Meligan Toman Rempit Di Suak Persendirian ®

Share
Kira-kira setahun lebih yang lalu, saya menyertai rakan-rakan lain bercuti sambil memancing di kampung halaman Fazli di Grik, Perak.
Sama ada bercuti sambil memancing atau memancing sambil bercuti, tak kisahlah. Asalkan memancing, ia sudah dianggap bercuti pada saya.
Lokasi percutian dua hari satu malam itu bukanlah di tasik ekopelancongan yang popular dengan aktiviti memancing.
Bukan juga chalet terapung, resort atau rumah bot, sebaliknya di sebuah dangau usang dalam kawasan tasik empangan.
Dangau yang didirikan di pintu suak berusia lebih 20 tahun itu suatu ketika dahulu pos operasi ternakan ikan yang diusahakan disuak tersebut.
Bagi menghalang ikan yang diternak seperti jelawat, tenggalan dan baung keluar dari suak, pagar berjaring direntang di pintu suak kecil itu.
Namun, apabila dilanda banjir besar pada 2014 yang menenggelamkan suak, malah dangau turut hampir tenggelam, mengakibatkan ikan-ikan yang diternak terlepas ke tasik.
Selepas banjir besar itu, ternakan ikan tidak lagi diusahakan. Hanya pagar berjaring di pintu dibaik pulih bagi memastikan sisa-sisa ikan yang ada di dalam suak tidak keluar sepenuhnya.
Namun dangau yang sedia usang terus terbiar usang tanpa sebarang baik pulih.
Pada kunjungan saya dalam percutian sambil memancing di dangau itu tahun lalu sempat juga menyaksikan kesan peninggalan paras banjir pada dangau tersebut.
Di dalam kawasan suak, kesan akibat dari banjir seperti balak tumbang turut kelihatan dan dibiarkan tanpa pembersihan.
Sementara aktiviti memancing (mengilat) di suak tersebut turut kurang menjadi. Ia tidak meriah sebagaimana rakan-rakan lain yang pernah ke situ sebelum kunjungan saya.
Menurut mereka, setakat sebarau dan toman itu tidak perlu bersampan ke dalam suak. Sekadar casting berdekatan dangau awal-awal pagi pun dah boleh dapat. Malah rakan-rakan yang tak pandai casting pun dapat strike dengan mudah.
Meskipun pada kunjungan pertama kali saya ke suak itu tahun lalu tiada seekor pun toman atau sebarau yang berjaya dipancing.
Tambahan pula waktu memancing menjadi agenda kedua, namun populasi spesies pemangsa itu jelas masih ada dan terkepung di dalam suak tersebut.
Justeru pada tahun ini, setelah setahun lebih berlalu saya bersungguh-sungguh mendesak rakan-rakan untuk kembali bercuti sambil memancing ke suak tersebut.
Published by
Amang