Kili atau klip ini diperbuat daripada dawai atau wayar lembut bersalut loyang yang fungsinya sama seperti pin baju. Saya percaya seperti pemancing lain pernah menggunakan klip ini ketika baru belajar memancing. Malah masih ramai juga yang masih menggunakannya. Tidak salah menggunakannya namun tidak disarankan untuk tugas yang agak berat. Setakat untuk memancing ikan kecil atau udang galah, ia tidak mendatangkan masalah. Namun ia juga tidak tahan kakisan air masin, jadi ia lebih sesuai untuk kegunaan air tawar saja.
Kili yang diperbuat daripada dawai berketahanan tinggi yang dipulas untuk membentuk gelung dan cangkuk berspring bagi mengunci sistem ini. Boleh dikatakan ramai pemancing yang menggunakan snap ini untuk memancing banyak jenis ikan. Pada pendapat kami, ia berupaya mengatasi beban berlebihan tetapi pernah juga melihatnya gagal. Pernah juga berlaku di mana snap ini tertanggal setelah berlaga dengan reba dan terbuka semasa ikan menyambar. Walaupun ada sistem snap lain yang lebih baik, namun snap ini masih dianggap bagus dan kuat untuk tugas berat. Pastikan juga jenamanya berkualiti.
Satu rekaan yang agak bijak. Sistem klipnya sama seperti coastlock tetapi terdiri daripada hujung berlingkar seperti spring di mana tali akan disambungkan dengan cara tertentu tanpa perlu mengikatnya. Prinsip sistem klipnya berfungsi seperti coastlock, jadi ada kelebihan dan kelemahannya. Kali pertama melihatnya saya agak kebingungan. Sistem klipnya memuaskan tetapi jika anda seorang yang malas nak buat ikatan, inilah sistem klip yang sesuai.
Kili ini adalah hasil kraftangan dari Ingham Tackle Shack, Queensland, Australia. Ia sama seperti klip coast lock, tetapi pengunci cangkuk berspringnya melingkar sekali ganda di sekeliling shaf utama agar dapat mengunci gewang dengan selamat. Reka bentuknya cukup mengagumkan. Saya percaya ia memiliki kelebihan mampu mengatasi sebarang kegagalan sekiranya terjadi. Biarpun dikeluarkan untuk satu jenis saiz sahaja, namun ia bagus untuk pancingan kelas ringan dan sederhana. Lantaran hasil kraftangan, makai a sukar diperoleh kecuali dengan membuat tempahan terus dari Ingham Tackle Shack. Penciptanya telah membuat ujian tekanan ke atas klip ini dan mendapati apabila klip in tidak berdaya menanggung beban, lingkaran penguncinya itu akan melorot ke bawah dan akan menjerut gewang agar tidak terlepas.