Mengenal Ikan Kerapu Bintik!!

Share

 

Berdasarkan satu kajian di mana ia merumuskan terdapat sedikit kekeliruan taksonomi dan ciri pengenalan antara spesies Epinephelus malabaricus, Epinepheluscoioides dan Epinephelus tauvina, setidak-tidaknya di Australia dan mungkin juga di tempat lain.

 

Walau bagaimana pun, ikan marin yang terdapat di perairan Malaysia ini diklasifikasikan sebagai Epinephelus malabaricus.

 

Malabaricus atau dengan nama umumnya malabar grouper turut dikenali dengan nama brown-spotted grouper, greasy grouper, Malabar rockcod.

Di Malaysia ia dipanggil kerapu bintik atau kerapu karang, kerapu malabar dan mendapat nama jolokan boron atau tong gas merujuk kepada kerapu yang bersaiz besar. Lama kelamaan, nama yang biasa dipanggil bagi spesies ini hanya tinggal boron sahaja.

 

Taburan spesies ini meluas di seluruh perairan tropika kawasan Pasifik Indo-Barat dari pantai timur Afrika ke kepulauan Tonga, Laut Merah, termasuklah utara ke Jepun dan selatan ke Australia.

 

Ia direkodkan di Laut Levantine dan Mediterranean timur dan Terusan Suez. Kerapu boron merupakan ikan natif atau ikan asal di Australia; Kemboja, China, Mesir, Fiji, Hong Kong, India, Indonesia, Iran, Jepun, Jordan, Kenya, Madagascar, Malaysia dan banyak negara lain lagi.

 

Dari aspek habitat dan biologi, kerapu boron ini spesies biasa yang terdapat dalam kepelbagaian jenis habitat. Ia boleh ditemui di kawasan terumbu karang dan berbatu, teluk, pesisir pantai, estuari, paya bakau dan dasar berpasir atau lumpur.

Ia boleh dikesan pesisir pantai yang cetek sehinggalah kedalaman 150 meter. Sementara kerapu boron juvenil lazimnya lebih mudah hadir di estuari dan payau bakau.

 

Kerapu Malabar juga mempunyai sejarah kehidupan yang menarik dan kompleks. Ikan ini tergolong dalam spesies hermaphrodit protoginous iaitu ikan yang berupaya berubah jantina daripada betina kepada jantan.

Walau bagaimana pun perubahan jantina ini tidak semestinya berlaku dan hanya akan berlaku sehinggalah kerapu jantan itu mencapai saiz kematangan sepanjang 114 cm.

 

Kerapu bintik atau karang ini dapat mencapai panjang sehingga 234 cm, tetapi spesimen biasa ditemui rata-rata ukurannya sekitar 100cm.

Dan dikatakan mampu mencapai berat sehingga 150 kg. Ia mempunyai warna abu-abu (keabu-abuan atau kelabu) hingga warna latar belakang yang terang, dengan beberapa

bintik coklat gelap yang secara rawak bertaburan, yang bertambah bilangannya dengan usia. Tubuh kerapu ini juga mempunyai pelbagai jalur corak (tompokan) berwarna coklat.

 

Kerapu Malabar ialah pemangsa yang ganas, mereka memakan ikan, sotong, krustasea, dan kadang-kadang cephalopod turut menjadi mangsanya.

Kerapu boron lebih aktif memburu makanan pada waktu malam dan suka tinggal di kawasan lubang di tengah laut.

Apabila dewasa, ikan ini akan bersikap kewilayahan dan tinggal bersama pasangannya di dalam lubang yang sama.

 

Taksonomi

Kingdom : Animalia

Phylum : Chordata

Class : Actinopterygii

Order : Perciformes

Family : Serranidae

Genus : Epinephelus

Species: E. malabaricus.

Binomial name: Epinephelus malabaricus.

 

Published by
Amang