Taksonomi:
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Anabantiformes
Family: Osphronemidae
Genus: Trichopodus
Species: T. trichopterus
Synonyms
Labrus trichopterus Pallas, 1770
Trichogaster trichopterus (Pallas, 1770)
Trichopus trichopterus (Pallas, 1770)
Trichopus sepat Bleeker, 1845(ambiguous)
Stethochaetus biguttatus, Gronow, 1854
Osphremenus siamensisGünther, 1861
Nemaphoerus maculosus Kuhl & van Hasselt, 1879 (ambiguous)
Osphremenus insulatus Seale, 1910
Saya percaya semua orang apatah lagi pemancing mengenali apa itu ikan sepat. Bohong Namanya kalau tidak pernah mendengarnya. Ikan sepat merupakan sejenis ikan air tawar dari keluarga Osphronemidae yang terdapat di beberapa negara tropika termasuk negara kita.
Ikan sepat mempunyai beberapa spesies yang popular iaitu sepat Siam (Trichopodus pectoralis), sepat rawa (Trichopodus trichopterus), sepat mutiara (Trichopodus leerii) dan sepat kecil (Trichopodus microlepis).
Nama-nama tempatan lain sepat adalah seperti sepat sawah, sepat ronggeng, sepat biru, sepat sapek, sepat benua dan macam-macam lagi. Ikan ini telah digunakan sebagai sumber makanan yang dimakan dan juga merupakan spesies ikan yang sesuai untuk dijadikan ikan hiasan atau ornamental fish.
Ikan sepat merupakan sejenis ikan air tawar yang mudah didapati di kawasan sungai, anak sungai, tasik, kolam, lubuk dan sebagainya sama ada di kawasan air mengalir atau air statik.
Ikan yang berbentuk pipih ini mempunyai mulut yang kecil di hadapannya. Ikan ini mempunyai sepasang sesungut panjang dan beberapa sirip di bahagian sisi, di atas serta bawahnya. Ikan ini mempunyai sisik nipis yang bersusun senget dengan warna gelap dan agak keras.
Terdapat dua titik hitam atau black dot sama ada pada bahagian tengah badan atau bahagian belakang badan di kedua-dua belah. Titik ini merupakan tanda paling mudah untuk mengenali ikan sepat dalam air.
Struktur dalaman organ ikan sepat seperti juga jenis-jenis ikan gourami dan ikan haruan dan ikan puyu mempunyai labyrinth di ruang insangnya yang membolehkan ikan ini hidup walaupun di kawasan air yang kurang oksigen.
Ikan ini banyak terdapat di kawasan sawah padi dan juga dalam tali air sawah walaupun kerja pembajakan tanah, penggunaan racun dan air sawah dikeringkan pada setiap musim.
Dalam habitat semulajadi selalunya ikan sepat akan makan lumut, tumbuhan air dan anak-anak ikan kecil yang boleh dimasukkan ke dalam mulutnya yang kecil.
Ikan betina akan bertelur di bawah buih-buih putih di permukaan air yang tenang di mana ikan sepat jantan akan menjaga telur-telur tersebut sambil mempersenyawakannya. Setelah menetas lazimnya anak ikan sepat akan diasuh oleh sepat jantan sehingga anak ikan tersebut mampu mencari makan sendiri.
Ikan ini hidup secara berkumpulan dan akan timbul dipermukaan air untuk menyedut udara dan jika lokasi ikan sepat sangat padat maka akan banyak kelihatan ikan dari permukaan air. Walau pun ikan sepat tahan di lubuk yang kurang oksigen akan tetapi ikan ini mudah mabuk serta cepat mati apabila di luar dari air selepas ditangkap.