Perairan Karang Luas, Pekan, Pahang memang terkenal di kalangan pemancing laut dalam. Kebanyakan kaki pancing yang berkunjung ke sini menggemari teknik jigging ringan dan pancingan dasar.
Jika kena pada musim, kehadiran ikan tenggiri memang sangat dinanti-nantikan oleh kaki-kaki pancing seluruh Malaysia mahupun pemancing dari luar negara. Waktu yang sesuai adalah dari bulan April – September. Ini kerana alunan ombak ketika ini tidak kuat melainkan cuaca tidak mengizinkan.
Boleh dikatakan alunan ombak di sini tidak sekuat alunan ombak di perairan lain. Selalunya musim tenggiri akan tiba dari penghujung bulan Mac sehingga bulan September.
Jika ingin memancing di sini pada hujung minggu, digalakkan tempahan tekong dibuat 2 atau 3 bulan lebih awal kerana, selalunya tekong-tekong terkenal di perairan Pekan ini sentiasa mendapat tempahan penuh sepanjang musim ini.
Peralatan memancing yang sesuai digunakan, boleh menggunakan set medium seperti rod PE3-4, kekili berkuasa saiz 5000-8000 yang boleh memuatkan tali 150 meter ke atas, dan tali utama 30lb-50lb. Perambut 20-40 lb boleh digunakan.
Tetapi sebagai insurans, perambut dawai mesti disediakan. Mata kail yang sesuai adalah daripada saiz 3/0-5/0. Jangan malu bertanyakan teknik dan tip memancing di sini daripada tekong dan awak-awak.
Dinasihatkan sekiranya memancing di laut, jangan bawa banyak joran. Cukuplah 2-3 (maksimum) joran sahaja bagi seorang pemancing.
Saiz apollo yang digunakan tidak berapa besar dan tidak berapa kecil. Digalakkan menggunakan saiz 10–14. Suasana begitu riuh rendah apabila setiap kali mata apollo dinaikkan mesti akan mendapat strike penuh.
Beberapa orang rakan pemancing terus menggunakan umpan tersebut untuk teknik menghanyut.
Info tekong
Supian Keranda adalah nama gelaran bagi Mahamed Supian Yahya, sebut saja nama Supian Keranda sejumlah besar masyarakat di sini akan mengenali beliau sebagai pembuat dan penjual keranda manakala di kalangan pemancing mengenalinya sebagai tekong hebat.
Beliau sering memancing pada masa lapang atau hujung minggu setelah penat bekerja membuat keranda. Pada musim terbuka (April-Oktober), khidmatnya sering dipanggil untuk membawa pemancing menduga beberapa lubuk di perairan Pekan.
Sikap mesra dan peramah beliau memudahkan pemancing mengetahui banyak lubuk memancing di perairan Pekan itu. Bahkan dia, juga adalah salah seorang tekong yang menyumbang khidmat pada siri Royal Pahang Billfish International Challenge.