Terdapat teknik-teknik yang agak spesifik di dalam arena coarse fishing, khususnya feeder dan float fishing, maka perkakas dan peralatan yang digunakan untuk coarse fishing juga agak unik.
Walaupun pada mulanya kelihatan agak merunsingkan, akan tetapi setiap alat tersebut mempunyai kegunaan yang tersendiri bagi memudahkan pancingan ataupun menjadikan pemancing tersebut lebih efisien untuk memaksimum hasil tangkapan ikan.
Tidak salah jikalau dikatakan coarse fishing ini adalah cara pancingan ikan air tawar dengan menggunakan teknik-teknik yang dikembangkan di benua Eropah.
Para pemancing Eropah agak mahir dalam membuat penyelidikan serta ujian lapang bagi mencari teknik-teknik dan taktik-taktik terbaru dalam sukan mereka.
Begitu juga pemancing Eropah ini rajin mereka bentuk peralatan memancing yang menggunakan bahan-bahan yang terkini, bersesuaian dengan budaya mereka yang sering mengamalkan pembaikan yang berterusan.
Hasil daripada kemajuan dari segi teknik dan taktik memancing dan teknologi peralatan mereka, maka tidak hairanlah pasukan kebangsaan dari benua Eropah sering kali menjuarai Kejohanan Dunia Untuk Pancingan Air Tawar.
Di Malaysia, saya lebih cenderung untuk mempromosikan coarse fishing melalui teknik feeder fishing dan float fishing sahaja disebabkan dua faktor: yang pertamanya ialah saya merasakan pemancing Eropah sudah agak maju dengan kedua-dua teknik ini, maka sesuai dibuat sebagai penanda aras (benchmarking). Yang keduanya pula, saya merasakan para pemancing tempatan pula lebih maju dan lebih mahir dalam arena mengilat!
Oleh yang demikian, sejak 1990-an lagi saya lebih berusaha untuk menengahkan teknik pancingan air tawar berdasarkan acuan coarse fishing di tanah air kita kerana didapati kebanyakkan teknik coarse fishing sangat bersesuaian dengan perairan dan spesis tempatan.
Teknik Feeder
‘Feeder’ merupakan singkatan kepada ‘swimfeeder’, dari segi bahasa mudahnya membawa maksud ‘pemberi makan ke kawasan pancingan’. Swim feeder adalah satu perkakas atau bekas yang boleh diisi umpan dan dibuat balingan bersama dengan mata kail kita ke kawasan pancingan (swim) yang kita rasakan boleh menghasilkan tangkapan.
Antara tugas-tugas utama feeder ini adalah bagi memudahkan kita membuat balingan di samping menarik perhatian ikan ke kawasan pancingan kita. Feeder fishing ini adalah jenis pancingan di dasar (bottom).
Sejak 6-7 tahun yang lepas, minat terhadap pancingan feeder di Eropah telah meningkat dengan begitu mendadak.
Kejohanan Dunia Feeder Fishing yang bermula pada 2010 serta pelbagai pertandingan berkonsepkan feeder kebelakangan ini umpama memberi nafas baru buat teknik yang dulunya hampir dilupakan ini.
Float Fishing
Umpama namanya, pancingan berpelampung, pernah menduduki tangga teratas bagi teknik pancingan yang paling popular di Eropah. Ini terbukti dengan Kejohanan Dunia Pancingan Berpelampung yang telah berlangsung sejak 1954 lagi.
Di dalam arena coarse fishing, fungsi utama pelampung adalah sebagai pengesan gigitan ikan (bite detection). Teknik float fishing ini berani saya katakan adalah teknik pengesan gigitan ikan visual yang paling sensitif yang pernah saya jumpa.
Kehalusan teknik serta ketelitian teknikal di dalam seni sukan float fishing mendapat kedudukan yang istimewa bagi ramai pemancing tegar di Eropah. Seperti swimfeeder juga, pelampung untuk float fishing mempunyai pelbagai bentuk, saiz dan bahan yang masing-masing mempunyai fungsi dan kegunaan yang tersendiri.