Trip ini bukanlah satu trip memancing berstatus mega atau elit, tetapi lebih merupakan trip mengekalkan hubungan silaturahim antara kami berempat.
Oleh yang demikian, hasil trip bukanlah menjadi keutamaan.
Meskipun bekerja di bawah satu bumbung namun disebabkan berlainan bidang tugas dan waktu kerja, ia menyebabkan peluang untuk kami bersua muka apatah lagi lepak bersama semakin lama semakin mengecil.
Namun kami mempunyai hobi yang sama dan melalui hobi inilah silaturahim itu berkekalan.
Sempena cuti yang agak panjang dan kebetulan ada trip memancing di Kuantan, saya mempelawa Faiz, Fadzrul dan Fitry untuk turut serta.
Sebelum menyertai trip memancing pada keesokan harinya, kami singgah dahulu di rumah keluarga Faiz untuk sesi pancingan santai mengilat haruan.
Ads
Port atau padang pancing yang menjadi permainan kami merupakan sebuah bekas kolam ternakan ikan yang tidak lagi aktif. Kolam yang semakin cetek dan hampir dilitupi rumpai
sepenuhnya itu sudah lama terbiar dan hanya didiami spesies tegar seperti haruan dan puyu.
Tanpa banyak membuang masa sebelum senja menjelang, kami segera mengayun umpan tiruan pilihan masing-masing Hasil penggunaan umpan tiruan getah lembut atau soft
plastic, Fitry menjadi pembuka tirai dengan mendaratkan seekor haruan yang agak kasar juga saiznya.
Ads
Tidak lama kemudian Fitry sekali lagi mendaratkan haruan di spot yang sama sekali gus mendorong kami yang belum merasai sambaran mengerumuni spot tersebut.
Namun tiada lagi haruan yang berjaya dipujuk.
Di penjuru bertentang tidak lama kemudian baharulah Faiz dan Fadzrul memperoleh lesen masing-masing.
Fadzrul berjaya memujuk haruan dengan menggunakan katak kayu Faiz atau jump frog sementara Faiz pula menggunakan gewang.
Ads
Manakala saya pula terus berputih mata. Hanya sekadar merasai sambaran beberapa kali namun gagal untuk mendaratkannya.
Hampir dua jam mengilat, hasilnya agak memberangsangkan juga. Terbukti kolam terbiar milik keluarga Faiz yang pernah menjadi lokasi penggambaran sebuah rancangan memancing suatu ketika dahulu masih lagi menghiburkan.
Memandangkan keluarga Faiz tidak bercadang untuk menjadikan haruan-haruan tersebut sebagai juadah maka kami lepaskan kesemuanya kembali ke kolam tersebut.
Sekiranya berpeluang suatu hari nanti kami akan kembali untuk memujuknya lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Setiap kali turun memancing laut dalam menggunakan bot memancing di Laut China Selatan, terutamanya di perairan Rompin, saya tidak akan melepaskan peluang untuk memancing atau lebih tepat lagi diistilah sebagai mencandat sotong mengabang. Kawasan unjam bahkan juga bekas tapak unjam lazimnya akan menjadi kediaman atau ‘kandang’ sotong mengabang serta sotong lainnya dalam jumlah besar berikutan ia turut menjadi kediaman ikan-ikan kecil yang merupakan sumber makanannya. Namun di Selat Melaka, terutamanya perairan Pelabuhan Kelang, saya tidak berpeluang untuk mengamalkan salah satu teknik memancing yang menjadi kegemaran saya ini. Selain ketiadaan unjam, sotong mengabang dikatakan sukar untuk ditemui, mencandat sotong itu sendiri umpama sesuatu yang ganjil jika dilakukan di Selat Melaka.
Sehinggalah apabila mendapat perkhabaran dari tekong-tekong bot memancing kurangnya hasil jigging berikutan kehadiran sotong jarum yang agak banyak. Secara tidak langsung ia merangsang saya untuk lakukan sesuatu dari situasi tersebut. Justeru apabila ada trip jigging bersama rakan dalam tempoh tersebut, saya tidak tertangguh lagi mencubanya walaupun pada awalnya ia menjadi bahan gelak rakan-rakan. Untuk mencandat di Selat Melaka, saya ubah sedikit tekniknya. Saya tidak mencandat sotong secara langsung dengan kaedah lazim candat dan pemberat. Sebaliknya saya gantikan pemberat dengan jig lengkap mata kail.
Dalam erti kata lain ia lebih kepada konsep 2 dalam 1. Candat udang untuk memancing sotong dan jig untuk memancing ikan. Konsep ini sebenarnya agak besar belanjanya kerana apabila ia tersangkut pada karang atau sesuatu di dasar laut sehingga mengakibatkan tali utama putus, maka bertambahlah kos kerugiannya. Setelah dua kali tersangkut dan putus, saya hampir-hampir berputus asa sehinggalah apa yang saya dambakan menjadi kenyataan. Setelah menemui kandangnya, seekor demi seekor sotong jarum saiz yang agak kasar berjaya saya naikkan. Selain sotong jarum, sotong kurita dan sotong mengabang yang dikatakan agak sukar diperolehi turut sama didaratkan.
Setelah percubaan pertama berjaya, saya luaskan teknik ini ke mana saja saya turun memancing di Selat Melaka. Untuk menggayakan teknik 2 dalam 1 ini lebih kurang sama sahaja dengan teknik jigging perlahan. Namun untuk mengesan sama ada sotong sudah mengena agak sukar sedikit apatah lagi dalam keadaan berarus dan jig melebihi 200 gram digunakan. Yang pasti teknik 2 dalam 1 ini sudah terbukti bukan sekadar berkesan untuk mencandat sotong malah sudah berjaya mendaratkan spesies ikan juga.
Nama kelab pemancing, Alucast (Aluminium Boat Caster) cukup sinonim dengan aktiviti memancing dengan menggunakan bot laju terutamanya bot aluminium.
Dan lebih banyak mengamalkan teknik pancingan mengilat atau casting, namun tidak bermakna kelab pemancing terbesar tanah air ini memandang sebelah mata terhadap cabang teknik memancing selain casting.
Malah ramai ahli juga berstatus otai pancingan laut dalam, sungai pergunungan serta kolam.
Kenyataan tersebut ternyata berasas apabila hampir 20 orang ahli kelab termasuklah presiden Alucast sendiri, Azuan Man turut sama menyertai trip memancing tilapia merah di Kolam Pancing Ikan J’man yang terletak di Hulu Langat, Kuala Lumpur.
Kebetulan pada tarikh tersebut penulis agak berkelapangan maka penulis turut sama menyertainya.
Secara peribadi, penulis hanya beberapa kali sahaja mendaratkan tilapia merah dan itu pun diperoleh secara tidak sengaja ketika memancing spesies lain.
Trip atau komplot memancing tilapia merah ini tercetus berikutan seorang ahli Alucast, Khirrul Anuar yang sering up hasil pancingan di kolam tersebut di dalam grup Whatsapp kelab.
Berikutan itu, Khirrul Anuar dipertanggungjawab menyediakan umpan dan teknik yang betul bagi `memunggah’ isi kolam yang didominasi oleh ikan tilapia merah.
Menggunakan peralatan memancing ultra ringan dan berumpankan campuran dedak, ahli-ahli Alucast mendominasi pengunjung di Kolam Pancing Ikan J’man.
Tidak perlu menunggu lama, Khirrul Anuar membuktikan kejaguhannya apabila mendaratkan seekor tilapia merah bersaiz kasar.
Spesimen seberat satu kilogram itu ternyata menyuntik semangat ahli yang lain.
Tidak lama kemudian beberapa orang ahli turut sama mendaratkan spesies yang sama cuma berbeza saiz sahaja.
Walaupun cuma tilapia, ikan yang bergred rendah tidak sebagaimana sebarau atau kelah yang menjadi spesies sasaran dalam kalendar memancing kelab Alucast, namun untuk memujuk tilapia tidaklah semudah yang dijangka.
Apatah lagi bila kelibat ikan jelas kelihatan berlegar di dalam kolam namun tidak menjamah umpan.
Tambah perit apabila melihat pemancing lain (pengunjung tetap) bersebelahan bergasak sedangkan kita mula panjang leher seperti burung bangau.
Tamat tempoh memancing selama empat jam, hanya beberapa ekor sahaja tilapia merah yang berjaya dipunggah.
Untuk menyempurnakan sesi bakar ikan sebagaimana yang dirancang, terpaksalah mendapatkan ikan dengan cara mudah.
Tak perlu umpan power, tak perlu mata kail halus, tajam dan kuat, tak perlu guna tangsi 2 lbs hingga 6 lbs dan tak perlu berpanas menuggu untuk menyentap joran.
Caranya hanya dengan membeli sahaja ikan secara terus dengan pemilik kolam di kolam ternaknya.
Tanggal 1 hari bulan dipilih kerana dikatakan waktu air besar, iaitu masa terbaik memancing di Kelong Pozi. Tentu saja target spesies adalah jenahak atau jenak, yang sememangnya menjadi buruan utama setiap pemancing yang menyewa Kelong Pozi.
Tiba di kelong, air sudah pun bergerak pasang dan akan pasang penuh sekitar jam 8.00 malam. Jika menurut jadual penilaian pengalaman Cikgu Sabri, umpan hidup agak sukar diperoleh pada waktu petang dan ikan besar akan membedal umpan pada waktu air pasang penuh.
Terbukti aktiviti apollo mencari umpan tamban tidak banyak membuahkan hasil. Namun dalam proses mencari tamban dan selar ini, seekor sotong mengabang dan cumit menyerah diri. Tersangkut pada mata kail ketika cuba mencuri tamban.
Umpan bonus yang akan digunakan untuk memburu jenahak ketika air pasang penuh nanti. Sepanjang proses mencari umpan hidup hingga ke senja itu penulis masih ragu-ragu dengan cerita-cerita yang dicanang oleh Cikgu.
Ada ke jenahak atau ikan-ikan target di persekitaran kelong berair cetek. Malah henjut sikit saja pun dah kelihatan mata-mata apollo.
Cikgu mengambil inisiatif dengan menyediakan perambut bagi setiap joran yang ada dan melontar umpan ke spot-spot pilihannya. Ekoran semua joran digunakan untuk memburu ikan-ikan target menggunakan umpan hidup, timbul pulak rasa bosan duduk menunggu saja.
Nak layan ikan-ikan kecil seperti gelama atau gerut-gerut, menurut Cikgu gelama memang jarang sangat masuk ke kawasan kelong.
Akhirnya sekitar jam 8.00 lebih, secara diam-diam cikgu menaikkan seekor pari karang berskala lebih 1 kilogram. Sekaligus membuktikan teluk berair cetek dipenuhi karang itu masih didiami ikan-ikan karang yang perlu ke laut lepas jika untuk memburunya.
Sekitar jam 10.00 malam tatkala air pasang perlahan-lahan bergerak surut, joran sepanjang 17 kaki milik Cikgu yang terikat kemas pada pagar kelong, betul-betul di hadapan Faiz direntap kasar hingga terlambung dan menghentak lantai kelong.
Berumpankan seekor sotong mengabang hidup, memang tidak syak lagi target spesies sudah mengena!
Memang rezeki Faiz untuk merasa tarikan ganas sang jenahak. Dan sememangnya dapat merasakan tarikan sajalah kerana ia berakhir dengan rabut.
Arus yang sedikit laju pada awal pagi, penulis ambil kesempatan untuk mencuba drift selar hidup. Geram juga tengok alu-alu yang berlegar di keliling kelong. Sambil mengunjun apollo di bahagian belakang kelong, tiba-tiba alarm Penn 940 levelmatic yang dipacak di bahagian hadapan kelong menjerit panjang.
Hampir ¾ tali berjaya dibawa keluar oleh sang todak berskala lebih 2 kilogram yang pada awalnya penulis sangkakan alu-alu. Jenuh jugalah penulis mengarau multiplayer ratio rendah itu menarik sang todak hingga ke tangga kelong.
Pagi hari kedua ini juga Rahman dan 2 orang adiknya, yang merupakan regular anglers di Kelong Pozi dan gemar memancing todak, tiba untuk menyertai kami.
Tidak menunggu lama, Rahman memperbaharui lesen jenahaknya berumpankan tamban hidup. Sementara adik-adiknya pula mempamerkan skill dan teknik memancing ikan-ikan kecil seperti jenjulung, todak dan bebolos.
Menjelang tengah hari, ketika sedang asyik menghanyutkan tamban hidup melalui teknik drift, salah satu joran Faiz berumpankan selar hidup melendut dan tali ditarik keluar dengan laju. Pantas penulis sambar dan melayan hingga mangsa mendedahkan identitinya.
“Gubal!” Jerit Cikgu.
Namun dalam kekalutan mengheretnya ke dalam tangguk, senangin bersaiz besar itu berjaya meloloskan diri juga. Melihat senangin bersaiz besar atau gubal itu longkos hanya beberapa jengkal dari mulut tangguk, bukanlah satu insiden yang manis untuk dikenang.
Setelah sepi buat seketika dan air mula bergerak pasang, umpan udang hidup yang dihulurkan oleh Cikgu berhampiran tiang kelong, disambar sesuatu dan memecut laju menjauhi kelong.
Pengalaman Cikgu ditagih bagi mengendali larian ikan yang belum dikenal pasti jenisnya. Terutamanya apabila ikan itu cuba meloloskan diri dengan memasuki bahagian bawah kelong.
Apabila sang mangsa sekilas memperlihatkan belangnya di permukaan air, tekanan terus diberikan dari memasuki bawah kelong sehinggalah selamat masuk ke dalam tangguk. Gerong belang berskala 2.5 kilogram menjadi penyelamat trip ini.
Trip Repeat!
Kegagalan memperolehi lesen jenahak, mendesak penulis untuk buat come back. Hanya bertemankan rakan Fitri, dan Cikgu pula hanya dapat sertai pada lewat petang, trip kedua ini penulis sediakan sendiri segala kelengkapan termasuklah udang hidup dan sedikit cumit segar sebagai umpan tambahan.
Tepat jam 12.30 tengah hari penulis dan Fitri sudah terpacak di atas kelong yang kosong dan lapang. Mujur juga boatman, Jawe, yang sememangnya ringan tulang membantu itu dan ini.
Ternyata tamban sukar untuk diperoleh pada kali ini. Jenuh tangan menghenjut apollo namun seekor tamban pun tak lekat. Hanya selar kuning saja yang berjaya diperolehi. udahnya, semua pancing dilabuhkan menggunakan umpan udang hidup dan cumit segar ke spot yang berpotensi.
Tidak lama selepas itu, Fitri berjaya menaikkan seekor pari bintik berumpankan cumit segar berdekatan dengan tangga kelong. Kemudian seekor dengkis juga beliau berjaya naikkan berumpankan sotong hidup. Udang hidup dan selar kuning langsung tidak diusik.
Kehadiran Cikgu bersama 4 orang pemancing pada lewat senja, yang memperbanyakkan lagi umpan dihulurkan ke dalam air juga gagal mendaratkan ikan sasaran. Hanya ketika dinihari, menghampiri jam 2 pagi, tali pancing milik penulis kelihatan kendur dan hanyut menghampiri kelong.
Apabila digulung dan ditegangkan, jelas terasa ada sesuatu yang mengena dan memberikan tentangan kuat. Pecutannya ke arah kelong segera disekat dan akhirnya berjaya dinaikkan ke kelong. Lesen!
Akhirnya penulis berjaya juga memperolehi lesen jenahak di Kelong Pozi. Sebelum angin kencang dan hujan lebat turun, seekor jenahak berstatus ‘sunti’ di port yang sama berjaya penulis naikkan.
Siang hari pada hari kedua trip kedua, mungkin diperolehi ribut dan hujan lebat, suasana di kelong bertukar sepi ekoran tiada siapa yang berjaya menaikkan ikan.
Hanya menjelang tengah hari sebelum penulis mengambil keputusan untuk menamatkan trip, barulah ada yang berjaya menaikkan senangin dan baji. Yang pasti, Kelong Pozi telah didirikan untuk memperbaharui lesen jenahak yang lebih besar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...