Bagi pemancing muara sejati, pasti tidak akan terlepas dengan kelibat ikan kitang. Setiap kali menjala udang, kitang tidak dapat lari dari terperangkap. Ramai yang tidak suka apabila kitang tersangkut pada jala kerana silap hari bulan tersusuk durinya boleh terencat kacau seketika aktiviti menjala. Bisa kitang walaupun anak memang pedih.
Dahulunya ikan ini tiada harga sama sekali, kini semua sudah berubah. Kitang tidak lagi segan untuk berada di atas lantai simen pasar ikan. Ada peminat yang gemarkan ikan kitang dan tahu cara terbaik menikmatinya.
Pemancing pula perlu tahu cara terbaik menjinakkannya. Ikan ini juga dibela oleh segelintir penternak ikan sangkar sebagai `pencuci jaring sangkar’ manakala ikan jurvenil pula dijadikan ikan hiasan akuarium.
Badan leper melebar berwarna hijau kekuningan yang lazimnya lebih terserlah ketika kecil. Badan bertompok-tompok hitam bulat hampir serata badan. Juvenil berwarna hijau kekuningan dan berubah kepada hijau gelap apabila meningkat pembesaran.
Bahagian kepala membongkok sedikit. Bermulut kecil dan bergigi halus. Ekornya melebar tegap. Boleh membesar sehingga 38cm. Saiz ini melebihi berat sekilo dan selebar dulang!
Saiz purata yang dijumpai di kawasan perairan negara ialah 15 hingga 20 cm atau lebih mudah selebar tapak tangan dewasa.
Ikan ini tidak bersisik tetapi memiliki kulit yang kesat serta keras. Sirip dorsal dan sirip pelvik adalah keras dan tajam. Duri-duri yang terdapat di atas dan bawah badan mempunyai bisa seperti ikan duri. Mangsa akan merasa panas apabila tercucuk duri atau sengat ikan ini.
Ramai pemancing yang tidak tahu di mana sengat kitang dan sering terkena ketika cuba memegang seperti mana ikan-ikan lain yang tidak berbisa. Kesannya mungkin akan berpanjangan lebih dari 20 minit atau lebih mengikut daya tahan seseorang itu.
Gemar bermain di kawasan permukaan air. Mudah dijumpai di kawasan muara dan sungai terutama di tepian sangkar ikan, kelong, tiang jambatan dan objek-objek terapung lama termasuklah bot atau tongkang yang berlumut di bawahnya di mana kawasan ini semuanya menyediakan sumber makanan iaitu algae, lumut, rumpai serta krutesia kecil.
Selain itu kitang yang hidup di sepanjang sungai adalah penunggu tidak setia tandas awam. Najis manusia juga adalah sebahagian dari diet ikan kitang ini.
Walaupun ia dikatakan ikan muara kitang juga dijumpai di Samoa, Tonga, Fiji, Selatan Jepun, India dan Bangladesh tentu sekali banyak sesuai dengan kawasan tumpuan utama ikan muara kulit liat ini. Di negara kita kitang boleh ditemui di hampir serata sungai dan muara.