Sebagaimana yang ramai ketahui, H. macrolepidota yang dikenali sebagai jungle barb atau sebarau merupakan spesies yang boleh ditemui Semenanjung Malaysia dan Borneo.
Namun bagi spesies H. bimaculata ia dikenali sebagai sebarau dua belang, dungan, arungan dan barb hampala. Sebarau dua belang ini dikatakan hanya boleh ditemui di Borneo dan perairan Indonesia.
Lantaran ia tidak boleh ditemui di Semenanjung Malaysia maka ia menjadi ikan sukan sasaran para pengilat yang berkunjung ke kepulauan Borneo terutamanya di Sarawak. Ikan sebarau dua belang adalah spesies endemik di Borneo. Ia dicirikan oleh dua barisan tompok menegak pada sisi badannya.
Kedudukan dua belang hitamnya itu terletak di bawah sirip dan dorsal dan satu pada caudal peduncle (sudut bahagian yang menyambung badan dan ekor ikan). Selain ditangkap sebagai sumber protein, ikan sebarau dua belang juga amat popular dalam aktiviti sukan memancing.
Ikan buruan pengilat ini sangat sensitif terhadap kualiti. Justeru ia lebih mudah ditemui terutamanya di sungai pegunungan atau sungai yang bebas dari sumber pencemaran.
Menurut pemancing yang pernah memancing sebarau biasa dan sebarau dua belang ini, dari segi penampilan fizikalnya juga memang berbeza dengan kepala yang lebih besar dan nampak garang.
Badan yang lebih aerodinamik melawan arus dan panjang serta dua belang hitam melintang di tengah badan dan pangkal ekor menampakkan lagi kelainan sebarau Borneo ini.
Dalam pada itu sesetengah pemancing mendakwa sebarau dua belang ini sebenarnya turut ditemui di Semenanjung Malaysia namun taburannya amat kecil.