Taksonomi
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Mugiliformes
Family: Mugilidae
Genus: Mugil
Ikan belanak tergolong dari family Mugilidae. Di Malaysia terdapat sekurang-kurangnya 7 spesies semua. Walaupun setiap spesies mempunyai nama panggilan yang berlainan, namun pada umumnya ikan ini tetap dipanggil belanak.
Lazimnya bila kita melihat saja rupa paras ikan ini, pasti kita terfikir ia adalah ikan belanak, justeru kebanyak orang akan mengenali ikan ini dengan nama belanak. Selain belanak ia juga dikenali dengan nama rapang, kedera, jempol, belanak putih, belanak angin, jangis, pelung, puting damar, anding dan macam-macam lagi.
Ikan belanak merupakan ikan air masin dari laut tropika dan subtropika yang bentuknya hampir menyerupai ikan susu. Ikan dari suku Mugilidae ini di dunia dikenali sebagai ikan mullets seperti blue-spot mullet atau blue-tail mullet.
Mereka biasanya hidup mulai dari muara sungai, pelabuhan, dermaga dan pantai. Jarang berada terlalu jauh dari pantai.
Belanak termasuk ikan benthopelagic (hidup di dasar sampai permukaan air) dan berkumpul dalam jumlah banyak.
Ikan belanak secara umum bentuknya memanjang agak langsing dan pipih. Sirip dorsal terdiri dari filamen berduri keras dan 8 filamen duri lembut. Sirip anal berwarna putih kotor. Bibir bahagian atas lebih tebal daripada bahagian bawahnya ini berguna untuk mencari makan di dasar atau organisma yang terbenam dalam lumpur.
Ciri lain dari ikan belanak ialah mempunyai gigi yang amat kecil, tetapi kadang-kadang pada beberapa spesies tidak ditemukan sama sekali.
Bahagian belakang badan belanak berwarna kehijau-hijauan atau kelabu kecoklatan, pada bahagian sisi dan perut berwarna keperakan; penghujung belakang sirip ekor berwarna hitam. Ikan belanak bersisik cycloid atau ctenoid. Hujung rahang atas melengkung ke bawah dan terlihat pada saat mulutnya tertutup.
Ikan belanak merupakan ikan yang senang hidup berkumpulan dekat pantai dan perairan yang cetek, mempunyai kebiasaan melompat-lompat untuk menghindari predator.
Ikan ini memiliki berat kurang dari 500gm. Habitat ikan belanak di sekitar pantai yang termasuk air payau, ikan ini juga dapat hidup di air tawar.
Penyebaran ikan belanak sangat luas meliputi; Indo-Pacific, Laut Merah, bahagian Utara Jepun, Afrika Selatan, Thailand, Malaysia dan juga Indonesia.
Ikan ini dapat digolongkan herbivor iaitu jenis ikan yang memakan bahan tumbuhan yang hidup di air atau di dalam lumpur seperti alga dan organisme reput di dasar muara sungai.