Taksonomi:
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Cypriniformes
Family: Cyprinidae
Genus: Thynnichthys
Species: T. thynnoides
Binomial name: Thynnichthys thynnoides (Bleeker, 1852)
Ikan lomah di sesetengah tempat digelar tongsan loma atau loma. Lomah adalah sejenis ikan air tawar yang hidup antara perimeter pertengahan dan permukaan air. Jika diperhatikan sekali pandang, ikan dengan nama saintifik Thynnichthys thynnoides ini tidak kelihatan seperti air tawar, tetapi lebih kepada ikan air masin dengan mulutnya yang kecil, sisik sangat halus keperakan dan ekor berbentuk V.
Ikan lomah merupakan ikan yang hidup secara berkumpulan dalam kumpulan yang besar. Jika bernasib baik, kadangkala ia boleh dilihat seperti hujan lebat di permukaan air ketika kumpulannya lalu di sungai, lombong mahupun tasik.
Diet utama ikan yang hampir juga menyamai ikan tongsan sisik halus pada bahagian kepala ialah alga, tumbuhan air dan plankton. Ikan ini boleh ditemui di Sungai Perak dan tasik-tasik serta lombong-lombong yang bersambung dengan sistem sungainya.
Sebagaimana yang telah dinyatakan, ikan ini tidak memakan umpan pancingan. Ia hanya boleh ditangkap dengan kaedah lain selain memancing seperti jaring, jala ataupun ditangguk.
Ikan ini bolehlah dianggap bernilai rendah. Harganya murah kerana isinya tawar, kurang enak serta bertulang banyak dan halus. Namun harganya boleh menjadi berlipat kali ganda apabila ia bertukar menjadi pekasam.
Dalam arena pancingan rekreasi, ikan loma bukanlah satu spesies ikan yang popular malah berkemungkinan besar ramai pemancing yang tidak mengenalinya. Namun, ikan yang tidak boleh ditangkap dengan kaedah memancing ini cukup popular setelah ia bergelar ikan pekasam.