Mengenal Profil Ikan Mempinang

Share

 

Taksonomi

Kingdom: Animalia

Phylum: Chordata

Class: Actinopterygii

Order: Perciformes

Family: Lethrinidae

Genus: Lethrinus

Species: L. nebulosus

Binomial name: Lethrinus nebulosus (Forsskål, 1775)

 

 

Nama Inggeris: Spangled Emperor

Nama lain: Ketambak, landuk sisik putih

Ciri fizikal: Mempunyai warna merah pada bahagian pipi dan warna oren di lelangit mulutnya. Sisiknya keras dan bercorak seperti warna karang.

Diet: Ikan kecil, moluska & krustasea

Habitat: Dasar berkarang, kawasan tukun batu karang

Saiz: Maksimum 80cm namun spesimen biasa ditemui 20-25cm.

Taburan: Selatan Jepun hingga Autralia, Lautan Hindi dan kepulauan Solomon. Sabah, pantai timur dan utara Semenanjung.

 

 

Mempinang adalah yang paling mudah dikenali di kalangan keluarga ikan yang bergelar maharaja atau emperor fish ini berpandukan pada warna merah yang terdapat pada pipi. Bibirnya tebal dibarisi permukaan kasar di hadapan bahagian mulut.

 

Warna kulitnya bercampur-campur, di mana warna kemerahan pada bahagian atas badan dan sirip dorsal pertama. Pangkal ekor agak tegap dan padu untuk memberi daya seimbang kepada ekor bercabang besar. Lelangit di dalam mulut berwarna merah/oren dan bahagian mulutnya agak keras.

 

Landok (longface emperor), seroncheng (starry pigface emperor), assoh (thumbprint Emperor atau Lethrinus harak) adalah ikan yang sekeluarga dengan mempinang.

 

 

Terdapat 5 jenis mempinang yang ditemui di perairan tempatan. Tapi saya hanya menemui 4 jenis sahaja sehingga artikel ini ditulis. Keempat-empat jenis ikan ini adalah ikan karang yang biasanya aktif pada waktu malam. Boleh ditemui di dalam kawasan yang sama (bercampur) dan memiliki diet dan tabiat yang hampir sama.

 

Ikan Mempinang seperti mana ratusan ikan karang yang lain mudah ditemui di perairan yang mempunyai karang di dasar pada kedalaman 20 kaki hingga 140 kaki. Tidak kira gugusan karang tersebut besar (terumbu karang) malah ikan karang ini didapati meronda di kawasan pantai atau perairan yang mempunyai tompok-tompok karang kecil (spot reef).

 

 

Waktu siang banyak dihabiskan dengan berehat di celah-celah karang dan mundar-mandir di kawasan sekitar tidak keluar dari gugusan karang. Rondaan pada sebelah malam pula agak luas di mana kawasan perairan cetek (pantai) juga dijajahi ketika memburu makanan.

 

Namun ia jarang dijumpai mendiami kawasan tukun kapal maupun tukun tayar. Lokasi yang paling digemari ialah jenis karang bercampur antara tanah keras, karang lembut (soft coral) dan jenis karang keras.

 

 

Taburan tempatan untuk ikan pipi merah ini lebih ketara di sebelah Pantai Timur dan Malaysia Timur, terutama Sabah. Di Semenanjung pula lubuk terbaik memburu ikan ini ialah di sebelah Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Dayang dan Pulau Tinggi. Karang Emas di Johor, Pulau Tioman, Karang Luas, Karang Tinggi di Pahang dan gugusan Pulau Redang, Pulau Bidung, Pulau Karah dan Pulau Yu di Terengganu.

 

 

Sepanjang pengalaman saya memancing di perairan semenanjung, kawasan taburan batu karang di sepanjang pantai timur lebih produktif untuk memperolehi ikan ini berbanding di sebelah pantai barat. Kadang kala tangkapan hasil didominasi ikan mempinang berbanding ikan lain. Sebaliknya di sebelah pantai barat yang lebih tertumpu kepada keluarga Lutjanis atau jenahak dan siakap merah.

Published by
Amang