Mata kail merupakan terminal tackle paling murah berbanding peralatan utama seperti joran dan kekili. Tetapi tanpa mata kail, joran dan kekili termahal sekali pun takkan berjaya mendaratkan ikan. Oleh yang demikian, kita seharus menghargai mata kail dengan memahami bahagian dan peranannya.
EYE (CINCIN MATA KAIL)
Ia merupakan bahagian paling atas di mana ia menjadi bahagian utama untuk menghubungkannya dengan tali pancing dengan simpulan atau ikatan-ikatan mata kail. Tak semua mata kail memiliki cincin. Mata kail tanpa cincin dikenali sebagai eyeless hook.
SHANK (TERAS BATANG)
Bahagian yang menyambungkan mata ke bingkai mata kail. Setiap mata kail memiliki teras yang berlainan kepanjangannya dan bergantung kepada jenis aplikasi memancing. Sama ada terus panjang atau pendek, penghujungnya semakin cenderung untuk bengkok.
BEND (LENGKUNG/BENGKOK)
Lengkung atau selekoh di bahagian bawah mata kail yang terdiri daripada pelbagai gaya dan jurang. Bahagian ini adalah tulang belakang mata kail kerana jika diberi tekanan berlebihan akan melurus sekali gus bakal kehilangan ikan yang dipancing.
GAP (JARAK)
Ia adalah jarak antara hujung bilah mata kail dan teras yang tercipta dari hasil panjangnya lengkung. Jarak jurang itu ditentukan berdasar pada umpan yang digunakan dan lebar rahang spesies sasaran. Untuk lebih jelas, untuk cangkukan sempurna ikan berahang luas memerlukan jurang mata kail yang lebih luas.
POINT (MATA JARUM)
Boleh dikatakan ia bahagian paling penting pada mata kail. Mata jarum yang kuat dan tajam adalah kritikal kerana ia adalah titik pertama di mana ia berhubung dengan ikan. Sekiranya ia gagak menembusi mulut ikan maka ia adalah kegagalan mutlak.
BARB (DURI PANDAN)
Bahagian ini direka untuk memegang ikan yang dipancing apabila mata kail menembusi bahagian mulutnya. Bahagian ini juga menjadi bahagian paling ditakuti oleh pemancing sekiranya mata kail tertancap pada anggota badan sendiri.
Justeru bagi pengamal sukan memancing sejati, mereka akan mematahkan duri pandan atau menggunakan mata kail tanpa duri pandan kerana ia bersifat lebih adil dan mesra kepada pemancing dan juga ikan.