Perjalanan menuju ke port idaman dengan berjalan kaki dari tempat letak kenderaan mengambil masa hampir dua jam. Setelah bermandi peluh mengangkut barang-barang perkhemahan, barulah tempat yang dianggap strategik dijumpai. Kami terus memasang khemah dan menyediakan umpan bagi memulakan misi pemburuan. Saya memang gemar dengan kaedah casting.
Tidak kira ikan spesies apa, yang penting kaedah casting ini memang menjadi ‘makanan’ saya. Lebih-lebih lagi bila ikan sebarau yang menyambar umpan. Terasa feel yang menakjubkan tatkala ia menyambar gewang.
Petang itu, kemeriahan memang terasa di port kami. Lauk untuk hidangan malam pastinya ikan baung rebus asam dan ikan sebarau panggang cicah dengan kicap bersulamkan cili api.
Berbaloi rasanya trekking jauh ke tengah hutan, mendapat pot yang bagus dan dapat membaling gewang dicelah-celah bongkah kayu hingga berjaya menaikkan sebarau seberat 1-2 kg setiap seekor. Saya terasa bagaikan seorang sniper!
Malam itu, hujan turun renyai-renyai. Kami berempat mengambil keputusan untuk berehat sahaja di dalam khemah. Tetapi Asmadi yang terkenal dengan gelaran Madi Ayam mengambil keputusan untuk memasang jerat bagi menangkap ayam hutan yang dikatakan banyak terdapat di situ.
Sahabat saya, Aidil bercadang untuk mengikut Madi memasang jerat. Shahril yang tidur di sebelah saya sudah lama berdengkur di buai mimpi setelah membelasah tiga pinggan nasi panas akibat penangan baung masak asam.
Cuma saya yang terkebil-kebil sejak Madi dan Aidil meninggalkan khemah setengah jam yang lepas. Puas saya mengiring ke kiri dan kanan sambil memujuk mata ini supaya terpejam lena namun tahap mengantuk saya masih lagi sifar. Akhirnya saya duduk bersila di dalam khemah sambil mata memandang cemburu ke arah Shahril yang tidur berdengkur-dengkur sejak tadi.
Sayup-sayup di telinga, saya terdengar bunyi riuh rendah suara orang berbual-bual. Saya cuba picingkan telinga untuk mendengar dengan lebih jelas. Sah, di luar kawasan khemah saya bagaikan ada keramaian yang sedang berlangsung dalam keadaan meriah.
Suara budak berlari, menjerit, suara wanita berbual sambil ketawa, semuanya jelas pada pendengaran saya. Sesaat itu juga, bulu remang saya tegak di tengkuk. Darah saya bagaikan berhenti mengalir dan badan mula berasa seram sejuk.
Teragak-agak saya sama ada mahu keluar dari khemah atau duduk membatu di dalam. Saya perhatikan Shahril yang masih lagi ‘pengsan’. Tidak teragak langsung untuk mengejutkan Shahril bagi menemani saya keluar dan memeriksa apa yang sedang berlaku. Semuanya bagaikan blur pada saya. Namun atas desakan naluri yang kuat, saya mengambil keputusan untuk keluar melihat.
Sebaik sahaja zip khemah saya kuak, terbentang di hadapan saya satu pemandangan yang luar biasa. Saya kini berada di tepi khemah orang kahwin yang berhias cantik. Terdapat pelamin indah yang dihiasi dengan daun kelapa yang dianyam dan bunga-bunga segar berwarna merah dan kuning. Namun tempat duduk untuk makan di dalam khemah beratapkan nipah itu hanyalah bongkah kayu yang dipotong bulat.
Budak-budak berumur lima enam tahun berlari-lari anak di dalam kawasan khemah dengan riangnya.
“Assalamualaikum sahabat,” tiba-tiba bahu saya disapa lembut dari belakang. Saya sedikit terpinga-pinga.
Huluran tangan seorang lelaki berjubah putih, berserban kemas dan mukanya yang jernih saya sambut dengan jawapan salam.
“Silakan menikmati makanan yang ada. Jangan risau. Semuanya halal dan berada dalam pemeliharaan Allah SWT,” kata lelaki itu sambil tersenyum. Tangannya memegang tasbih yang sentiasa bergerak.
“Jangan risau. Kamu dan kawan-kawan selamat di sini selagi tidak mengganggu kawasan kami,” terang lelaki itu lagi seolah-olah menjawab soalan yang terdetik di dalam hati saya.
Saya dibawanya duduk di dalam kawasan khemah sambil menikmati nasi, lauk daging yang amat lazat rasanya berserta ulam-ulam hutan yang saya sendiri tidak kenal.
Setelah perut terasa kenyang, barulah saya meminta diri untuk pulang. Lelaki itu melepaskan saya setelah kami bersalam dan dia mendakap saya dengan erat. Bau lelaki itu sungguh wangi bagaikan memakai minyak atar.
Saya melangkah pulang mengikut kabus yang datang tiba-tiba. Sebaik kabus menghilang, saya sudah berada di tepi kawasan khemah. Saya ternampak tiga orang sahabat saya sedang sibuk mencari sesuatu.
“Kau orang cari apa?” tegur saya. Shahril yang melihat saya terus meluru lalu memeluk saya dengan matanya yang merah. Begitu juga dengan Madi dan Aidil. Mereka bagaikan sudah bertahun-tahun tidak berjumpa dengan saya!.
“Kenapa ni?” tanya saya. “Kau tahu berapa lama kau tinggalkan khemah ni?” tanya Madi. Saya menggeleng. Seingat saya, mungkin tidak lebih satu jam.
“Kau tahu dah pukul berapa sekarang?” asak Aidil pula. Saya masih menggeleng bagaikan orang mamai.
“Dah pukul tiga petang Din. Mana kau pergi dari malam tadi?” sekali lagi Madi menyoal saya.
Sekali lagi saya terperanjat mendengar jawapan Madi. Khemah sudah dikemaskan. Begitu juga dengan barang-barang yang lain. Tidak sampai lima belas minit, kami sudah meninggalkan pot sebarau dan baung itu.
Hanya di dalam kereta, saya bercerita tentang pengalaman aneh yang saya alami. Sesungguhnya di dalam dunia yang nyata ini, masih ada lagi dunia ghaib yang hanya dapat dirasai oleh orang-orang yang ‘terpilih’. Wallahualam.