Mengenal Identiti Spesies Ikan Jelawat Sultan

Share

 

Taksonomi

Kingdom: Animalia

Phylum: Chordata

Class: Actinopterygii

Order: Cypriniformes

Family: Cyprinidae

Genus: Leptobarbus

Species: Leptobarbus hoevenii (Bleeker, 1851)

Nama lain: Jelawat, Mad barb, Sultan fish, Hoven’s carp

 

 

Bagi morfologi luaran ikan jelawat, spesies ini merupakan ikan bersisik dan mempunyai badan yang agak panjang. Bahagian kepala ikan jelawat juga agak panjang dari hujung bibir ke segmen operkulum, namun mempunyai bentuk agak tirus.

 

Warna badan atau sisik bahagian atas badannya sehingga ke dorsalnya berwarna agak kehijauan sementara bahagian abdomennya pula biasanya berwarna putih. Pada hujung sirip ikan jelawat pula akan kelihatan sedikit warna merah cerah. Bagi ikan jelawat yang masih juvenil, kehadiran garisan hitam melintang dapat diperhatikan pada badannya.

 

 

Mengikut data taburan spesies, spesies jelawat merupakan spesies natif di kebanyakan kawasan di Asia merangkumi Thailand, Sumatera dan Borneo. Taburan populasi jelawat juga dikatakan mengunjur sehingga utara Chao Phraya dan Lembah Mekong sehinggalah pada tahun 2009, populasi di kawasan ini disahkan bukan spesies L. hoevenii sebaliknya merupakan spesies L. rubripinna.

 

Secara genetik, L. rubripinna datang dari genus yang sama iaitu Leptobarbus dan mempunyai morfologi luaran yang hampir sama dengan L. hoevenii. Namun, spesies L. rubripinna ialah hasil daripada baka industri dagangan ikan hiasan berbeza dengan L. hoevenii yang merupakan spesies liar atau sungai.

 

 

Jelawat juga merupakan spesies ikan air tawar natif bagi perairan air tawar di semenanjung Malaysia sehingga ke Borneo. Di semenanjung, taburan populasi spesies ini lebih tertumpu di sistem Sungai Pahang (Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Lipis, Sungai Tembeling) dan juga di Sungai Perak.

 

BIOLOGI

 

Spesies ikan jelawat liar selalunya menjadikan sungai besar yang mengalir atau kawasan air lalu sebagai pilihan tempat tinggalnya. Selalunya spesies ini berada di satu kawasan untuk satu jangka masa tertentu sebelum berpindah mencari kawasan lain. Selain sungai, ikan jelawat juga boleh ditemui hidup di dalam kawasan air lain seperti lombong.

 

 

Walaupun jelawat bukan spesies ikan migrasi, namun kajian mendapati spesies ini tetap membuat migrasi trofik (local trophic migrations) di dalam sistem sungai terutama apabila habitat lamanya terlalu padat, gangguan aktiviti manusia atau kesan pencerobohan.

 

Oleh kerana jelawat merupakan ikan yang bersifat omnivor, maka diet pemakanan utama ikan jelawat tertumpu kepada ulat, cacing, cengkerik, udang, dan buah hutan. Buah ara yang jatuh ke dalam sungai juga dikatakan menjadi makanan kepada ikan jelawat liar.

 

 

Selain itu, jelawat merupakan ikan pelagik yang gemar berada pada pertengahan badan air sehingga ke kawasan dasar. Biasanya ikan jelawat hidup dan berenang dalam gerombolan selain mampu membesar sehingga mencecah panjang 60cm.

 

Setelah melalui fasa perkembangan dalam industri perikanan dan akuakultur, spesies ikan jelawat telah berjaya diternak melalui pembiakan aruhan dan semakin mudah diperolehi hari ini.

 

 

NILAI PASARAN

 

Spesies ikan omnivora ini mempunyai nilai pasaran yang tinggi terutamanya untuk dijadikan hidangan makanan. Oleh kerana itu, spesies ini telah dikomersialkan dalam bidang akuakultur.

 

Sekitar 1970an dan 1980an, jelawat mendapat permintaan yang sangat tinggi terutama di restoran makanan Cina. Isi ikan jelawat dikatakan lembut dan manis disertai dengan rasa lemak. Jadi tidak hairanlah jelawat tergolong dalam 5 spesies ikan tempatan paling mahal.

 

 

Published by
Amang