala Kedah, dan dengan kelajuan 7-8 knot ia memakan masa lebih dari 10 jam untuk sampai.
Hampir separuh perjalanan bot terpaksa berlabuh di satu kawasan unjam berikutan mengalami sedikit masalah teknikal. Nampaknya gangguan teknikal ketika ke Burma Banks dahulu seperti mahu berulang kembali.
Sementara menanti juruteknik membaik pulih masalah yang dihadapi, dapatlah juga kami membuat sedikit warm up dengan berjigging. Namun lokasi tersebut bukanlah lubuk yang berpotensi. Tiada seekor ikan pun yang berjaya dinaikkan.
Jam 6 petang barulah kami tiba ke Tukun Perak. Sebaik saja sauh bot dilabuhkan dengan jarak lebih 200 meter dari sisi pulau, kelihatan gerombolan gerepoh atau GT boiling di bahagian hadapan pulau. Apa boleh buat… boleh tengok sajalah. Memandangkan bot sudah dilabuhkan, maka aktiviti memancing segera dilakukan.
Ada yang melabuhkan umpan dengan teknik dasar, ada yang berjigging dan saya pula bersama dua orang pemancing yang lain mengambil tempat di platform bahagian atas bot untuk popping. Dengan harapan gerombolan gerepoh dengan saiz kasar itu bergerak ke arah kami.
Tidak menunggu lama rakan yang memancing dengan cara jigging dan bottom menerima habuan masing-masing apabila umpan dan jig disambar tongkol dengan saiz anggaran 5-8 kilogram. Melihat pada hasil tersebut timbul pula rasa kesal kerana memilih untuk popping.
Ketika hampir berputus asa dengan usaha popping itu dua orang rakan yang turut popping di bahagian bawah bot menerima habuan berpenat lelah. Namun kedua-duanya berpihak kepada gerepoh apabila rabut ketika sedang bertarung. Sementara saya pula hanya sempat merasa sambaran namun tidak lekat. Setelah itu kelibat gerepoh hilang begitu saja.
Tukun Perak Waktu Malam
Bila malam menjelma saya lebih banyak jadi pemerhati kerana kesempitan ruang. Pemancing-pemancing bottom mengambil tempat masing-masing. Sesekali saja menyelit dengan mengaplikasikan teknik slow pitch jigging. Itu pun tak lama kerana arus agak laju yang menyebabkan jig digunakan mengganggu tali pancing pemancing lain.
Tambah pula struktur dasar berbatu dan berkarang membuatkan saya mengambil keputusan untuk gantung joran selepas seketul jig berkubur begitu saja.
Setelah mengisi perut saya terus masuk tidur sehinggalah terjaga sekitar jam 3 pagi apabila terdengar keriuhan pemancing mendaratkan ikan. Geram pula bila melihat ada pemancing yang berjaya mendaratkan ikan idaman jigging perlahan saya iaitu siakap merah.
Melihat pada lubuk yang agak berpotensi saya turut sama memancing dasar menggunakan set pancing jigging perlahan sehingga terbit matahari. Namun langsung tidak menerima sebarang getuan.
Apabila matahari mula menampakkan dirinya, salah seorang tekong mengambil keputusan untuk berhanyut mengelilingi pulau. Ia cukup menggembirakan kami para pengamal sport fishing. Keputusan yang bagus untuk mencari gerepoh dengan aksi popping.
Tekong yang berpengalaman itu merapati tebing pulang pada jarak yang selamat. Selepas dua kali mengelilingi pulau tanpa sebarang hasil, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menamatkan sesi memancing di Tukun Perak ini dan bergerak ke Pulau Payar dan memancing di tuas-tuas kepunyaan mereka.
Sungai Teluk Intan, Perak tidak asing bagi peminat jenggo atau udang galah sepit biru. Bagi penggemar tarikan gemalainya, sungai ini menjadi tumpuan pemancing kerana udang di sini yang bersaiz 200 gram ke atas.
Tenaga udang galah bersaiz mega ini sering kali menjadi dambaan kerana tarikannya yang padu dan mampu membuat pemancing tepuk dahi jika ia terlepas di pertengahan air.
Jenggo Club telah mengadakan satu program hujung minggu untuk memburu jenggo di sungai ini. Kata sepakat diambil dengan memilih jeti Pak Musa Batu 5, Teluk Intan sebagai jeti pilihan. Ini kerana ia berdekatan dengan R&R Batu 5, Teluk Intan dan berada di sebelah jambatan ke Sitiawan.
Bagi melancarkan acara, jawatankuasa penganjur Jenggo Club yang telah ditugaskan telah menyusun bot mengikut senarai nama penyertaan. Menariknya lagi tentang pancingan di sini adalah kadar sewa bot di sini mengikut saiz enjin berserta minyak dan harga yang dikenakan adalah berpatutan.
Untuk trip ini kami menggunakan 14 buah bot enjin 2 hp, 4 buah bot enjin 5 hp, 3 bot fiber besar dengan enjin 5hp dan sebuah bot besar beserta tekong.
Sebelum bermula, sedikit taklimat telah disampaikan, terutama peraturan dan juga aspek keselamatan serta dan bacaan doa agar segala-galanya berjalan lancar. Program bermula dari pukul 8.30 pagi dan masing-masing menuju ke lokasi pilihan mereka.
Tepat jam 5.30 petang semua peserta berkumpul semula ke jeti dan merekodkan hasil tangkapan. Rata-rata peserta berpuas hati dengan penganjuran kali ini dan Insyaallah di masa akan datang akan ada penganjuran yang lebih besar untuk ahli-ahli Jenggo Club. Semoga berjumpa lagi di event akan datang.
Selama ini apabila nama Sepayang (Kampung Sepayang atau Kampung Simpang Sepayang) disebut, saya hanya terbayangkan kisah-kisah kerakusan ikan toman membelasah jumpfrog atau softfrog. Empangan Sepayang sememangnya destinasi ramai kaki casting.
Tetapi tidak ketahuan pula bahawa Sungai Pontian yang merentangi Kampung Sepayang ini tersembunyi khazanah sungai yang turut diburu oleh ramai peminatnya. Rupanya banyak udang galah bermukim di Sungai Pontian.
Telah diketahui umum Kuala Rompin dinobat sebagai Bandar Layaran. Kejohanan Royal Pahang Billfish International Challenge yang dianjurkan saban tahun menjadi saksinya. Bersempena kejohanan yang sama juga, pihak Tourism Malaysia mengambil inisiatif untuk memperkenalkan kemeriahan memancing udang galah kepada pengamal media antarabangsa. Dan Sungai Pontian yang terletak dalam mukim Rompin menjadi padang pancing ujian.
Bertempat di salah sebuah pangkalan atau jeti Kampung Sepayang, yang sebenarnya lebih merupakan port parkir sampan, sebanyak 8 buah bot fiber berkapasiti 2-3 pemancing, dengan purata enjin 4-8hp bersama guide dan tekong sambilan sedia menanti untuk memberikan perkhidmatan. Malahan set pancing turut disediakan oleh pihak penyelia trip ini.
Dengan berumpankan cacing tanah dan jantung, tekong-tekong membawa kami ke beberapa spot menarik di sepanjang Sungai Pontian. Sekitar 15 minit menghilir Sungai Pontian, spot yang dipercayai lubuk jenggo segera diuji.
Beberapa sampan yang dinaiki oleh ahli trip yang terdiri dari pengamal media tempatan dan antarabangsa serta pihak Tourism Malaysia tidak menunggu lama untuk mendaratkan spesies yang diburu.
Hilir Sungai Pontian yang cantik persekitarannya, hijau airnya, lembut arusnya dan damai keadaannya ini bertukar suasana umpama berada di fiesta apabila semakin ramai pemancing yang berjaya menarik keluar jenggo dari lubuknya.
Menariknya, memancing udang galah di Sungai Pontian ini kebanyakan jenggo yang dinaikkan mendiami spot di pertengahan sungai terbuka. Sementara udang berstaus udang megi pula mudah dipancing di kawasan berhampiran tebing atau lubuk-lubuk di bawah pokok nipah.
Jantung ayam menjadi umpan pilihan utama jenggo. Biarpun lebih lambat menerima getuan dari berumpankan cacing tanah, hampir majoriti jenggo yang dinaikkan berumpankan jantung ayam.
Selesai sesi pagi, rombongan trip menjenggo ini kembali ke pangkalan bagi menikmati makan tengah hari yang disediakan oleh pihak penyelia.
Juadah istimewa jenggo dan ikan pelali celup tepung ternyatakan melalikan semangat sebahagian besar pengamal media antarabangsa untuk meneruskan sesi kedua menjenggo.
Hanya pengamal media dari negara China saja yang mula terkena getah tarikan si jenggo. Biarpun sekadar mendaratkan beberapa ekor udang saja, beliau seperti jatu cinta dengan keunikan pancingan udang galah.
Rumusan dari trip ini bolehlah disimpulkan bahawa Sungai Pontian berpotensi besar untuk dimasukkan dalam kalendar lokasi menjenggo bagi pecinta pancingan udang galah .
Dengan sedikit penaikan taraf jeti atau pangkalan, bot fiber dan servis pakej memancing, nescaya Kampung Sepayang dan Sungai Pontian akan menjadi destinasi utama kaki jenggo.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...