Lampam sungai atau nama saintifiknya Barbonymus schwanenfeldii memang merupakan spesies yang dikenali ramai di Malaysia.
Juga dikenali sebagai tinfoil barb, spesies lampam merupakan ikan air tawar tropika yang berasal dari Asia Tenggara dan merupakan spesies ikan daripada keluarga Cyprinidae. Spesies ini pada asalnya dijelaskan oleh Pieter Bleeker dalam genera Barbus schwanenfeldii.
Taburan Spesies
Bagi spesies lampam, spesies ini merupakan antara spesies ikan yang penting di Asia. Pola taburan ikan lampam tertumpu di Lembah Mekong dan Chao Phraya, perairan air tawar di Semenanjung Malaysia, Sumatera serta boleh ditemui di kawasan Borneo.
Di kalangan pemancing di Malaysia, ikan lampam merupakan spesies ikan yang tidak sukar untuk diperolehi.
Spot utama untuk memancing ikan lampam ialah kawasan sungai-sungai, lombong serta kebanyakan tasik di Malaysia termasuk tasik utama seperti Royal Belum dan Tasik Kenyir.
Biar pun dianggap sebagai spesies ikan pancingan yang biasa-biasa, memancing ikan lampam mampu memberikan keseronokan dan menimbulkan keriuhan terutama apabila memancing di kawasan yang lebih pedalaman dengan aliran sungai yang bersih.
Kepentingan Spesies Lampam
Dalam industri perikanan, spesies lampam boleh dikatakan agak penting dalam beberapa cabang perikanan. Secara tradisional, spesies lampam mempunyai kepentingan yang agak tinggi bagi komuniti pinggir bandar.
Komuniti yang menjadikan spesies lampam sebagai salah satu ikan target ialah komuniti pemancing sara diri atau subsistence anglers.
Berbeza dengan pemancing rekreasi, pemancing sara diri bermaksud komuniti ini menangkap sesuatu spesies ikan untuk keperluan harian, terutamanya sebagai sumber makanan.
Selain itu, spesies ini juga mempunyai kepentingan dalam perikanan komersial dan akuakultur. Jasanya spesies lampam diternak dalam skala yang besar untuk tujuan sumber makanan kepada komuniti setempat.
Dalam sektor perikanan ikan hiasan juga, spesies ini merupakan antara spesies ikan popular dan mudah didapati di kalangan kedai ikan hiasan.
Disebabkan spesies ini gemar berenang berkumpulan, biasanya lampam akan ditempatkan dengan sekumpulan lampam yang lain di dalam akuarium. Malah spesies ini antara spesies ikan yang tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rapi jika dibela.
Dalam pancingan sukan sekalipun, selain dipancing untuk dimakan, spesies lampam yang bersaiz kecil juga boleh dibuat umpan untuk menjerat pemangsa yang lebih besar.
Anak lampam adalah umpan hidup terbaik untuk menjerat baung besar, toman, mahupun sebarau. Bahkan, di Tasik Kenyir, sekiranya bermalam di atas boathouse di Lata Berua, lampam umpan mujarab untuk bottom siakap.