Gelama pisang berwarna perak dikenali nama saintifik Panna microdon dan kuning keemasan dan cantik dikenali dengan nama Chrysochir Aureus. Jika diperbandingkan kedua-dua ini hanya jelas berbeza dari segi warna sahaja, yang lain hampir sama kelibatnya. Purata saiz kurang dari 25 cm dan manakala purata berat dari 5 hingga 10 ekor sekilogram.
Mat Saleh memanggilnya spesies ini sebagai croaker kerana bunyi yang dikeluarkan seperti `krook’ berulang kali sebaik sahaja dinaikkan dari air. Tidak semua spesies gelama mengeluarkan bunyi yang kuat di dalam air. Bunyi ini bukan saja dapat didengar di luar malah di dalam air.
Bunyi inilah yang dikesan oleh juruselam atau nelayan berpengalaman bagi menjalankan aktiviti menjaring.
Tidak semua gelama mengeluarkan bunyi yang jelas di dalam air. Gelama Pisang adalah salah seekor gelama yang kuat bunyinya walaupun bersaiz kecil. Paling kuat adalah ibu gelama yang boleh kita dengar walaupun berada di atas air sedalam 40 kaki. Bunyi juga boleh menentukan saiz, jenis dan besar kumpulan ikan ini di bawah air.
Ikan ini dikatakan adalah jenis hidupan marin (laut) tapi kebanyakan boleh ditemui di kawasan muara sungai. Hampir keseluruhan spesies gelama tertumpu kepada kawasan dasar berpasir, lumpur, berselut pada bahagian dasar untuk mencari makanan. Ia mudah diperolehi di kawasan muara dan jarang berada di kawasan batu karang.
Ia juga di dapati berkongsi laluan dan habitat bersama ikan tirusan (gelama besar), selampai (spesies gelama besar seperti tirusan tetapi lebih kurus memanjang), gelama papan, pari tanjung, tetuka, kurau dan duri malim. Ini berdasarkan andaian saya pada spesies yang turut sama di naikkan di lubuk yang sama ketika memburu gelama pisang.
Begitu pun kebanyakan pencarian saya untuk gelama pisang tertumpu kepada lubuk 40 kaki ke atas dan asas berpasir di Pelabuhan Klang.
Warna sisik gelama pisang yang dipancing jelas menunjukkan ia sentiasa berada di lingkungan air jernih. Warnanya kekal kuning keemasan dan keperakan. Sisik gelama pisang sentiasa berkilau amat cantik di pandang. Saya jarang dapat gelama ini di kawasan cetek (lubuk yang boleh di pancing ketika air pasang sahaja).
Gelama pisang secara keseluruhan adalah spesies yang berkelompok dan bergerak secara berkumpulan sederhana . Ini berdasarkan pengamatan saya. Jarang sesekali ia menyerang umpan secara berterusan. Aktif ketika hujung surut sehingga pertengahan air pasang. Cara ia melawan pancing amat seronok dinikmati bersesuaian dengan kelas peralatan yang digunakan.