Memahami Paparan Imej Pada Skrin Sonar!!

Share

 

Melalui aplikasi sonar, para pemancing berpeluang menjelajah lebih banyak lubuk dengan mudah. Pemancing tidak perlu lagi menunggu ikan datang untuk memakan umpan, sebaliknya boleh menjejaki di mana kebun ikan untuk menghulur umpan betul-betul di depan mata mereka. Bagi nelayan laut dalam, sonar adalah alat terpenting bagi untuk mereka mencari rezeki.

 

Komponennya terdiri dari pemancar (transmiter), transduser, alat penerima dan skrin paparan. Apabila ia di pasang, signal elektrik voltan rendah dari transmiter akan ditukar kepada gelombang bunyi oleh tranduser dan dipancarkan ke dalam air.

 

Gelombang bunyi akan terpantul balik ke permukaan apabila mengenai objek dalam air. Sekali lagi gelombang bunyi ini akan ditukar kepada signal elektrik oleh alat penerima seterusnya dihantar kepada skrin paparan sama ada dalam bentuk hitam putih atau warna (lebih mahal harganya).

 

Sonar akan sentiasa menghantar dan menerima isyarat berulang kali dalam setiap saat. Ini kemudian akan memberi gambaran secara terus menerus pada skrin selagi pancaran bunyi dan signal elektrik tidak terganggu.

 

 

Apa saja yang menghalang gelombang bunyi di dalam air akan dipaparkan pada skrin termasuk kedalaman air semasa.

 

Objek yang menghalang gelombang bunyi di pertengahan air sering diertikan sebagai ikan atau mungkin sampah dan sebagainya. Sonar berprestasi tinggi, merangkumi empat elemen penting iaitu pemancar berkuasa tinggi, transduser yang cekap, alat penerima sensitif dan skrin paparan beresolusi tinggi.

 

Di pasaran ketika ini terdapat pelbagai model dan terpulang kepada bajet anda. Bermula dari ratusan ringgit hingga mencecah ribuan ringgit.

 

Ada yang berjenama, tidak kurang juga yang jenama ‘cap ayam’. Pendek kata lagi mahal harganya, lebih tepat dan jelas kualiti paparannya serta terdapat fungsi lain yang disertakannya.

 

Published by
Amang