Ikan terubuk adalah sejenis ikan pelagik yang hidup di perairan Selat Melaka, Selatan Borneo dan Teluk Bengal. Ikan terubuk banyak subspesies.
Ikan terubuk Sarawak adalah lebih kecil daripada terubuk yang ada di perairan Indonesia. Percaya atau tidak, salah satu spesis terubuk akan mula mengawan pada musim monsun di kawasan teluk dan akan bertelur di hulu sungai yang berair tawar.
Fenomena ini berlaku di Bangladesh apabila selepas musim monsun (banjir) penduduk bangladesh akan menangkap ikan terubuk di kawasan-kawasan sawah dan sungai-sungai air tawar. Di Sarawak, ikan terubuk mempunyai tiga jenis iaitu terubuk sungai, terubuk laut dan terubuk yang diimport dari Bangladesh, Myanmar dan India.
Keseluruhannya, terdapat 30 jenis spesies ikan terubuk yang terdapat di seluruh dunia. Ikan terubuk tropika ialah yang dikenali dengan nama saintifiknya (genus) Tenualosa.
Daripada jumlah itu, lima daripadanya ialah genus Tenualosa iaitu Tenualosa iliasa, Tenualosa macrura, dan Tenualosa toli. Kesemua jenis Tenualosa toli merupakan terubuk laut.
Populasi terubuk sungai Sarawak semakin merosot dan akan pupus dalam masa terdekat jika tiada langkah pemuliharaan dilakukan dengan segera.
Pendek kata, terubuk Sarawak memang amat popular terutama di kalangan pelawat dari Semenanjung, Sabah dan Brunei Darussalam, yang menjadikannya buah tangan wajib apabila berkunjung ke bumi kenyalang ini.
Populariti terubuk ini berkait rapat dengan hakikat ikan itu sudah lama pupus dari sungai di Semenanjung tetapi di Sarawak spesies ikan bertulang banyak itu masih boleh diperoleh terutama pada musim terubuk bertelur antara Jun hingga Oktober.
Bekalan terubuk tempatan boleh didapati di Sungai Lupar (Lingga dan Sebuyau dalam Bahagian Sri Aman), selain di Sungai Saribas (Pusa, Beladin dan Maludam di Bahagian Betong) dan Sungai Lassa (Teba’ang dan Daro di Bahagian Mukah).
Bagaimanapun, berbeza dengan mudahnya terubuk itu dibeli, hakikatnya, terubuk tempatan kian terhad dan sukar diperoleh yang disebabkan usaha kerajaan mengawal tangkapan ikan yang kian pupus dengan menghadkan kegiatan menangkap ikan terubuk. Semua ini demi membolehkan spesies ini membiak.
Biarpun bilangannya terhad, ramai peraih yang masuk ke kawasan berkenaan setiap kali musim terubuk untuk membeli bekalan yang terhad itu secara borong dan mengeksportnya ke luar negara terutama Singapura.
Tidak hairanlah harga ikan terubuk tempatan bertelur kini boleh mencecah antara RM36 hingga RM45 sekilogram berbanding sekitar RM28 sekilogram satu ketika dulu.
Ada dua jenis terubuk di Sarawak iaitu terubuk laut atau Tenualosa macrura yang boleh dikenali dengan fizikal bermulut kecil, bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil dan badan lebih gemuk.
Terubuk sungai Tenualosa toli mempunyai muncung atau mulut lebih besar dan panjang yang juga dikenali sebagai Terubuk Sarawak di kalangan penduduk negara ini.