Taksonomi
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Scorpaeniformes
Family: Platycephalidae
Genus: Platycephalus
Species: P. indicus
Binomial name: Platycephalus indicus
Bagi pemancing pantai, muara atau pesisir pantai, spesies ikan bebaji boleh dikatakan salah satu ikan yang bakal diperoleh selain pari, bebolos, gelama, belukang, duri dan pelbagai lagi. Ikan bebaji atau turut dikenali sebagai bebebaji merupakan ikan dalam keluarga flathead, dengan membawa nama saintifik Platycephalus indicus. Dalam panggilan global ia dikenali dengan nama umum bartail flathead.
Selaku ikan dalam keluarga flathead, ikan bebaji memiliki kepala yang leper mendatar. Mulut di bahagian bawah panjang sedikit dari rahang atas dan terdapat sekelompok gigi tajam yang meruncing ke dalam. Bentuk gigi sebegini bertujuan untuk mengelakkan mangsa terlepas apabila dicengkam.
Matanya kecil terletak di bahagian atas kepala yang lebar dari badannya sendiri. Bentuk badannya menirus ke belakang dan agak lebar saiznya. Berwarna coklat dan berbelang hitam di badan dan boleh menyamai warna lumpur yang menjadi habitatnya. Selain itu ia juga untuk tujuan penyamaran ketika menanamkan sebahagian badan pada lumpur dasar. Ekornya berjalur hitam putih dan separuh bulat. Bahagian bawah perut keseluruhannya cerah.
Pada asasnya ikan bebaji tidak menggigit atau memiliki sirip berduri yang berbisa. Tetapi perlu awas pada dua bebaji (duri tajam) di kiri dan kanan berdekatan bahagian kepala. Elakkan memegang bahagian kepala ikan ini dengan tangan kerana duri yang terselindung di bahagian kepala ini boleh melukakan tangan anda dengan mudah dan setajam pisau. Gunakan playar atau alatan yang sesuai untuk mengeluarkan mata kail dari mulutnya.
Ikan bebaji boleh menjangkau panjang sehingga 1 meter kaki tetapi spesimen sebegini jarang ditemui di pengairan negara kita. Setakat ini tiada kajian dilakukan untuk memastikan secara saintifik kenapa ikan bebaji yang terdapat di negara kita jauh lebih kecil berbanding di Australia. Spesimen yang biasa diperolehi di perairan tempatan sekitar 20 cm hingga 30 cm sahaja.
Taburan ikan bebaji agak meluas dari India hingga Australia, terutama Queensland dan Selatan Jepun hingga di perairan negara kita. Ikan berkepala leper mendatar ini mudah ditemui di kawasan perairan cetek yang mempunyai dasar berlumpur dan berselut.
Kadang kala ia turut mendiami kawasan pantai berpasir tetapi spesies yang suka membenamkan diri ini lebih tertumpu di kawasan pasir halus serta lembut.
Paling banyak ia dipancing ialah di sekitar kawasan berlumpur di persisran pantai Barat semenanjung terutama berdekatan dengan Jambatan Pulau Indah, Sekitar pelabuhan Kelang dan persisiran pantai Segari, Perak.