Ikan haruan (Channa striatus) atau lebih dikenali sebagai ‘snakehead fish’ merupakan sejenis ikan karnivora yang hidup didalam air tawar. Satu lagi jenis ikan haruan besar atau giant snakehead (Channa micropeltes) yang juga dipanggil sebagai giant mudfish adalah dari kumpulan yang sama. Spesies ikan haruan ini memang banyak corak dan warnanya, lain kawasan mungkin ia berbeza-beza morfologinya.
Mengail ikan haruan memang sangat menyeronokkan kerana daya tarikan atau sentapan yang kuat pada ikan haruan sungguh hebat! Jarang-jarang kita semasa memancing ikan haruan yang terlepas semula, ini kerana ikan haruan akan makan habis umpan yang digunakan.
Ikan haruan mempunyai banyak jenis dan gelaran yang mungkin sebahagian daripada kita tidak kenal. Jenis-jenis haruan adalah seperti haruan todak, haruan palas, toman bunga dan bujuk. Saya mengenali beberapa jenis ikan tersebut kerana memang ada terdapat pada sawah dan anak sungai di kampung dahulu.
Kumpulan ikan ini adalah jenis ikan yang suka menyambar makanannya seperti anak ikan, katak, cicak dan umpan pada mata kain dan menarik dengan kuat ketika memancing.
Mulutnya yang besar dan pergerakannya yang sukar dikesan oleh mangsa menyebabkan ikan haruan merupakan ikan yang hebat dalam air. Saya memang suka memancing ikan haruan di kampung zaman remaja dulu dan jarang-jarang kecewa walaupun menggunakan mata kail buatan sendiri.
Ikan haruan todak atau juga dikenali sebagai ikan kedak merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa gachua. Ikan haruan todak boleh didapati di kawasan air sungai berjeram dan berair jernih.
Diet utamanya adalah anak-anak udang, dan serangga kecil. Saya pernah mengail ikan ini dahulu di kawasan sungai di kaki Gunung Ledang dekat Sagil, Tangkak. Memang tidak mudah untuk mendapatkan ikan ini kerana pada air jernih ia amat sukar untuk ditangkap.
Ikan haruan palas pula merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa melasoma. Ikan Haruan palas mempunyai warna kebiru-biruan di sebelah bawah badannya sementara bahagian lain berwarna agak gelap atau sedikit coklat bergantung kepada kualiti air.
Ikan haruan palas mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan pH airnya rendah atau senang dikatakan agak berasid. Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, cengkerik dan cacing. Ikan jenis ini pernah saya dapat dikawasan Paya Serompong iaitu kawasan paya yang agak luas dan mempunyai habitat sesuai untuk ikan jenis ini.
Ikan toman bunga atau juga dikenali sebagai ikan jelai, jaloi, kuang, kerandang, merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa marulioides. Ikan toman bunga merupakan ikan pemangsa jenis ikan seperti kepala ular.
Ikan toman bunga mendiami sungai, tasik dan kawasan berpaya berair gambut mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan pH airnya rendah, sama seperti ikan haruan palas dan juga ikan bujuk.
Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, serangga kecil seperti cengkerik, dan cacing. Saya juga pernah menangkap ikan jenis ini yang tersangkut pada jaring yang dipasang di kawasan paya di Kg Batu 27, Lenga, Muar dan sangat puas hati apabila digoreng dan makan dengan nasi panas.
Ikan bujuk adalah tergolong dalam ikan air tawar yang terdapat di negara-negara ASEAN, termasuk di Malaysia. Nama saintifiknya Channa Lucius. Ikan ini suka mendiami anak sungai yang mengalir dan kawasan paya. Ikan bujuk mempunyai warna gelap di bagian bawah (coklat kehitaman) dan agak terang sedikit di bahagian atasnya.
Ikan ini suka makan anak-anak ikan, serangga kecil, katak dan juga cengkerik serta bersifat seperti haruan lain yang cekap memburu mangsanya. Saya banyak kali memancing ikan bujuk di kawasan anak sungai Parit Pelampong depan rumah dan rasa ikan haruan jenis ini memang enak sekali.
(Sumber: animhosnan.blogspot.com)