Keindahan Krabi tidak dapat disangkal lagi. Bagi yang pertama kali menjejak kaki ke sini memang sangat teruja. Keramahan penduduknya membuatkan kami terpaut hati untuk datang semula. Keindahan flora dan fauna di sekitar pantainya sungguh mendamaikan.
Sampai di jeti, tekong Sayan telah siap sedia menunggu kami bersama krew-krewnya Cheng dan Drogba. Apa yang menarik, pelbagai jenis teknik pancingan dapat dipraktikkan di lubuk-lubuk sekitar Laut Andaman ini.
Jigging, popping, trolling, drifting atau bottom, semuanya boleh belaka. Namun hasil perbincangan dengan tekong bot, satu resolusi telah dikeluarkan dengan teknik pancingan bottom pada siang hari manakala jigging pula pada waktu malam.
Keluar sahaja dari muka kuala kami terus melakukan trolling. Dua rod di kiri dan kanan dilengkapi set menunda Penn International serta Shimano Tiagra segera diturunkan dengan Rapala Redhead CD18 dan John Killers skirt.
Di tengah-tengahnya pula kami menunda bulu untuk mencari umpan tongkol segar. Bagi ikan pemangsa seperti tenggiri, wahoo dan tuna memang pantang melihat objek bergerak pasti disambarnya seolah-olah sedang kelaparan. Tundalah apa sahaja umpan tiruan pasti akan mengena.
Menurut tekong, stok ikan-ikan di sini sentiasa banyak tetapi bergantung juga kepada musim-musim tertentu. Spesies wahoo dan tuna banyak pada bulan Oktober hingga Disember. Spesies lain seperti ebek, cupak dan gerepoh juga banyak ketika itu.
Spot pertama kami di kawasan unjam yang dalam untuk aksi jigging. Biasanya banyak gerepoh dan tuna mengejar anak-anak ikan pada waktu senja. Ketika itulah sang gerepoh dan tuna keluar memburu mangsa. Rezeki kami memang banyak di sini. Bertalu-talu gerepoh dan tuna menyerang tanpa henti. Cuma saiznya sahaja kurang memberansangkan buat kali ini.
Basri, Rustam dan Faisol memang expert bermain jig di unjam seperti ini. Antaranya jig kegemaran mereka seperti Shimano, Shout, Runaway, Evergreen, Williamson, Ima Gun dan entah bermacam-macam nama lagi.
Saya pula lebih syok menggunakan jig murah White Rabbit, Siam Spoon dan Jig Raider yang berkilat berikutan trip yang lalu mendapat banyak sambaran rakus tuna dan gerepoh bagak.
Hari semakin gelap. Acara jigging terus rancak berlangsung. Pelbagai jenis tuna dapat ditewaskan tetapi saiznya masih belum memuaskan hati. Hairan juga entah ke mana monster-monster perairan Andaman ni. Masing-masing merungut tetapi masih tetap berjigging tanpa henti. Kami semakin resah dan geram apabila tekong menayangkan foto tuna dan gerepoh bagak milik pemancing Jepun pada trip yang lepas.
Tekong segera berpindah lubuk untuk meneruskan aksi jigging. Mengikut jadual, pagi-pagi esok kami perlu sampai di spot bottom jadi kami perlulah jigging sepuas-puasnya. Nampaknya spot ini tidak kurang hebatnya. Bertalu-talu cupak menyerang tanpa henti berselang-seli dengan sambaran ikan pisang.
Walaupun saiz cupak kurang membanggakan tetapi kerana kegelojohan gerombolannya menyerang membuatkan kami begitu enjoy. Kehadiran cupak yang banyak membantut usaha memerangkap gerepoh dan tuna.
Memang cupak lebih cepat menyambar jig sebelum gerepoh mengintai kelibat besi jig yang di unjun. Tapi itulah, memancing ni bukan boleh memilih sangat. Apa yang ada bedal saja.
Hari semakin larut namun acara jigging terus rancak berlangsung. Pelbagai jenis tuna dapat ditewaskan tetapi saiznya hanya boleh tahan. Awak-awak segera menyimpannya untuk dijadikan umpan pancingan dasar keesokan harinya. Aya kurik dan tuna skipjack bolehlah dijadikan umpan untuk ruby snapper dan kertang hitam.
Namun anak-anak dogtooth tuna dan yellowfin tuna kami korbankan malam itu juga. Spesies mahal macam ni takkan la nak dibuat umpan juga. Buat umpan perut lagi bagus dan berwasabilah kami sepuas-puasnya malam itu.
Pada keesokan harinya kami telah bersedia di lubuk dalam mencecah hampir 200 meter untuk sesi pancingan suka ramai. Masing-masing sudah ready dengan mesin bangla pelbagai jenis dan kekuatan antaranya Daiwa Tanacom Bull, Daiwa Megatwin, Shimano Tankenmaru, Banax Kaigen di samping Command X4 hinggalah ke Command X8.
Jelas kelihatan di skrin menunjukkan kedalamannya antara 150 hingga 220 meter. Menurut tekong, ruby snapper hanya menghuni lubuk-lubuk yang dalam dan sejuk. Selain itu terdapat juga kertang hitam menghuni lubuk yang sama. Manalah tahu, untung-untung kedua-dua spesies mahal ini berjaya didaratkan.
Setelah siren dibunyikan umpan terus dihulurkan laju ke bawah. Sekejap sahaja kami dihiburkan dengan asakan bertali arus daripada mangsa di bawah. Masing-masing bersorak apabila ruby snapper pertama mula menjamah umpan. Penggunaan kekili elektrik memudahkan lagi kerja-kerja ini.
Tekong dan awak-awak pula tidak kurang hebatnya apabila berjaya menaikkan beberapa ruby snapper di hadapan bot. Umpan sotong segar dan tongkol yang masih berdarah memang cepat menarik perhatian si ruby snapper.
Setelah tiga malam di perairan Andaman, ternyata masing-masing berpuas hati dapat memancing pelbagai spesies mahal terutama kepada yang mencapai target untuk menawan spesies idaman. Bagi kaki bottom kali ini lebih bagus berbanding dengan hasil jigging.