Membaung Di Sungai Tekam

Share

 

Lain orang lain hobinya. Dan hobi saya memancing. Bila ada kelapangan, apa lagi ditunggu. Memancinglah jawabnya. Lantas rakan-rakan sekepala dihubungi. Sungai yang terdekat dengan rumah saya ialah Sungai Tekam. Beberapa port terbaik sudah terbayang dalam kepala.

 

Sebelum turun, kenalah cari umpan dulu. Teringat nak guna cengkerik kali ini. Kereta kancil dihidupkan dan saya terus memecut ke Felda Kota Gelanggi 1 kerana di sana ada menjual cengkerik.

 

 

Sebaik sahaja sampai, belum sempat turun dari kereta, abang tu dah beritahu cengkerik dah habis. Macam mana ni? Semangat memancing sudah berkobar-kobar. Teringat kedai proses ayam daging. Dengan muka selamba saya menghadap makcik tuan punya kedai tu minta perut ayam.

 

“Kenapa lambat… perut dah buang. Cuba tengok dalam plastik hitam kat simpang tu, kalau lori belum angkut…”

 

Nasib baik, ada. Hari sudah semakin petang. Bergegas saya memandu ke lokasi. Sambutan dari sang ikan memang galak, tapi saiznya alahai… tengok pun rasa kasihan. Ikan-ikan bersaiz ‘cinonet’ tersebut dilepaskan kembali.

 

 

“Kalau goreng pun lekat celah gigi je,” kata member. Apa yang penting, hati terhibur melayan ikan bersaiz baby.

 

Sambil menunggu umpan direntap, kami menggali cacing di tebing sungai. Banyak juga cacing di bawah pangkal pokok buluh. Di samping perut ayam, cacing tanah kami hulurkan ke dasar. Murah rezeki ada ikan bersaiz abah yang sudi.

 

Tengah bersembang, joran bergetar kuat. Sentap balas dibuat. Nampak gayanya agak kasar. Saya berhati-hati melayan si mangsa memandangkan bangkar kayu antara halangan yang menanti. Mangsa semakin menghampiri tebing dan peluang semakin cerah.

 

 

Joran diangkat tinggi dan mangsa berjaya didaratkan. Baung tersebut adalah hasil terakhir kami. Hari pun dah semakin gelap. Eloklah kami beransur dulu. Lain kali boleh memancing lagi.

Published by
Amang