Sebagai anak kampung yang tinggal dan membesar dalam suasana sawah padi memang tidak dapat lari daripada hobi memancing dan inilah hobi yang turut saya kongsi bersama adik beradik yang lain, termasuklah ibu dan ayah.
Bila musim air mula masuk ke tali air dan bendang sebagai tanda akan bermulanya musim menanam padi, saya di antara orang yang gembira sangat. Sebabnya, ketika inilah baru syok memancing ikan puyu, haruan, ikan selat, keli dan banyak lagi.
Boleh dikatakan, saban setiap hujung minggu atau jika ada kelapangan sebelah petang selepas selesai kerja sekolah, saya akan pergi memancing di tali air yang hanya terletak di hadapan rumah.
Cukup hanya dengan batang teleskopik, umpan cacing yang dikorek di tepi rumah. Biasanya nenek adalah peneman setia saya dan kadang-kadang jika dapat ikan yang
berduri tajam seperti puyu atau keli, saya akan minta tolong nenek saya tolong bukakan mata kail.
Kadang-kadang bila ayah agak lapang masanya atau musim cuti sekolah, ayah sering kali mengajak saya menemaninya pergi memancing ke tali air yang jauh dari rumah kami. Apa yang seronoknya, ayah gemar mencari haruan dengan menggunakan umpan katak.
Teknik yang digunakan baling tarik-baling tarik. Ayah kata bila saya dah dewasa nanti saya akan tahu juga teknik tersebut. Kata ayah, memancing haruan dengan cara ini memang syok. Lebih-lebih lagi bila terjumpa anak haruan yang masih merah.
Ada ketikanya, kami akan pergi memancing satu keluarga, menaiki kereta, mencari mana lubuk yang terbaik.
Ayah kata kalau nak hasil yang best, kenalah rajin mencari lubuk-lubuk ikan. Pun begitu, ayah selalu mengingatkan saya agar selalu berhati-hati soal keselamatan ketika memancing.
Paling meriah lagi, jika sepupu saya yang dari bandar datang. Memang boleh dikatakan kami sepupu-sepupu akan pergi memancing beramai-ramai, termasuklah ayah dan ibu mereka.
Biasanya neneklah akan jadi ‘mangsa’ kami semua minta disediakan batang pancing dari batang buluh.
Apa yang seronoknya, ikan puyu, haruan atau sepat yang kami perolehi itu, ibu akan siang dan dijadikan juadah hidangan. Makan dengan nasi panas, masak lemak sayur labu, pucuk ubi rebus cicah sambal belacan, memang sedap!.