Mengenal Perilaku Tenggiri Setelah Menyambar Umpan

Share

 

Ikan tenggiri biasanya akan menyerang mangsa berdekatan dari semua arah. Ini dapat dikesan kerana ada kes umpan hilang bahagian ekor saja, ada bahagian tengah dan sebilangan besar sasaran adalah bahagian kepala. Dengan ekor tirus bercabang, ia berkemampuan menujah pecutan renang mendahului kelajuan pemancing mengarau tali.

 

Kemampuan tenggiri memotong mangsa seperti pisau amat tajam, mengonggong dan terus melarikan mangsa dengan pergerakan pantas. Jangan perkecilkan kebolehan ikan ini berenang. Jika tidak ingin berputih mata jangan biarkan ia mendahului kita dan tali pancing hendaklah sentiasa tegang.

 

 

Kayuhlah sebeberapa laju kekili yang anda mampu ketika ia datang menyusuri arah anda. Ini bertujuan mengelakkan ia menggeleng kepala berulang kali dalam cubaan melepaskan mata kail di mulut. Inilah salah satu kelebihan buat tenggiri bagi menidakkan hasil buat pemancing. Tali kendur pula memberi peluang kepadanya memotong perambut tangsi dengan mudah. Ia akan melurut tangsi sebelum ‘zussss’ potong tanpa rasa lagi.

 

 

Tenggiri gemar menyambar mangsa dan terus melarikan umpan. Ia akan berpatah balik dan jarang berlawan bertentangan dengan pemancing. Pergerakannya sempurna, padu dan senyap. Mengenal tabiat tenggiri secara mendalam sedikit sebanyak dapat membantu anda ketika berhadapan dengannya di padang pancing. Kalau tidak kita akan mudah dipermainkannya.

 

Published by
Amang