Mengenal Tabiat & Habitat Tenggiri!!

Share

 

Dengan ekor tirus bercabang, ia berkemampuan menujah pecutan renang mendahului kelajuan pemancing mengarau tali.

Ia biasanya menyerang mangsa pilihan dari semua arah kerana ada kes umpan hilang bahagian ekor saja, ada bahagian tengah dan sebilangan besar sasaran adalah bahagian kepala.

 

Tenggiri memotong mangsa seperti pisau amat tajam, mengonggong dan terus melarikan mangsa dengan pergerakan pantas.

Jangan perkecilkan kebolehan ikan ini berenang. Jika tidak ingin berputih mata jangan biarkan ia mendahului kita dan tali pancing hendaklah sentiasa tegang.

 

Kayuhlah sebeberapa laju kekili yang anda mampu ketika ia datang menyusuri arah anda. Ini bertujuan mengelakkan ia mengeleng kepala berulang kali dalam cubaan melepaskan mata kail di mulut.

 

 

baca juga rahsia speed jigging tenggiri

 

Inilah salah satu kelebihan buat tenggiri bagi menidakkan hasil buat pemancing. Tali kendur pula memberi peluang kepadanya memotong perambut tangsi dengan mudah. Ia akan melurut tangsi sebelum ‘zussss’ potong tanpa rasa lagi.

 

Tenggiri gemar menyambar mangsa dan terus melarikan umpan. Ia akan berpatah balik dan jarang berlawan bertentangan dengan pemancing.

Pergerakannya sempurna, padu dan senyap. Mengenal tabiat tenggiri secara mendalam sedikit sebanyak dapat membantu anda ketika berhadapan dengannya di padang pancing. Kalau tidak kita akan mudah dipermainkannya.

 

Mengesan Kehadiran

Bagi nelayan berpengalaman mereka dapat membaca kehadiran ikan tenggiri berdasarkan kepada faktor berikut; ikan apollo sering hilang bersama mata kail, kesan potongan ikan mangsa, cara mata pancing berumpan dirembat atau disambar.

 

Yang tidak pengalaman sukar untuk membezakan kesan gigitan ikan yu, alu-alu, tenok, mersuji dan tenggiri.

Jika diperhatikan, barisan gigi tenggiri lebih tersusun dan kedudukannya adalah selapis.

Berbanding dengan yu, kedudukan gigi tenggiri adalah berlapis-lapis dan kesan gigitan luaran lebih terserlah.

 

Potongan oleh tenggiri adalah cantik dan kelihatan kemas tidak seperti tenok atau alu-alu. Merujuk kepada ikan yang dibaham pemangsa di bawah air, nelayan dapat mengagak

kehadiran spesies berkenaan dan mereka tidak akan melengahkan masa melabuhkan perlatan tenggiri. Bijak membaca keadaan boleh membantu hasil tangkapan baik.

 

Selain itu peralatan sememangnya sudah tersedia dan tunggu saja bila-bila masa untuk di hulurkan ke bawah.

Bagi pemancing pula, bila kehadiran tenggiri dikesan, barulah terhegeh-hegeh ikat mata kail. Lambat tu! Jangan biarkan ikan berlalu begitu sahaja.

 

baca juga cara nak layan tenggiri

 

Lokasi Pilihan

 

Tiga tempat tumpuan utama tenggiri bermain iaitu di kawasan unjam, tukun dan atas kawasan karang.

Tenggiri di unjam biasanya bersaiz di antara 2kg hingga 5kg (tenggiri muda dan gelojoh dengan umpan), di kawasan tukun bersaiz antara 5kg hingga 10kgdan atas karang antara 8kg hingga belasan kilogram.

 

Walaupun spesies sama tapi tenggiri yang bermain di atas karang lebih dikenali tenggiri karang dan saiz puas hati.

Tenggiri ini tidak bergerak dalam kumpulan besar seperti mana geng anak muda di kawasan unjam. Boleh dikatakan taburan tenggiri adalah berselerak di Laut China Selatan dan berkelompok di Selat Melaka.

Tumpuan lebih ketara di lokasi dan tempat yang di sebutkan di atas.

 

Selat Melaka amat sukar menjerat tenggiri kerana ia banyak mendiami laluan kapal di tengah selat yang sempit. Aktiviti memancing adalah terlalu berisiko di lokasi berkenaan.

Pulau Pinang masih dikategorikan lubuk terbaik memancing tenggiri selain di Tuas Kedah. Untuk hasil lebih besar Pulau Pangkor mempunyai potensi terbaik mendapatkan skala lebih dari 8kg.

 

Ikan ini terlepas dari aktiviti memukat tenggiri yang di lakukan di kawasan Pulau Pinang dan bergerak turun ke kawasan perairan Perak. Namun jumlah tenggiri batang di perairan Pangkor turun dengan mendadak!

 

Secara lazimnya teknik menunda adalah jalan paling mudah menjerat tenggiri, tapi dari segi perlawanan ia tidak sehebat mana kerana waktu ini tenggiri sudahpun lemah akibat tundaan.

Pemancing tidak dapat merasa kekuatan sebenar ikan pantas berenang ini. Kalau ingin merasa daya juang tenggiri sebenar teknik mengumpan adalah cara terbaik.

 

Saya mula tertarik memancing tenggiri dengan kaedah tradisional di mana ia benar-benar menguji ketabahan dan kecekapan pemancing.

Ia juga boleh mengajar pemancing bersedia, mengasah bakat dan mengunakan segala pancaindera termasuk deria rasa melalui sentuhan tali pancing.

 

Bagi saya tenggiri adalah ikan bijak, jadi kita perlu berilmu untuk menewaskannya. Ini berdasarkan kepada para nelayan yang memancing tenggiri banyak bergantung kepada kecekapan.

10 ekor hasil seharian dianggap cukup bernasib baik dengan mengunakan kederat tulang empat kerat.

(Oleh: Pokmud’s)

baca juga 4 spesies tenggiri

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Published by
Amang