Trip ini bukanlah satu trip memancing berstatus mega atau elit, tetapi lebih merupakan trip mengekalkan hubungan silaturahim antara kami berempat.
Oleh yang demikian, hasil trip bukanlah menjadi keutamaan.
Meskipun bekerja di bawah satu bumbung namun disebabkan berlainan bidang tugas dan waktu kerja, ia menyebabkan peluang untuk kami bersua muka apatah lagi lepak bersama semakin lama semakin mengecil.
Namun kami mempunyai hobi yang sama dan melalui hobi inilah silaturahim itu berkekalan.
Sempena cuti yang agak panjang dan kebetulan ada trip memancing di Kuantan, saya mempelawa Faiz, Fadzrul dan Fitry untuk turut serta.
Sebelum menyertai trip memancing pada keesokan harinya, kami singgah dahulu di rumah keluarga Faiz untuk sesi pancingan santai mengilat haruan.
Ads
Port atau padang pancing yang menjadi permainan kami merupakan sebuah bekas kolam ternakan ikan yang tidak lagi aktif. Kolam yang semakin cetek dan hampir dilitupi rumpai
sepenuhnya itu sudah lama terbiar dan hanya didiami spesies tegar seperti haruan dan puyu.
Tanpa banyak membuang masa sebelum senja menjelang, kami segera mengayun umpan tiruan pilihan masing-masing Hasil penggunaan umpan tiruan getah lembut atau soft
plastic, Fitry menjadi pembuka tirai dengan mendaratkan seekor haruan yang agak kasar juga saiznya.
Ads
Tidak lama kemudian Fitry sekali lagi mendaratkan haruan di spot yang sama sekali gus mendorong kami yang belum merasai sambaran mengerumuni spot tersebut.
Namun tiada lagi haruan yang berjaya dipujuk.
Di penjuru bertentang tidak lama kemudian baharulah Faiz dan Fadzrul memperoleh lesen masing-masing.
Fadzrul berjaya memujuk haruan dengan menggunakan katak kayu Faiz atau jump frog sementara Faiz pula menggunakan gewang.
Ads
Manakala saya pula terus berputih mata. Hanya sekadar merasai sambaran beberapa kali namun gagal untuk mendaratkannya.
Hampir dua jam mengilat, hasilnya agak memberangsangkan juga. Terbukti kolam terbiar milik keluarga Faiz yang pernah menjadi lokasi penggambaran sebuah rancangan memancing suatu ketika dahulu masih lagi menghiburkan.
Memandangkan keluarga Faiz tidak bercadang untuk menjadikan haruan-haruan tersebut sebagai juadah maka kami lepaskan kesemuanya kembali ke kolam tersebut.
Sekiranya berpeluang suatu hari nanti kami akan kembali untuk memujuknya lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Selepas bermalam di sebuah hotel di Taman Scientex, kami bergerak bersama-sama Che Wan seawal pagi menuju ke sebuah muara yang berhampiran iaitu Kong-Kong. Sasaran kami kali ini ialah ingin menduga siakap yang dikatakan banyak terdapat di sini.
Ketibaan kami di jeti disambut dengan hujan yang turun dengan lebat dan sedikit kekecewaan kerana mengikut pengalaman lalu, siakap akan menjadi pasif sekiranya air menjadi sejuk. Tetapi memandangkan kami telah tiba, rancangan untuk tetap diteruskan.
Dengan menggunakan bekalan umpan udang hidup kami bergerak menuju ke muara Kong-Kong dengan menaiki 2 buah bot milik Che Wan.
Menurut Che Wan, siakap di muara ini kini amat sukar ditewaskan menggunakan gewang. Penggunaan teknik casting berumpankan udang hidup amat berkesan di muara ini.
Kami singgah di beberapa buah lokasi yang dipercayai tempat tinggal siakap. Pokok bakau tumbang merupakan lubuk ikan siakap di muara ini memandangkan ikan ini amat suka mengendap mangsanya.
Sepanjang pagi kami memancing dan gagal menghasilkan apa-apa tangkapan. Sekali sekala umpan dasar juga digunakan untuk mencuba nasib. Tetapi ia masih tidak menghasilkan apa-apa tangkapan. Ini sudah kami jangkakan sejak hujan turun pada awal pagi tadi lagi.
Akhirnya selepas ‘panjang tangan’ casting, akhirnya, seekor siakap berjaya diperoleh Saiful pada waktu petang. Ini diikuti siakap merah hampir 1 kg berjaya diperoleh oleh saya. Kemudian Che Wan juga berjaya memperoleh ikan tanda dan kerapu juvenil selepas itu.
Hasil boleh dianggap langsung tidak memberangsangkan, tetapi inilah adat hobi memancing ini dan kami tetap bersyukur. Lewat petang, kami pulang semula ke hotel untuk merehatkan badan.
Pemancing jenis ini biasanya suka set pancing yang tak sepadan dengan spesies buruan. Contohnya pakai joran PE0.5-1.0 dengan kekuatan tali 10lb untuk memancing ikan layaran. Bila berjaya, dengan bangganya canang satu dunia. Masalahnya, ahli trip yang lain terpaksa beri ruang, masa dan jadi penonton berejam lamanya untuk dia mencapai misinya. Kalau trip itu dia payung kembang tak jadi mengapalah jugak. Lagi pedih, dia langsung tak rasa bersalah.
Korang pasti akan berjumpa dengan pemancing jenis ini. Ada yang suka meminta bantuan ikatkan mata kail atau buat FG knot. Ada juga yang suka meminta alatan kelengkapan memancing macam perambut, mata kail, swivel dan macam-macamlah lagi. Tapi yang paling tak tahan kalau ada jenis yang bukan tak boleh buat sendiri atau tak ada semua peralatan tersebut tetapi memang jenis suka meminta.
Pemancing jenis ini memang sukar untuk menepati masa. Untuk mengenali pemancing jenis ini jangan terus diajak sertai trip besar. Uji dulu dengan beberapa sesi ngeteh. Kalau dia datang tepat pada masanya atau sekadar beberapa minit lewat, boleh la ajak join trip. Tapi kalau setiap ngeteh, tak pernahnya tak datang lewat, ada baiknya abaikan saja jika dia nak join trip. Pemancing jenis ini biasanya boleh menyebabkan trip terpaksa dibatalkan.
Apa reaksi korang kalau dah berejam tunggu kat jeti atau kat mana-mana, batang hidungnya masih tak nampak. Whatsapp tak berbalas dan nak call pun tak dapat. Selepas hari habis trip atau trip terpaksa dibatalkan, baru boleh contact dan tanpa rasa bersalah dia boleh cakap terlupa.
Cerita bab memancing di Malaysia, kaki pancing negara kita memang sudah amat sinonim dengan terma mengilat, pancingan dasar, pancingan pantai atau surfcasting dan beberapa teknik pancingan lain. Namun, jika disebut terma ‘coarse fishing’, mungkin kedengaran agak janggal bagi kebanyakan kaki pancing di Malaysia.
Penulis sendiri pun sebenarnya kurang pasti berkaitan teknik coarse fishing ini sehinggalah penulis bersemuka dengan salah seorang kaki pancing yang meminati coarse fishing ini. Tuan punya badan bernama Tengku Izzudin dan dialah yang menceritakan sedikit sebanyak perihal coarse fishing kepada penulis.
Tengku Izzudin merupakan seorang peminat teknik coarse fishing. Secara peribadi, penulis berani mengatakan bahawa dia merupakan antara beberapa figura terawal yang meminati dan mendalami ilmu teknik pancingan ini di Malaysia. Tidak keterlaluan jika hendak dikatakan dia antara ‘otai’ coarse fishing di Malaysia ketika ini.
MINAT BERMULA DI ENGLAND
Tengku Izzudin juga sempat berkongsi cerita bagaimana timbul minat dalam dirinya untuk terjebak ke dalam coarse fishing. Menurutnya, dia yang melanjutkan pengajian di Nottingham University merupakan seorang yang memang minat memancing sejak kecil. Ketika tinggal di Caterham, England, dia sering turun memancing ikan menggunakan teknik pancingan layang.
Sewaktu di universiti berkenaan, dia melihat komuniti pemancing di sana kurang menggunakan teknik pancingan layang sebaliknya ramai menggunakan teknik seakan-akan pole fishing. Dari situ, timbul rasa ingin tahu berkaitan teknik pancingan ini. Daripada rasa ingin tahu itulah, timbul pula keinginan untuk mempelajari dan mencuba sendiri teknik pancingan coarse fishing.
Ketika mula-mula mendalami ilmu pancingan coarse fishing, terdapat sebuah kedai pancing yang menjadi tempat untuknya mendapatkan peralatan pancing. Malah, pemilik kedai pancing yang diberi nama Super Tackle itu jugalah menjadi tempat rujukan hal-hal berkaitan teknik coarse fishing selain pemancing tempatan di sana.
Setelah beberapa lama mempelajari teknik coarse fishing, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini dapat mempraktikkan teknik ini dengan baik. Kesungguhannya meminati dan mempelajari teknik ini juga berbaloi apabila kedai pancing Super Tackle itu pernah menaja Tengku Izzudin untuk beberapa pertandingan coarse fishing di sana.
Sekitar tahun 1999, Tengku Izzudin pulang kembali ke tanah air termasuklah membawa semua peralatan pancing termasuk coarse fishing.
SERBA SEDIKIT PERIHAL COARSE FISHING
Semasa pertemuan kami, Tengku Izzudin sempat menerangkan serba sedikit kepada penulis berkaitan coarse fishing. Coarse fishing merupakan teknik yang berasal dari Eropah dan didefinisikan sebagai teknik pancingan (rod dan tali) semua ikan air tawar kecuali trout dan salmon. Oleh kerana spesies berkecuali tadi tiada di Malaysia, maka coarse fishing boleh didefinasikan sebagai ‘teknik pancingan air tawar ala Eropah’ di lapangan pancing di sini.
Teknik pancingan coarse fishing merupakan satu teknik pancing yang sangat teknikal. Teori penggunaan pilihan alatan pancing sangat penting, namun untuk aplikasi dalam lapangan itu lebih penting. Coarse fishing juga merupakan teknik pancingan aktif, berbeza dengan pancingan dasar yang berkonsep ‘baling dan tunggu’. Coarse fishing ialah teknik di mana pemancing perlu mencetuskan keghairahan ikan untuk memakan umpan.
Di Malaysia, antara spesies ikan yang boleh dijadikan sasaran menerusi teknik ini ialah spesies kap, rohu, jelawat, tilapia, lampam dan lain-lain. Pun begitu, merujuk kepada definasi coarse fishing, semua spesies ikan air tawar di Malaysia masih boleh dipancing menggunakan teknik coarse fishing.
Dalam teknik ini juga, tanda aras lebih kepada jumlah berat ikan yang ditangkap. Jadi boleh dikatakan coarse fishing merupakan teknik pancingan aktif yang mementingkan kuantiti ikan yang ditangkap. Katanya lagi, terdapat pertandingan dunia mengenai coarse fishing. Antara nama yang pernah menjadi juara pertandingan coarse fishing dunia ialah Steve Ringer dan Tamas Walter.
PANDANGAN DAN HARAPAN COARSE FISHING DI MALAYSIA
Sebelum menamatkan perbualan, penulis sempat bertanyakan harapan Tengku Izzudin tentang hala tuju coarse fishing di Malaysia. Secara peribadi, dia melihat perkembangan yang positif soal sambutan kaki pancing terhadap coarse fishing. Lebih-lebih lagi sejak wujudnya klinik dan bengkel berkaitan coarse fishing.
Bagi jangka masa panjang, dia berharap sambutan terhadap coarse fishing berterusan. Dengan pengurusan dan sambutan yang positif, Tengku Izzudin berharap pemancing Malaysia dapat menghasilkan satu pasukan pemancing coarse fishing untuk bersaing dalam kejohanan dunia.
Secara peribadi, penulis berasakan harapan Tengku Izzudin itu tidak mustahil menjadi realiti satu hari nanti kerana dia sendiri sudah pun bersaing dalam pertandingan coarse fishing.
Biografi ringkas
Nama : Tengku Izzudin Bin Tengku Ismail
Asal : Lahir di Kuala Lumpur
Umur : 41 tahun
Kerjaya : Jurutera
Pengalaman penulisan artikel memancing : Rod n Line, Sirip, The Star, The Asian Angler
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...