Mengenal Identiti Spesies Ikan Baung Kuning!

Share

 

Ikan baung merupakan spesies ikan bermisai yang cukup popular di kalangan pemancing tempatan. Keasyikan melayan tarikan demi tarikan spesies ini terutama waktu malam atau selepas hari hujan (air keruh) cukup mengasyikkan hingga tidak sedar masa berlalu dengan pantas.

 

Biarpun tarikannya tidak seganas pemangsa lain, namun baung tetap mempunyai tarikan tersendiri lebih-lebih lagi kepada penggemar menu masak lemak cili padi.

 

Spesies Hemibagrus nemurus atau lebih kita kenali sebagai ikan baung kuning merupakan satu spesies ikan air tawar yang datang dalam keluarga ikan bermisai (catfish).

Bagi kebanyakan kaki pancing di Malaysia, spesies baung kuning bukanlah pilihan ikan target utama jika dinilai dari segi kekuatan tentangan di hujung mata pancing, namun jika dijadikan lauk dan dihidangkan di antara ikan air tawar yang lain, pasti ikan baung kuning antara target utama lauk yang mahu dicapai.

 

 

Biarpun tentangan spesies baung kuning tidak seganas ikan pemangsa lain, namun memancing ikan baung kuning juga mempunyai daya penariknya tersendiri. Rata-rata pemancing jika menyertai trip trekking ke sungai pegunungan sering kali menyediakan set dan umpan khas untuk melayan baung sepanjang malam.

 

Jika di tasik besar menaiki boathouse pula seperti Tasik Kenyir atau Tasik Banding, tidak sah jika waktu malam tak dihabiskan dengan melayan si pemakan dasar ini sambil meneguk kopi panas dan bersantai bersama rakan-rakan.

 

Ternyata, biarpun bukan di kalangan spesies ikan trofi, spesies baung kuning masih tetap merupakan antara spesies ikan kegemaran kaki pancing. Jadi tidak hairanlah jika dikatakan spesies baung ini antara ikan air tawar yang cukup dikenali dalam arena pancing tempatan.

 

 

Bagi pola taburan spesies bermisai ini, kebanyakannya boleh ditemui di kebanyakan kawasan sungai. Kebanyakan spesies ini boleh ditemui di kawasan air tawar di Kepulauan Jawa, Semenanjung Malaysia, Sumatera dan juga kepulauan Borneo. Selain itu, spesies ini juga banyak ditemui kebanyakan sungai utama di Asia Tenggara seperti Sungai Mekong dan Sungai Chao Phraya.

 

Habitat bagi spesies ini pula ialah kawasan sungai atau tasik air tawar. Spesies ini juga mampu hidup dalam keadaan badan air yang kurang berkualiti atau tercemar. Ini menunjukkan spesies baung mempunyai kadar toleran kepada kualiti air yang rendah.

 

Baung kuning juga mendiami kawasan sungai yang berarus perlahan atau kawasan badan air tetap di mana hampir ketiadaan arus. Ini termasuk kawasan seperti sungai dan tasik yang mengalami perubahan kedalaman air dengan populasi spesies lain yang akan bermigrasi ketika musim banjir sebelum kembali kepada sungai utama sekitar bukan November hingga Disember.

 

 

Di Malaysia, spesies baung kuning cukup popular terutama di kebanyakan sungai pegunungan, bahagian pertengahan sistem sungai (kecuali berhampiran muara) dan juga kawasan tasik air tawar utama di Malaysia.

 

Pemancing tempatan juga tahu bahawa keadaan air yang keruh selepas hujan merupakan waktu sesuai untuk memancing spesies ini. Selain itu, waktu malam juga menjadi waktu yang paling terbaik untuk memancing baung.

 

 

Spesies daripada genus Hemibagrus ini merupakan ikan bermisai (barbel) yang mempunyai kepanjangan sekitar 8 cm. Spesimen sering ditemui di sepanjang subcontinent perairan India, Asia Tenggara dan Asia Timur. Spesies ini merupakan ikan yang tidak bersisik dan mempunyai badan yang agak licin.

 

Bahagian kepalanya agak mendatar ke bawah hingga ke bahagian mulutnya. Bahagian kepalanya juga mempunyai rangka tengkorak yang agak keras untuk melindungi kepalanya. Badannya mempunyai bentuk agak memanjang. Bahagian badannya mempunyai warna yang agak kekuningan bergantung kepada persekitaran kawasan air.

 

 

Spesies ini mempunyai barbell atau misai yang digunakan untuk memburu. Mereka mengesan mangsa atau makanan melalui filament barbel ini dan tidak menggunakan mata terutama dalam keadaan air yang keruh.

 

Spesies ini juga mempunyai kesemua sirip utama pada seekor ikan malah mempunyai sirip adipos iaitu sirip berdaging yang hadir di bahagian atas berhampiran kaudal pedunkel yang agak panjang.

 

Bagi diet spesies baung, ikan ini menjadikan ikan kecil, serangga air, udang dan cacing sebagai diet utamanya. Baung juga bersifat kewilayahan dan mempunyai naluri untuk menyerang hendap mangsanya.

Published by
Amang