Mengenal Spesies Haruan Dan Kehebatannya!!

Share

 

Bagi spesies haruan, pola taburan spesies ikan ini banyak tertumpu di kawasan Asia Tenggara termasuklah dari Lembah Sungai Mekong dan Chao Phraya hingga ke Semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatera. Terdapat juga kehadiran spesies ikan ini di kawasan Eropah namun dipercayai sebagai spesies ikan asing.

 

Di Malaysia, tidak sukar untuk menemui spesies ikan haruan. Spesies ini boleh ditemui di hampir kebanyakan kawasan berair tawar dan payau. Malah ikan ini juga boleh ditemui dalam hampir kebanyakan punca air kerana tolenrasi survival haruan sangat tinggi. Ikan haruan mempunyai kadar survival yang tinggi lantas tidak sukar baginya untuk memilih habitat.

 

 

Dari sungai, sawah padi, terusan, tali air, bekas lombong, paya, kolam tadahan hinggalah ke kolam terbiar kita boleh menemui spesies ini. Walaupun spesies haruan merupakan merupakan ikan air tawar, namun kita masih boleh menemui ikan ini di perairan air payau. Ini menunjukkan spesies haruan juga mempunyai kadar tolenrasi saliniti yang agak tinggi walaupun tidak hidup di air masin.

 

Spesies haruan juga merupakan spesies ikan pemangsa yang mana tarikan agresifnya membuatkan ia diburu oleh kaki pancing. Terdapat dua cara pancingan haruan yang popular iaitu menggunakan umpan hidup ataupun umpan tiruan. Bagi istilah umpan hidup, umpan yang popular digunakan adalah katak, anak ikan, cicak, cacing, udan sungai atau cengkerik.

 

Katak merupakan umpan semulajadi yang paling popular. Penggunaan katak boleh dilakukan dengan teknik merendam, unjunan atau pun mengilat (casting). Bagi peminat mengilat (casting) umpan tiruan, pancingan haruan merupakan sesuatu yang menyeronokkan.

 

 

Justeru muncul pelbagai jenis, rupa, bentuk, nama, istilah dan variasi umpan tiruan sama ada diperbuat daripada kayu, getah, metal, plastik dan sebagainya. Katak rambutan, spinnerbait, jump frog, soft frog, gewang minnow, gewang permukaan, soft plastik dan sesudu metal merupakan gewang atau umpan tiruan yang boleh digunakan untuk memburu spesies haruan ini.

 

Tidak dinafikan juga, antara punca mengapa haruan kerap diburu (selain rekreasi perikanan dan untuk sumber protein) adalah nilai perubatan yang tinggi yang terdapat dalam daging ikan ini.

Secara umumnya, haruan telah terbukti fungsi dan keberkesanannya dalam mengubat luka-luka dalaman terutama kepada wanita selepas bersalin dan selepas pembedahan.

 

 

Hasil penyelidikan juga mendapati dagingnya mengandungi asid arachidonic yang mampu menyembuhkan luka dalaman dengan cepat di samping kaya protein serta asid amino yang diperlukan untuk pertumbuhan badan. Bahkan, ia juga dikatakan mampu menyembuhkan luka selain meredakan penyakit berkaitan kulit seperti radang, gatal-gatal dan sebagainya.

Published by
Amang