Ikan tenggiri biasanya akan menyerang mangsa berdekatan dari semua arah. Ini dapat dikesan kerana ada kes umpan hilang bahagian ekor saja, ada bahagian tengah dan sebilangan besar sasaran adalah bahagian kepala. Dengan ekor tirus bercabang, ia berkemampuan menujah pecutan renang mendahului kelajuan pemancing mengarau tali.
Kemampuan tenggiri memotong mangsa seperti pisau amat tajam, mengonggong dan terus melarikan mangsa dengan pergerakan pantas. Jangan perkecilkan kebolehan ikan ini berenang. Jika tidak ingin berputih mata jangan biarkan ia mendahului kita dan tali pancing hendaklah sentiasa tegang.
Ads
Kayuhlah sebeberapa laju kekili yang anda mampu ketika ia datang menyusuri arah anda. Ini bertujuan mengelakkan ia menggeleng kepala berulang kali dalam cubaan melepaskan mata kail di mulut. Inilah salah satu kelebihan buat tenggiri bagi menidakkan hasil buat pemancing. Tali kendur pula memberi peluang kepadanya memotong perambut tangsi dengan mudah. Ia akan melurut tangsi sebelum ‘zussss’ potong tanpa rasa lagi.
Ads
Ads
Tenggiri gemar menyambar mangsa dan terus melarikan umpan. Ia akan berpatah balik dan jarang berlawan bertentangan dengan pemancing. Pergerakannya sempurna, padu dan senyap. Mengenal tabiat tenggiri secara mendalam sedikit sebanyak dapat membantu anda ketika berhadapan dengannya di padang pancing. Kalau tidak kita akan mudah dipermainkannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Memancing spesies pacu mampu mendatangkan debaran yang agak mengujakan. Rata-rata pemancing di Malaysia mengetahui akan kelebihan tersendiri bagi spesies ini. Kerakusan dalam melarikan umpan serta pecutan berkuasa tinggi spesies ini mampu menghadirkan kepuasan yang tdak terhingga kepada pemancing, malah tidak kurang juga mendatangkan kehampaan bagi pemancing yang memandang remeh akan spesies ini.
Antara lokasi terbaik memancing pacu ialah di kawasan empangan yang agak cetek, kawasan lombong serta kawasan tadahan hujan yang berarus perlahan. Selain itu, pengusaha kolam-kolam pancing air tawar komersial juga menjadikan pacu antara spesies yang mesti ada di dalam kolam mereka. Kelebihan utama pada spesies pacu ialah kerakusan ketikan memakan umpan lantas akan membuat pecutan yang deras.
Penggunaan rod ringan akan memberikan debaran tatkala melihat rod yang melengkung serta kekili anda menjerit biarpun drag dikunci ketat.
Perlawanan dengan spesies pacu atau tambaqui ini lebih terbuka. Pemancing harus tahu kelebihan yang dimiliki oleh pacu iaitu kekuatan pecutannya serta giginya yang tajam di mana sering kali memutuskan perambut. Ketika dalam pertarungan, pacu gemar menghenjut rod anda dan melakukan pecutan berkuasa ke arah kawasan tebing yang mempunyai struktur seperti kayu mati. Namun, oleh kerana habitat pacu biasanya kawasan berair cetek, penggunaan kekuatan drag dan rod yang betul mampu mengekang situasi ini.
Begitupun, pacu masih mempunyai kelebihan pada keupayaan giginya untuk memutuskan perambut anda. Perambut kekuatan 30lb biasanya mudah sahaja diputuskan oleh seekor pacu bersaiz 1 kg. Jadi pastikan anda menggunakan perambut yang bersesuaian dengan keadaan padang pancing anda.
Selain itu, untuk mendapatkan sedikit kelebihan dalam menangani kelebihan gigi pada seekor pacu ialah anda menggunakan mata kail yang mempunyai shank yang panjang. Shank yang panjang sedikit sebanyak mengurangkan peratus gigi pacu berada pada perambut anda, sebaliknya akan berada pada shank mata kail anda ketikan tertancap pada mulut pacu, seterusnya mengurangkan kadar tali perambut anda diputuskan oleh spesies rakus ini.
Pacu juga menjadi antara spesies ikan yang digemari oleh kaki pancing layang. Aksi rakusnya setelah membaham fly yang dilontarkan memberikan kepuasan yang sukar digambarkan.
UMPAN DAN TEKNIK UMPAN MEMANCING PACU
Antara faktor penting dalam memancing ialah pengaturan umpan anda. Dalam memancing spesies pacu pula, tidak terlalu sukar dalam mengatur langkah menyediakan umpan kerana spesies ini merupakan spesies maserba yang memakan apa sahaja.
Bagi pacu bersaiz kecil, umpan cacing yang merupakan antara umpan terbaik. Pacu yang bersaiz kecil cukup gemar meratah umpan cacing yang juga menjadi umpan universal di kalangan kaki pancing. Selain cacing, umpan organ dalaman haiwan seperti perut dan hati ayam juga merupakan umpan yang terbaik untuk memancing pacu. Kulit dan lemak ayam juga boleh digunakan dan tidak mustahil mampu menggoda pacu bersaiz besar.
Selain itu, udang yang dikopek kulit juga antara menu umpan yang anda boleh cuba. Udang kopek yang dicangkuk seekor pada mata kail juga mudah untuk menarik perhatian si peragut rakus ini.
Umpan dedak, pellet atau roti pula merupakan alternatif lain yang anda boleh gunakan. Kebiasaannya umpan sebegini perlu ‘dirasuah’ terlebih dahulu untuk menarik perhatian sebelum umpan sebenar dilontarkan.
Teknik umpan bagi memancing pacu pula tidak sukar. Anda boleh menggunakan teknik pelampung, teknik dasar atau separa air bergantung kepada situasi padang pancing anda. Biasanya teknik pelampung lebih berkesan dengan umpan perut atau kulit ayam, pellet dan
roti manakala teknik dasar lebih tertumpu kepada umpan hati ayam dan cacing. Apa pun bergantung kepada usaha anda dan keadaan padang pancing, sedikit pemerhatian pasti akan membantu anda dalam pemilihan umpan dan teknik yang perlu digunakan. Jangan lupa untuk sering bersedia ketika si peragut akuatik ini melarikan umpan anda.
Ikan layaran menjadikan ikan kecil dan sotong sebagai diet utama. Ikan layaran biasanya boleh ditemui di permukaan air secara berkumpulan ketika memburu mangsanya. Biasanya spesies ini menggunakan kelajuan renangan dan paruhnya ketika memburu kawanan ikan kecil atau sotong.
Ketika memburu, sirip atau layar ikan layaran akan dinaikkan dan mengembang bagi mengekalkan mangsanya dalam kawanan. Selain itu, layar pada badannya akan diturunkan ketika berenang dalam keadaan normal. Namun jika terasa dirinya terancam atau memburu, layar ini dibuka menjadikan ia kelihatan lebih besar daripada biasa.
Dalam konteks pancingan sukan, ikan layaran merupakan antara ikan berparuh yang bernilai tinggi dan digelar ikan trofi. Ikan ini dianggap ikan trofi kerana kelajuan renangannya. Kemampuan memecut sehingga 100 meter dalam masa 4.8 saat membuatkan ramai pemancing mahu merasakan penangan raja pecut lautan ini.
Selain itu, ketika melarikan mata kail, ikan layaran berkemampuan membuat aksi lompatan akrobatiknya ketika pertarungan. Aksi akrobatiknya kelihatan seolah-olah ikan ini menari-nari di permukaan air. Layarnya yang terbuka ketika bertarung menambahkan lagi keterujaan kepada pemancing.
Ikan layaran tidak mendapat permintaan tinggi sebagai makanan, mungkin kerana rasa dagingnya yang kurang sedap dan agak liat. Begitu pun, terdapat juga permintaan sebagai sushi dan sashimi dalam peratusan yang kecil di beberapa buah negara. Populasi ikan layaran dalam keadaan stabil dan tidak ada status khas yang kritikal bagi spesies ini.
PANCINGAN IKAN LAYARAN
Di Malaysia, lokasi terbaik bagi mendaratkan ikan layaran ialah di Kuala Rompin, Pahang. Lokasi ini menjadi persinggahan spesies migrasi ini sekitar bulan Ogos sehingga Oktober. Dengan adanya acara tahunan iaitu Royal Pahang Billfish Challenge, Rompin menjadi tarikan pemancing sukan dalam dan luar negara.
Ikan layaran biasanya berenang dan memburu ikan kecil di permukaan air. Ketika memburu ikan layaran, antara tip mengenal pasti lokasi berlabuh ialah dengan melihat kehadiran burung-burung laut. Biasanya burung akan berlegar di kawasan yang mempunyai ikan kecil dan ikan-ikan kecil ini juga biasanya menjadi tarikan untuk ikan layaran.
Umpan yang sering digunakan pula ialah umpan hidup seperti kembung, tamban dan selar malah ikan kerisi juga boleh digunakan. Selain itu, kaedah trolling atau menunda juga boleh menjerat layaran namun penggunaan umpan hidup dianggap terbaik di Rompin.
Memandangkan ikan layaran memburu di permukaan, teknik terbaik pancingan ikan layaran adalah teknik drift dan juga teknik belon. Penggunaan mata kail jenis circle hook merupakan paling efektif kerana fizikal mulutnya yang berparuh selain mengurangkan risiko tertelan dan akibatkan kecederaan.
Pertarungan antara pemancing dan ikan layaran mampu mencecah sehingga sejam bergantung kepada saiznya. Biasanya, pemancing akan terpaksa menahan rod ketika layaran memecut laju. Layaran yang memecut laju sukar dihentikan dan saat layaran melompat keluar merupakan saat yang paling mudah terlepas kerana ia akan cuba menanggalkan mata kail dengan melibas-libas kepalanya.
Walaupun mempunyai daya pecutan yang mengagumkan, ikan layaran biasanya dilepaskan kembali dengan cepat. Ikan layaran yang dipancing mudah mati jika lambat dilepaskan kerana kehabisan tenaga selepas pertarungan selain kecederaan akibat mata kail.
Jika ikan layaran yang dipancing kelihatan lemah, pemancing harus menolak ke depan dan ke belakang seketika ikan tersebut di dalam air. Jika dilepaskan dan ikan layaran itu kelihatan dalam posisi terbalik di mana bahagian perutnya ke atas, risiko kematian ikan itu sangat tinggi.
Hari ini semakin ramai pemancing mula merasakan mereka harus ada satu kamera kalis air yang boleh mereka gunakan untuk merakam aksi memancing yang tidak boleh dilakukan oleh kamera biasa. Oleh yang demikian kami sediakan beberapa tip memilih, menggunakan, kebaikan dan keburukan mengenai kamera ini untuk hasil yang terbaik.
KAMERA KOMPAK
Era digital telah memudahkan ramai penggemar dunia fotografi beralih arah daripada penggunaan filem ke digital. Seiring dengan kecanggihan teknologi terkini, banyak syarikat kamera mula mengeluarkan rangkaian kamera-kamera kompak digital yang mampu memenuhi permintaan setiap pembeli. Bagi pemancing-pemancing di luar sana, mereka cuba mencari kamera yang lebih ringan, kalis air dan yang pasti gambar yang dihasilkan cantik.
Saiz memainkan peranan penting kerana ada penggemar fotografi kerana ia memudahkan pergerakan sewaktu pancing dan paling penting sekali, muat untuk masuk poket anda. Cuma kepuasan mengambil gambar menjadi terhad kerana zooming yang terhad.
LABEL KALIS AIR
Pelbagai kamera kompak kalis air mudah didapati di setiap kedai kamera akan tetapi pemilihan yang tepat dan spesifikasi perlu anda tahu ketika membuat pilihan. Antara spesifikasinya ialah mempunyai label kalis air (waterproof) dan anti-gegar (shock proof/shock resistant). Ini bermaksud kamera ini jika terjatuh pada permukaan keras seperti batu, ia tetap berfungsi dengan baik selepas itu. Ia satu kelebihan kerana sewaktu kita di air, risiko untuk kamera terjatuh adalah tinggi. Dengan adanya kemudahan ini, ia mampu menyelamatkan kamera anda.
KUALITI IMEJ
Ia faktor paling penting perlu anda lihat sebelum membeli. Pilih pixel paling besar agar gambar yang dirakam lebih menarik jika berada di tempat cahaya yang kurang.
BEG KAMERA
Pastikan beg kamera tersebut dibawa sekali sewaktu pergi memancing. Ini kerana bukan sahaja ia menjaga kamera anda dari calar, akan tetapi memelihara kamera anda supaya tidak rosak dan tahan lama. Kini anda sudah tahu kamera apa yang patut anda beli. Pastikan anda mencari pelbagai info sebelum membeli dan periksa pakej-pakej yang ditawarkan oleh penjual kamera ini. Paling penting kamera ini haruslah kalis air, anti-gegar, kompak dan tinggi mega pixelnya. Rujuk kepada yang pakar sebelum membeli dan selamat memancing!
PERLU TAHU KEBURUKAN KAMERA KALIS AIR.
Kamera ini tidak boleh dibawa menyelam sehingga ke kedalaman 30 meter. Ia akan mudah rosak. Kamera ini mempunyai limit kedalaman air tertentu contohnya tidak boleh dari 5 meter. Oleh itu, pastikan anda tidak terlampau teruja untuk membawanya menyelam sekali. Jika mahu, masukkan ia di dalam casing.
Kamera ini tidak tahan dengan air garam atau air laut. Ramai yang tidak tahu dan ambil mudah perkara ini. Sebelum dan selepas anda membawa ia ke laut, pastikan anda bilas dahulu dengan air paip. Ini kerana, jika anda terlupa melakukannya, garam yang tertinggal akan merosakkan sistem kamera tersebut. Kos untuk membaiki sama harga dengan anda membeli yang baru. Sentiasa beringat dan hati-hati!
Kamera kalis air lebih mahal harganya berbanding kamera kompak biasa. Ada kamera mampu merakam video full HD (1080p) dan bukaan ISO tinggi hingga 3200. Disebabkan kamera ini kamera kompak, maka variasi aperture amat terhad contohnya seperti f/3.9 – f/5.5 dan zoom 28-140 mm sahaja.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...