Gewang sesudu atau lebih senang dipanggil spoon oleh kebanyakan kaki pancing merupakan terminal tackle yang banyak digunakan dalam aktiviti memancing melalui teknik mengilat atau casting. Bagi pemancing yang belum mengenali gewang jenis ini, di sini kami buat sedikit huraian ringkas mengenainya.
Terdapat perlbagai bentuk dan warna sesudu di pasaran. Secara asasnya warna perak, tembaga dan emas mendominasi. Namun sekarang ada sesudu yang mengunakan 3 warna asas tadi tapi ditambah dengan kemasan warna-warna yang lain seperti hijau, merah, oren, biru dan macam-macam lagi. Terpulang kepada anda untuk mencubanya.
Bentuknya pula ada yang pendek melonjong dan ada yang kurus memanjang. Jika ia lebar, karauannya akan menjadi lebih berat dan olak air yang dihasilkan adalah besar. Manakala sesudu yang, ringan untuk dikarau dan olakan airnya kecil. Berat sesudu antara 4-20 gm sudah memandai, lagi berat sesudu lagi cepatlah ia tenggelam dan lagi mudah ia tersangkut reba.
Dipercayai bentuk sesudu jenis kurus memanjang paling efektif kerana ia lebih menyerupai seluang atau perimpin. Sesudu warna perak pula lebih sesuai digunakan pada waktu tengah hari yang terik di perairan yang sangat jernih dan tidak beberapa dalam, kurang dari 20 kaki. Manakala sesudu warna tembaga dan emas pula untuk cuaca yang berawan, di perairan yang gelap atau sedikit keruh dan kedalaman lebih 20 kaki.
Sama seperti permainan soft plastic, penggunaan joran haruslah yang beraksi pantas dan tali sulam lebih baik dari tali mono kerana permainan sesudu yang lebih kepada menyentuh dasar. Ini supaya setiap ragutan dapat disembat dengan lebih efektif.
Oleh kerana sesudu beraksi flutter dan bergelek, swivel wajib digunakan untuk mengelakkan tali dari menjadi berpintal dan kusut. Oleh kerana permainan sesudu lebih banyak di kawasan dasar yang tentunya bereba, penggunaan mata kail tunggal adalah lebih wajar dari mata tiga.