Mengenal Monsun Di Malaysia!!

Share

 

Monsun berlaku disebabkan oleh perbezaan suhu di antara daratan dan lautan hasil daripada pemanasan sinaran matahari.

Semasa musim sejuk, kawasan daratan benua menyejuk dengan lebih cepat dan menyebabkan suhu yang amat rendah di Asia Tengah.

 

Keadaan ini menyebabkan tekanan atmosfera meningkat dan membentuk sistem tekanan tinggi (antisiklon) yang sangat kuat di Siberia.

Akibatnya, udara sejuk bergerak keluar dari Siberia sebagai angin barat-laut dan seterusnya bertukar menjadi angin timur laut apabila tiba di perairan pantai China sebelum menuju Asia Tenggara.

 

Dari masa ke masa, ledakan keluar udara sejuk yang kuat (luruan monsun) ini saling bertindak dengan sistem tekanan rendah atau siklon yang terbentuk berhampiran

Khatulistiwa, menghasilkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan serta hujan lebat di pantai timur Semenanjung Malaysia dan juga di pantai barat Sarawak.

Pada musim panas, pemanasan suria yang kuat meningkatkan suhu di kawasan daratan Asia. Semasa udara panas mengembang naik, kawasan tekanan rendah separa tetap terbentuk.

 

Angin lengas tenggara yang berasal dari selatan Lautan Hindi dan rantau Indonesia-Australia bertukar menjadi angin barat daya apabila melepasi Khatulistiwa.

Angin ini seterusnya bergerak merentasi Asia Tenggara sebelum menumpu ke arah Indochina, China dan barat-laut Pasifik.

 

Musim Monsun Timur Laut merupakan musim hujan utama negara kita. Sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama dengan luruan udara sejuk dari Siberia menghasilkan

hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar di sepanjang pantai timur iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, serta negeri Sarawak.

 

Monsun Barat Daya secara relatifnya adalah lebih kering bagi seluruh negara kecuali di Sabah. Pada musim ini, kebanyakan negeri mengalami hujan bulanan minimum, biasanya diantara 100 – 150mm.

Keadaan ini melambangkan atmosfera yang stabil di kawasan khatulistiwa. Keadaan kering di Semenanjung Malaysia terutamanya disebabkan oleh kesan lindung hujan oleh banjaran gunung di Sumatra.

 

Sabah secara relatifnya lebih lembab (melebihi 200mm) akibat daripada kesan ekor dari taufan yang kerap melintasi Filipina dalam perjalanannya merentasi Laut China Selatan dan sekitarnya.

 

Semasa musim perantaraan monsun, angin adalah sepoi-sepoi. Di waktu pagi, langit biasanya cerah dan ini membantu pembentukan ribut petir di sebelah petang.

Di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, ribut petir menyumbangkan jumlah hujan bulanan yang tinggi pada kedua-dua musim perantaraan monsun.

Published by
Amang