Sepadan dengan nama kumpulan memancing yang kami tubuhkan iaitu Geng Menebing Klang (GMK), maka aktiviti memancing yang kami lakukan lebih menjurus kepada teknik pancingan dasar, menggunakan umpan dan batu ladung sebagai pemberat.
Cuma sedikit perbezaan pada trip memancing kami baru-baru ini, kami bukannya memancing di jeti atau tebing-tebing muara atau kuala sungai, sebaliknya di atas bot pengangkut yang berlabuh di Bagan Hailam, perairan selat Pelabuhan Klang.
Maka konsep pancingan yang dilakukan hampir sama sahaja dengan pancingan tebing atau menebing. Namun ia jauh lebih selesa berbanding menebing di tepi muara.
Untuk memancing di atas bot atau kapal parking ini tidaklah susah dan tidak perlu perancangan atau persiapan berhari-hari lamanya.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah pergi ke Jeti Bagan Hailam yang terletak di Pelabuhan Klang.
Di jeti ini akan kelihatan sampan-sampan kecil yang menawarkan perkhidmatan menghantar pemancing ke bot-bot pengangkut yang berlabuh di tengah selat.
Tentu sahaja ia lebih mudah jika kita sudah memiliki nombor telefon operator-operator sampan ini.
Ads
Hari itu saya bersama empat rakan dari GMK mencuba nasib memancing di atas bot parking ini. Kami tiba jam 9 pagi dan bernasib baik kerana banyak terdapat kapal yang berlabuh.
Jadi kami bebas memilih bot mana yang dikehendaki dan mudah untuk berpindah sekiranya kapal tersebut perlu bergerak.
Lazimnya kapal-kapal tersebut jarang keluar jika sudah berlabuh dan di situ.
Memandangkan tiada sebarang bayaran dikenakan untuk memancing di atas bot-bot tersebut maka para pemancing haruslah menghargai kemudahan yang disediakan secara percuma.
Ads
Jangan sesekali bersikap panjang tangan, merosakkan peralatan di atas bot dan meninggalkan bot dengan sampah atau dalam keadaan kotor.
Sebagaimana keadaan bot ketika naik memancing, begitulah jugalah keadaannya apabila kita selesai memancing.
Menggunakan umpan udang dan umpun-umpun, kami memulakan sesi memancing dengan santai tanpa sebarang tekanan.
Kami yang sudah biasa menebing dan faham dengan faktor spesies yang mendiami habitat di kawasan bot parking tersebut, tidak menaruh harapan tinggi untuk memperoleh ikan bergred tinggi seperti senangin dan jenahak.
Ads
Justeru kami tidak merungut apabila kebanyakan spesies yang mengambil umpan kami terdiri daripada gelama dan duri.
Sekiranya ada ikan jenahak atau tetanda yang makan umpan, ia bolehlah dianggap sebagai satu bonus kepada kami.
Namun rezeki kami agak baik hari itu kerana di sebaliknya banyak duri dan gelama yang dinaikkan terdapat juga spesies yang enak dijadikan juadah iaitu sembilang.
Banyak ekor juga sembilang yang kami peroleh.
Sembilang yang bersaiz sesuai untuk hidangan kami ambil dan saiz yang kecil kami lepaskan kembali ke habitatnya.
Keseronokan melayan sembilang menyebabkan tidak tersedar masa berlalu.
Memandangkan servis operator sampan tamat pada jam 7 petang, sekitar jam 6 petang kami menghubungi operator sampan yang menghantar kami untuk kembali ke darat.
Oleh: Elias Jenahak
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Empangan Bakun sudah dikenali ramai dengan keluasan kawasan takungan air yang merupakan terbesar di Malaysia. Tasik yang mempunyai keluasan permukaan air yang hampir sebesar republik Singapura dengan kepelbagaian bentuk muka bumi, semestinya menjanjikan satu arena mengilat yang pasti menawarkan 1001 pengalaman.
Perkenalan saya dengan rakan sekerja dari Bintulu Sarawak iaitu Richard telah membuka satu peluang baru kepada saya dan rakan-rakan untuk merancang satu trip 3 hari 2 malam ke Tasik Bakun. Trip ini di sertai oleh rakan-rakan pemancing dari Sibu Sarawak iaitu saya, Zyul, Ayie dan Pak Anjang serta Richard selaku guide kami.
Pak Anjang menyarankan agar kami berangkat pada sebelah malam dari Sibu agar kami dapat berehat di rumah Richard dan masa memancing yang lebih panjang memandangkan kami akan mengharungi perjalanan yang agak jauh. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 5 jam dari Sibu ke Sungai Asap disambut dengan mesra oleh Richard walaupun jam sudah hampir pukul 2 pagi.
HARI PERTAMA
Keletihan akibat perjalanan selama 5 jam dan tidur yang tidak mencukupi tidak melunturkan semangat kami untuk menduga penunggu Tasik Bakun. Suasana damai di kawasan kampung Richard sememangnya amat menyegarkan, jauh berbeza dengan suasana kota yang sibuk.
Seawal pukul 7 pagi lagi, kami telah memunggah bekalan dan enjin bot ke dalam Hilux milik Pak Anjang. Semangat kami berkobar-kobar walaupun masih ada 2 jam perjalanan ke jeti Tasik Bakun dengan mengharungi jalan balak yang berlubang-lubang. Dari Bakun, kami perlu mengharungi perjalanan ke rumah rehat yang mengambil masa 1 ½ jam.
Setibanya kami di rumah rehat, kami berehat seketika mengalas perut sebelum memulakan aktiviti pancingan kami. Yang menariknya tentang rumah rehat kami itu ialah ia terapung di atas air. Menurut Richard, rumah itu dibina oleh keluarganya pada lokasi asal tanah mereka sebelum tempat tersebut menjadi empangan.
Satu pengalaman yang amat unik dan menarik. Menurut Richard sekitar Tasik Bakun banyak terdapat banyak anak-sungai dan jeram berbatu yang merupakan syurga mengilat sebarau dan tengas. Kami menjadi semakin bersemangat walaupun keletihan. Mi segera yang dimasak pun tidak dihiraukan kerana asyik menyiapkan senjata mengilat masing-masing.
Kami memulakan kembara dengan menaiki bot yang dikemudikan oleh Richard sendiri ke destinasi yang pertama. Satu cabaran terpaksa kami tempuhi kerana jalan masuk ke kawasan sungai berbatu dipenuhi dengan timbunan sisa balak yang hanyut. Bot terpaksa diikat pada sebatang pokok dan kami terpaksa meredah semak dan air yang dalam sebelum sampai ke kawasan yang lebih cetek.
Pak Anjang memulakan aksi hari pertama dengan satu sambaran yang kuat daripada penghuni sungai. Rupa-rupanya seekor haruan yang agak besar saiznya. Suasana sungai sangat tenang dan mendamaikan. Kami mengilat sambil berjalan di sepanjang sungai yang berbatu itu. Pencarian penghuni sungai berbatu itu pada mulanya tidak memberangsangkan.
Namun Richard tersenyum sambil memberitahu “Tunggu sehingga kita sampai ke lubuk yang pertama”. Namun kami tetap melontar gewang sambil berjalan dan sambaran demi sambaran yang kami terima agak mengujakan. Setiap karauan gewang kami pasti disambar oleh sebarau juvenil.
Setibanya kami di lubuk yang pertama kami tidak membuang masa dan terus mengilat. Amat mengejutkan kami apabila seorang demi seorang berjaya menewaskan sebarau. Sememangnya sungai ini belum tercemar dengan aktiviti-aktiviti manusia. Sebarau bersaiz 500-700 gram sentiasa membaham gewang yang kami lontarkan. Setelah hari beransur petang kami trekking kembali ke tempat di mana bot ditambat pada paginya.
Petangnya kami sampai ke rumah rehat dan segala otot pada kaki sudah terasa perit hasil trekking seharian. Pada sebelah malamnya kami berborak sambil menikmati makanan yang disediakan oleh Richard sambil ditemani deruan bunyi generator rumah rehat ini. Sememangnya masakan dengan bahan minima amatlah lazat dan licin dibedal semuanya.
HARI KEDUA
Seawal pukul 6 pagi saya bersama Pak Anjang dan Richard telah keluar menggunakan bot di sekitar kawasan rumah rehat untuk mengilat sementara Ayie dan Zyul melayan fly di rumah rehat. Harapan menggunung untuk cuba mencari sebarau bersaiz kasar di sekitar kawasan itu namun hanya disambut oleh sebarau remaja sahaja.
Tanpa melengahkan masa, kami balik ke rumah rehat untuk bersarapan dan menyiapkan kelengkapan mengilat. Timbunan kayu balak di sungai berbatu lebih banyak berbanding hari sebelumnya namun Richard mengambil keputusan untuk membawa masuk bot sambil meredah timbunan balak.
Objektif pada hari kedua adalah untuk sampai ke lubuk-lubuk yang lebih jauh ke hulu sungai sambil mencari ikan trofi untuk trip ini. Amat meletihkan apabila perlu melangkah batu-batu yang besar dan licin. Sememangnya tidak dinafikan ikan air tawar terutamanya sebarau sememangnya banyak sehinggakan kami boleh melihat kawanan ikan ini di kawasan air yang cetek. Tidak ketinggalan spesies kejor atau dikenali sebagai semah di Sarawak juga banyak terdapat di sungai ini.
Strike demi strike membuatkan kami sangat teruja. Terutama dari spesies kejor sememangnya mempunyai kudrat dan larian laju yang berbeza dari sebarau. Joran bersaiz ringan yang kami guna menyebabkan tentangan dari kejor dan sebarau bersaiz 500 gram ke 700 gram amat mengujakan.
Teknik karauan laju diperlukan untuk menarik minat penghuni sungai ini dan lontaran tepat ke kawasan bawah jeram semestinya akan ada sambaran walaupun seolah-olah tempat tersebut tidak berpenghuni.
Kawasan air yang deras ini selalunya akan mendapat sambaran dari spesies kejor yang pantas. Gewang-gewang selaman dalam yang berwarna terang dan sesudu merupakan tarikan kepada penghuni sungai ini. Penggunaan shallow runner pada karauan laju juga terbukti berkesan.
Pada sebelah petang, saiz sebarau yang dinaikkan semakin memberangsangkan. Lontaran Richard yang tepat pada satu lubuk berbatu di sahut oleh satu sambaran yang kasar oleh penghuni sungai. Pak Anjang sempat merakamkan detik-detik pertarungan Richard dengan sebarau seberat 1.5kg. Sebarau pertama yang bersaiz atas satu kilogram berjaya ditewaskan.
Kami mengambil keputusan untuk berehat seketika di sebuah lubuk sebelum pulang. Boleh tahan juga lubuk ini kerana banyak sambaran dari sebarau dan kejor yang bersaiz kasar. Zyul memulakan aksi rehat kami apabila deep diver yang dilontarnya tiba-tiba ditarik dengan kuat.
Joran dengan kekuatan 4lb-10lb melentur dengan kuat sekali mengalih tumpuan kami kepadanya. Selepas bertarung hampir 10 minit dia berjaya menewaskan kejor bersaiz 1.3kg. Kudrat larian spesies ini bagaikan torpedo, lebih-lebih lagi bila mengawal lariannya dengan tali mono 10lb!
Lubuk yang kecil tetapi mempunyai banyak penghuni sungai yang sentiasa menantikan gewang-gewang kami. Sehinggakan saya dan Ayie beberapa kali menerima sambaran pada masa yang sama ‘double strike’. Pada jam 6 petang kami balik ke rumah rehat. Walaupun keletihan namun kegembiraan terukir diraut wajah kami.
HARI TERAKHIR
Kami bercadang untuk singgah sebentar di kawasan air terjun dalam perjalanan balik. Dikatakan kawasan air terjun ini juga banyak sebarau bersaiz kasar. Setibanya di kawasan air terjun ini, kami memasuki kawasan secara senyap dan tanpa membuang masa terus melakukan lontaran gewang. Lontaran pertama Pak Anjang terus ditarik dengan kasar ke arah reba dengan kuat sekali.
Dengan pengalaman dan tenang Pak Anjang berjaya menaikkan seekor sebarau bersaiz 1.4kg. Sememangnya gewang berwarna terang dan selaman dalam yang digunakan oleh Pak Anjang amat menarik minat sebarau-sebarau di kawasan ini. Aktiviti memancing kami ditamatkan pada sebelah tengah hari dengan bergambar beramai-ramai di kawasan Empangan Bakun.
Pengalaman dan kenangan mengilat di Tasik Bakun tidak akan kami lupakan. Walaupun rata-rata saiz yang dinaikkan tidaklah mencapai tahap mega, namun kepuasan menaikkan pelbagai spesis sehingga tidak terkira adalah sangat-sangat memuaskan. Semua hasil tangkapan kami lepaskan untuk memelihara tempat ini untuk masa hadapan.
Keletihan tergambar diraut wajah setelah sampai ke jeti dan kami masih perlu meneruskan perjalanan balik yang jauh selama 7 jam lagi. Kami pasti akan kembali ke tasik ini lagi pada masa hadapan untuk menjejak saiz-saiz mega yang belum didaratkan!
Badan sakit boleh sihat bila memancing! Balik rumah sakit menjelma dan pulih kembali bila berada di lautan bertemankan joran.
Inilah yang saya perhatikan apabila terjadi kepada seorang sahabat lama yang kesihatannya tidak begitu memberangsangkan sejak beberapa bulan sebelumnya.
Namun begitu pada waktu sama beliau tidak ketinggalan menyiapkan bot untuk kegunaan apabila sihat nanti. Sabar menanti dalam waktu ia siap, beliau kerap menjalani rawatan di pusat perubatan.
Perancangan daripada manusia, ketentuan dari Ilahi dan bot siap ketika keadaan beliau belum pulih sepenuhnya.
Bayangkan bila bot siap dan ditukar dengan enjin baharu sesiapa sahaja tidak sabar untuk turun beraksi. Mana boleh tahan bila pelaburan dibuat tanpa dapat menuai faedahnya.
“Badan masih lemah-lemah lagi tapi gian sangat ni lama tak mancing. Jom esok turun ‘ngetes’ (pandu uji sambil pancing) bot baru!” ujar Haji Yusof kepada saya sebaik sahaja bot diturunkan ke air.
Salah satu bukti minat dan gian sebagai salah satu rawatan psikologi semula jadi membantu dalam kehidupan seharian.
Perancangan ala kadar sahaja memandangkan ia diputuskan pada saat akhir. Nasib baik ada kenalan hulur beberapa ekor sotong kurita baki mereka memancing pada hujung minggu.
Perancangan awal menuju ke lokasi yang dah hampir setahun dilupakan kerana ketiadaan sampan yang sesuai untuk ke sana.
Lubuk paloh
Paloh atau lubuk yang dimaksudkan terletak hampir dengan garisan merah laluan kapal dagang.
Lokasi ini hanya sesuai memancing pada siang hari kerana penglihatan dan pengawasan terhadap kapal yang lalu lalang lebih baik.
Memancing bersauh di kawasan ini adalah berisiko tinggi. Kalau berhanyut kadang kala kita akan berada di tengah dua biji kapal kontena besar, maka tidak lama selepas itu sampan
perlu berada dalam ‘standby mode’ untuk melawan dua alun kapal yang bakal menghimpit bot kiri dan kanan laluan.
Perjalanan memakan masa sejam setengah dari pangkalan menuju ke lokasi yang terletak hampir 24 batu nautika di tengah Selat Melaka.
Namun jarang sekali dapat memecut dengan kelajuan 25 knot lebih kerana di sini lautnya tidak pernah tenang.
Pagi itu setiba di Pulau Pintu Gedung, alun lebih dari semeter tinggi memperlahankan bot sehingga ramai yang berpatah balik menunggu angin dan alun reda.
Pukul 9 pagi kami bergerak, jam 12 tengah hari baru tiba di lokasi termasuk 30 minit sesi apollo mencari umpan ikan hidup dalam keadaan angin dan arus yang bertembung tersebut.
Semua ini diredah demi menunaikan hajat sahabat sambil memulihkan semangat daripada keuzuran yang dialami sebelum ini.
Memancing berhanyut di kawasan air sekitar 180 kaki dalam tidak boleh bergantung kepada satu set pancing sahaja.
Paling tidak 2 set untuk setiap orang namun kedudukan joran dan jarak pancing perlu diatur supaya tidak memangkah satu sama lain.
Haji Yusof menggunakan kekili elektrik atas alasan tenaga beliau belum pulih sepenuhnya. Cuma semangat beliau menjadi pengubat kepada penyakit yang di alami.
Umpan segar
Umpan hidup amat perlu memancing dalam keadaan begini kerana ikan yang paling banyak berada di kawasan dasar sentiasa lapar dengan umpan pemancing.
Sang tengkerong adalah pencuri umpan paling dinamik dan rakus mengutis jika umpan mati diguna pakai. Ikan hidup dan kurita hidup bukanlah menjamin 100% dari serangan
ikan kecil namun ia dapat bertahan dari serangan tengkerong sebelum umpan memasuki ‘strike zone’.
Bila terjadi strike zone, bot akan berpatah balik tidak lama selepas itu mengulangi laluan sama kerana ikan buruan biasanya berkumpulan kecil.
Mesti ada lagi saki baki ikan berkenaan di lopak laluan. Atas dasar ini kedalaman hampir 200 kaki untuk mengarau sampai 3 set pancing manual memang memenatkan.
Tenaga sentiasa diperlukan kerana tersasar kelaluan kapal juga perlu dikarau pancing mencari kedudukan yang lebih selamat.
Kami berempat menggunakan kedua-dua jenis umpan yang dibawa. Selain tamban dan selar, kurita sebenarnya adalah pilihan ramai kerana ia lebih lasak berbanding ikan hidup.
Ada juga pertanyaan, sotong tu tak menyelinap dalam karang ke, jawapan tentu tidak sempat kerana ia diseret ladung saiz 16 hingga 24 sepanjang masa dengan kelajuan mengikut halaju arus dan angin setempat.
Hari itu kelajuan arus sambil dibantu tolakan angin ialah 1.7 knot. Agak laju juga kebarangkalian kurita berenang melarikan ladung nombor24 yang terseret di dasar adalah kecil.
Bila laju begini kurita akan mengambai sedikit di atas permukaan dasar seperti memanggil mana-mana ikan yang kelaparan. Bukan ikan sahaja, malah jika laluan terdapat karang tinggi, ia turut memerangkap kurita sehingga joran melentur sehabisnya.
Kepekaan terhadap situasi begini diperlukan kerana kemungkinan joran patah berlaku.
Atas dasar ini disarankan agar tidak menggunakan tali perambut yang keterlaluan kasar kerana sangkut pada objek dasar tinggi kemungkinannya.
Dengan bantuan joran 20-50lb, kekili multiplier manual 3000 siri minima muatan tali sulam 80 Lb disambung dengan perambut 60Lb sepanjang 2 depa serta diikat 2 mata kail 3/0 dan 5.0 sudah cukup sesuai untuk kegunaan kawasan ini.
Bila kail tersangkut, biasanya perambut 60 Lb akan putus berbanding dengan tali utama. Maka selamat ladung serta tanduk keluli tahan karat.
Saya gemar menggunakan kekili high speed dengan nisbah putaran 6.1:1 lebih pantas isian tali berbanding dengan kekili elektrik.
Walaupun dalam keadaan cuaca yang beralun, kami tidak perlu menunggu lama apabila kurang dari 30 minit melabuhkan umpan strike pertama diterima.
Hari itu leretan hanyut sampan masuk lubang persembunyian jenahak. Dua joran bergegar serentak, saya sempat menyentap satu darinya, manakala satu lagi joran dibiarkan melentur seketika.
Dalam proses melawan tarikan ikan pertama, joran kedua terlucut hasilnya di pertengahan jalan. Jenahak skala 2.5kg menjadi modal penyuntik semangat terutama Haji Yusof yang tekun memerhatikan gegaran kecil pada hujung jorannya.
Memasuki zon sentapan kedua, kali ini dua joran sekali lagi bergoyang Inul, kebetulan keduanya milik Haji Yusof.
Semakin pulih semangat orang lama ini melihat jorannya mengena ikan. Setidak-tidaknya hajat melihat set pancing beliau menarik ikan sudah terlaksana jua.
Muncul ikan jenahak dara dalam berat 1kg dan seekor ikan remong-remong setengah kilo tidak melemahkan semangat beliau kerana titik permulaan saiz bukan ukuran, yang penting ialah hasil dan jumlah menurutnya lagi.
Kemudian semua joran dinaikkan ke atas untuk mengulangi laluan zon serangan mencari lagi kumpulan jenahak di kawasan dasar berkarang jeriji.
Mana yang pakai kekili elektrik, senyum sahaja, picit butang katanya, yang menggunakan set manual bekerja keras menggulung 2 set pancing masing-masing kerana mengejar waktu ikan sedang membuka selera.
Meriahnya tangkapan
Pusingan kedua pula umpan baru dipasang dengan kombinasi ikan selar hidup, kurita serta tamban mati segar.
Saya biasanya akan memberi isyarat kepada yang lain apabila kedudukan sampan hampir memasuki zon ikan menyentap umpan agar masing-masing bersedia pada kedudukan.
Kelebihan membiarkan umpan hanyut jauh dari yang lain supaya tidak berbelit sekali lagi membuahkan hasil, dua pancing saya mengena lagi.
Yang belum merasa tarikan diberi peluang untuk mengayuh dan mengepam kekili menarik ikan dari ke dalam 165 kaki ketika itu.
Hasil pusingan kedua seekor aruan tasik 11kg membedal ikan selar manakala ikan merah 3 kg lebih teruja dengan umpan tamban yang baru mati. Selesai sesi fotografi, sampan tidak lama lagi bakal memasuki zon serangan kedua.
Mana-mana joran yang berbelit sudah diperbetulkan dan kini hanya menunggu sahaja tanda-tanda getuan ikan terhadap umpan.
Masuk sahaja zon kedua, 4 joran meletur, melentur dan terus melentur tanpa getaran…. ini kali bukan strike tapi sangkut. Inilah pahit maung bila memancing berhanyut.
Selesai mengikat perambut baru, Haji Yusof menyarankan kami mengulangi zon ini untuk kali ketiga. Tempat sangkut kuat tentu ada kerapu…pedoman orang lama. Masuk sahaja zon waspada, joran saya mengena terlebih dahulu.
Jamsuri mengambil alih posisi mengepam ikan kerana tidak lama getuan mengena untuk joran kedua.
Arie pula mencapai joran melayan asakan ikan. Seekor kerapu ‘table size’ dan haruan tasik kedua menambah koleksi kami.
Dalam pada itu Haji Yusof turut mengena ikan merah saiz hampir sama dengan merah pertama tadi.
Dalam kesuntukan waktu, ketika proses mengarau pancing ke atas, Jamsuri pula terpaksa bertegang urat menahan jorannya tersangkut.
Tidak lama selepas itu sangkutan terlerai jorannya terenjut-enjut seperti mengena sesuatu. Sah ikan cuba mencari perlindungan di celah karang namun saiznya menjadikan ia sukar untuk menyelinap.
Kerapu penutup tirai kerana kami perlukan sejam lebih untuk sampai ke jeti di celah lelangit mula kemerahan.
Menggunakan khidmat tekong Abang Nasir yang memang terkenal di Kuala Trong, Perak, Mohd Nabil dan juga Azlin Shah telah ke Kuala Trong untuk menduga spesies ini yang dikatakan sangat rakus dan mampu melakukan aksi akrobatik setelah menjamah umpan.
Mengamalkan teknik casting dan menggunakan gewang pelbagai jenis Mohd Nabil mempertaruhkan joran Abu Garcia Vandetta dan kekili menegak dari keluaran Shimano
Aldebaran MG7 serta Azlin menggunakan Joran Verdict berkekuatan 8-16 lb serta kekili mendatar dari model Abu Garcia Elite IB.
Kedua-duanya menggunakan tali sulam berkekuatan 15lb dari Power Pro dan diikat bersama leader berkekuatan 30lb Xzoga untuk menjamin mangsa tidak terlepas sekiranya melarikan gewang.
Nadi penggerak sampan sepanjang 17 kaki dan juga enjin Yamaha 15 kuasa kuda digunakan dalam misi memburu spesies ini.
Bagi Abang Nasir, jelasnya tiada lubuk rahsia kerana rezeki itu ada di mana-mana asalkan kita berusaha bersungguh sungguh. Sepanjang sungai Kuala Trong ini dipenuhi dengan pokok bakau disekitarnya.
Alur ini juga dijadikan juga sebagai laluan utama nelayan ke laut. Selain itu, cabang-cabang sungai kecil juga boleh dijadikan lubuk-lubuk yang baik bagi menjerat mangsa.
Ada kalanya siakap merah ini membuat sambaran anak-anak ikan kecil di permukaan air dan itu menunjukkan ianya berada di situ.
Ini memberikan peluang yang tinggi ketika lontaran gewang dibuat berhampiran dengan mangsa.
Teknik casting atau karauan setiap masa digunakan untuk menjerat mangsa sepanjang trip ini.
Mohd Nabil yang ketika itu berada di hadapan bot lebih banyak membuat lontaran ke arah rimbunan akar pokok bakau dan membuat karauan secara perlahan. Beberapa kali lontarannya tidak disambut, Mohd Nabil menukar teknik karauan secara laju.
Menggunakan gewang MR-7 Silver Flourescent Chartreuse SFC dan lontaran tepat ke arah rimbunan akar bakau dan sebaik sahaja karauan menghampiri pertengahan, satu sambaran dirasakan dan serentak dari itu juga satu benaman kuat dirasakan.
Batang joran terus dikawal supaya ianya tidak membawa lari gewang ke arah akar bakau yang berada disekitar.
Permainan singkat kerana kepakaran mengawal drag secara baik ketika itu telah berjaya mendaratkan seekor siakap merah berskala 1kilogram. Tekong berpindah ke lubuk lain setelah tiada sambaran lagi ini lubuk awal tadi.
Kali ini tekong melabuhkan sauhnya betu betul hampir 10meter dari tebing. Lontaran demi lontaran dibuat berhampiran tebing hingga kearah reba akar bakau.
Adakala terasa ragutan kecil yang rabut kemungkinan ikan kecil yang tergoda dengan lenggokkan gewang Rapala Shad Rap selaman dalam 9 cm yang digunakan Azlin.
Bukan kaki casting tegar namanya, jika tidak rajin mengkaji riak sambaran pemangsa menyambar ikan kecil dan kawasan reba berpotensi.
Azlin yang tanpa jemu melontar ke arah pertengahan alur sungai dan telah mendapat satu sambaran kasar.
Sentapan di buat sebaiknya dan satu loncatan kasar dari pertengahan sungai sebaik mata kail tertancap kemas pada mangsa.
Kelihatan mangsa yang cukup dewasa cuba melarikan diri ke tebing dan Azlin ketika itu yang tersentak mengangkat joran ke posisi yang lebih tinggi bagi mengawal keadaan yang agak terdesak bagi mangsa melarikan diri.
Pertarungan selama 10minit itu telah berjaya mendaratkan siakap merah dalam anggaran skala 2 kg. Memang satu kepuasan buat kaki casting jika berjaya mendaratkan spesies samseng muara berskala ini.
Beberapa ekor lagi berjaya didaratkan menggunakan gewang-gewang yang berlainan dan bermakna spesies ini menghentam apa saja yang mengganggu persekitaranya ketika lapar.
Perkara asas dalam etika memancing siakap merah ini adalah kita harus mencontohi sikap juang seperti spesies ini yang akan sedaya upaya melarikan diri. Konsepnya sama dengan hasil usaha yang dikerahkan untuk menjerat mangsa tanpa mengenal rasa jemu.
Kepada yang baru berjinak dengan teknik ini, cubalah rasai ‘kuasa tarikannya’ ketika anda sedang mengarau kekili anda dan seterusnya berjuang menghelanya dari memasuki celahan reba dan bangkar kayu.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...