Mengenal Identiti Ikan Baulu

Share

 

Taksonomi:

Kingdom: Animalia

Phylum: Chordata

Class: Actinopterygii

Order: Gonorynchiformes

Family: Chanidae

Genus: Chanos (Lacépède, 1803)

Species: C. chanos

Binomial name: Chanos chanos (Forsskål, 1775)

 

 

Ikan baulu? Ikan apa tu? Ikan baulu adalah nama lain bagi Ikan susu atau milkfish dengan nama saintifiknya Chanos chanos adalah spesies tunggal yang hidup dalam keluarga Chanidae.

 

Walaubagaimana pun spesies ini mempunyai banyak nama umum. Di Hawaii ia dipanggilkan ‘awa’. Di Indonesia ia dikenali sebagai ‘bandeng’ dan juga ‘bolu’. Sementara di Filipina pula ia merupakan ikan kebangsaan dengan nama ‘bangus’.

 

Taburan Chanos Chanos atau ikan baulu ini meluas di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, dari Afrika Selatan ke Hawaii dan Marquesas, dari California ke Galapagos, utara ke Jepun, selatan ke Australia. Dari Asia Tenggara termasuklah negara kita Malaysia.

 

 

Ikan baulu lazimnya hidup di perairan marin luar pantai tropika di seluruh pulau dan di sepanjang tebing benua, pada kedalaman 1-30 meter. Spesies ini turut sering memasuki muara sungai dan sistem sungai-sungai berair payau.

 

Ikan baulu mampu membesar panjang sehingga 1.80 meter (5 kaki 11 inci), namun spesimen yang sering ditemui tidak lebih daripada 1 meter (39 inci) panjang. Ia boleh mencapai berat sehingga 14 kilogram pada kemuncak usia 15 tahun. Dari aspek morfologi, spesies ini memiliki badan memanjang dan hampir mampat atau padu dengan penampilan simetri.

 

 

Ikan baulu memiliki satu sirip dorsal, sirip pektoral berbentuk sabit dan sirip kaudal bercabang besar. Bermulut kecil tanpa gigi seiras ikan rohu. Memiliki badan berwarna hijau buah zaiton, sirip keperakan dan sempadan sirinya agak gelap.

 

Ia turut memiliki 13-17 segmen sirip dorsal yang lembut, 8-10 segmen sirip anal yang lembut dan 31 segmen lembut pada siri anal atau dubur.

 

Spesies ikan baulu atau milkfish ini lazimnya memakan cyanobacteria, alga dan invertebrata kecil. Mereka cenderung berkumpul dan berlegar sekitar pantai dan pulau-pulau berterumbu.

 

 

Ikan-ikan baulu juvenil mendiami di lautan untuk suatu tempoh dua hingga tiga minggu sebelum bermigrasi ketika masih berstatus juvenil ke kawasan payau bakau, muara dan kadangkala tasik dan kembali ke laut lepas untuk proses kematangan seksual dan membiak. Ikan-ikan baulu betina bertelur pada waktu malam dan berupaya melepaskan 5 juta telur di perairan laut cetek.

 

 

Ikan baulu juga merupakan makanan laut yang terkenal di Asia Tenggara dan beberapa Kepulauan Pasifik. Justeru ia ditangkap secara komersial oleh nelayan dan mudah diperoleh di pasaran. Ia menjadi makanan popular di Filipina dan juga di negara kita terutamanya Sabah. Di Sabah inilah munculnya gelaran ikan baulu.

 

Dalam dunia joran dan kekili, pancingan ikan baulu tidaklah menjadi satu cabang memancing yang dikuti ramai. Namun bagi pemancing yang pernah merasai tarikan ikan baulu yang berdesup seperti torpedo, pasti akan kecanduan untuk terus memburunya.

 

Published by
Amang