Mempunyai dua tulang tebal dibahagian pipi, sirip dorsal cembung di atas warna kekuning dibahagian sirip dan hujung ekor. Badan berwarna silver dan kekuningan di bawah perut terutama selepas di bawah garis lintang hidup.
Nama tebal pipi mungkin adalah satu nama spesies yang jarang didengar di kalangan pemancing baru. Apatah lagi bagi pemancing terus memilih teknik jigging di laut luas dan tidak pernah mencuba pancingan muara dan estuari.
Saya sendiri pada awalnya agak sukar untuk membayangkan rupa spesies ikan yang dikatakan mempunyai pipi tebal ini. Saya tidak dapat bayangkan sebesar manakah pipi yang dikatakan tebal atau muka yang dipanggil ‘tembam’ atau pipi yang montel. Kerana sifat pipinya maka ikan ini mendapat namanya.
Tebal pipi mempunyai bahagian insang membengkak dan tulang pipi menonjol keluar, badan berwarna silver dan kekuningan dibahagian bawah terutama sirip dan ekor, kombinasi warna badan lebih cantik dari gerut-gerut, mempunyai tompok-tompok bintik hitam di bahagian atas serta badannya lebih gempal.
Ikan tebal pipi atau javelin grunt / long head grunt dalam panggilan antarabangsa dan nama saintifiknya Pomadasys kaakan
boleh dipancing sepanjang waktu namun ia lebih senang dicari pada bulan November hingga April. Berdasarkan pengalaman saya ia adalah waktu yang paling baik untuk memperoleh spesies ini.
Tebal pipi boleh ditemui di kedalaman air sehingga 60 meter. Muara sungai dan pesisir pantai yang dalamnya lebih dari 10 meter juga menjadi pilihan spesies yang mempunyai pipi kiri dan kanan yang tebal dan keras ini.
Jarang didengar ia berjaya dipancing pada kedalaman kurang dari 3meter kerana sifat ikan tebal pipi ini gemar kepada air yang lebih dalam.
Sekiranya kualiti air bersih atau jernih di kawasan dasar, warna terutama di bawah perutnya lebih kuning dari bahagian badan yang lain kerana sisik yang bertindak balas dengan air persekitaran.
la lebih gemar kepada kawasan dasar berpasir dan kadang kala merayau di kawasan batu karang kecil atau berkelompok kecil di kawasan berpasir sesuai dengan tabiatnya mencari makanan di dasar. Dipercayai, spesies ini lebih banyak terdapat di Pantai Barat semenanjung.