Ikan kaloi merupakan antara ikan yang dikatakan mempunyai rasa yang enak untuk dibuat hidangan makanan. Malah di beberapa buah negara termasuk Australia, spesies ini merupakan antara spesies penting dalam sektor akuakultur di mana spesies kaloi diternak secara besar-besaran untuk tujuan stok makanan.

 

Dalam aspek taksonomi, ikan kaloi dikelaskan berada dalam keluarga besar Osphronemidae, di bawah genus Osphronemus dengan nama binomial Osphronemus goramy. Membawa nama umum giant gourami dan kaloi menurut panggilan tempatan, merupakan spesies ikan natif Asia Tenggara iaitu memang berasal dari kawasan perairan Asia Tenggara.

 

Secara amnya pola taburan spesies kaloi banyak tertumpu di negara Asia Tenggara didapati di Lembangan Mekong hingga ke Mae Khlong di Thailand, sepanjang perairan di Semenanjung Malaysia dan Indonesia.

 

Dalam morfologi luaran spesies kaloi, ikan ini mempunyai bentuk badan agak leper atau disebut perciform atau perch like. Jumlah sirip dorsal berduri antara 12 hingga 14 manakala sirip anal berduri pula antara 9 hingga13. Bagi juvenil O. goramy, fasa warna badan biasanya mempunyai 8 hingga 10 bar menegak yang berwarna hitam dan warna ini akan hilang apabila mencapai tempoh matang.

IKLAN

 

Sirip dorsal lembut spesies ini memanjang dan berbentuk bulat menirus atau truncate, memanjang hingga ke atas bahagian sirip kaudal. Begitu juga dengan sirip anal ikan ini yang semakin melebar atau membuka ke belakang. Sirip pektoralnya agak bulat sementara bentuk sirip kaudalnya pula agak bulat atau disebut obtusely rounded.

 

Spesies ini merupakan spesies ikan gourami yang mampu membesar melebihi spesies gourami yang lain. Spesies ikan kaloi sebenarnya mampu hidup dalam keadaan air tawar dan air payau. Begitu pun, spesies ini dilihat lebih cenderung untuk memilih kawasan perairan air tawar sebagai habitat hidupnya.

 

IKLAN

Ekosistem habitat semula jadi ikan kaloi biasanya di kawasan paya, terusan, tasik dan juga sungai. Habitat kaloi sering kali tertumpu di kawasan yang berarus perlahan. Selain itu, kawasan perairan yang dipenuhi dengan tumbuhan vegetatif akuatik juga menjadi pilihan kepada spesies ikan kaloi untuk dijadikan habitatnya.

 

Di Malaysia, spesies ikan kaloi boleh ditemui di kawasan sungai-sungai besar dan sederhana utama seperti di Perak dan Pahang. Biasanya kawasan sungai atau habitat yang mempunyai banyak struktur kayu dan tumbuhan akuatik termasuk kawasan saliran yang agak kotor. Ikan kaloi juga mampu untuk mengambil udara secara terus seperti spesies ikan snakehead. Oleh itu, spesies ini mampu hidup agak lama biarpun di luar kawasan air.

 

IKLAN

Giant gourami atau ikan kaloi merupakan spesies ikan omnivor. Ikan ini memakan apa sahaja seperti rumpai air, ikan kecil, katak, cacing, organisma akuatik yang kecil malah hidupan akuatik yang telah mati juga dimakan oleh ikan kaloi.

 

Begitu pun, diet spesies ini lebih cenderung kepada tumbuhan. Dalam sektor akuatik, spesies kaloi juga digunakan sebagai haiwan pengawal rumpai air kerana keupayaannya untuk memakan dan mengawal tumbuhan vegetatif akuatik dan alga yang tidak dikehendaki. Ini kerana, ikan kaloi yang dewasa mampu untuk memakan tumbuhan akuatik yang bersifat fiber secara terus.

 

Mengenal Fisiologi Si Ikan Kaloi!!

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI