Setiap individu memiliki cara tersendiri bagi merehatkan minda dari bebanan fikiran setelah penat bekerja.
Ada yang pergi bercuti ke pulau-pulau peranginan atau di mana saja lokasi yang mendamaikan. Ada yang beriadah atau berekreasi.
Dan tak kurang yang mengisinya dengan melakukan hobi yang diminati seperti memancing.
Lokasi padang pancing dan skop memancing pula tergantung kepada minat. Ada yang minat meluangkan masa memancing di laut, sungai dan terkecuali kolam pancing komersial.
Pemilik kolam juga pemancing tegar
Sebagai seorang kaki pancing yang sering menghabiskan waktu luang pada hujung minggu dengan memancing, tentu sahaja yang akan melepaskan bebanan mental dan fizikal di tempat kerja dengan memancing.
Biarpun pernah mencuba pelbagai teknik memancing dan lokasi padang pancing, namun lokasi yang paling serasi dengan jiwa untuk release tension atau melepaskan tekanan tetap juga kolam pancing air tawar.
Ads
Salah satu kolam pancing yang sebati dengan jiwa saya ialah Kolam Mancing Harmoni yang terletak di Puchong, Selangor.
Walaupun jarak kolam melebihi 50 kilometer dari kediaman, ia sama sekali tidak menjadi penghalang kepada saya untuk mengunjunginya.
Malah pernah juga saya mengambil cuti bekerja semata-mata untuk menenangkan fikiran di kolam pancing ini.
Ads
Melihat dengan mata kasar landskap Kolam Mancing Harmoni dengan kolam-kolam pancing lain tidak ada banyak bezanya.
Begitu juga dengan yuran memancing, peraturan dan hadiah yang ditawarkan. Hanya setelah melabuhkan joran dan menghabiskan tempoh memancing, barulah perbezaan itu dapat dirasai.
Sebagaimana nama kolam begitulah suasana dirasai sepanjang tempoh memancing. Ia benar-benar santai dan harmoni.
Ads
Keseronokan paling ketara apabila memancing di kolam ini sikap pemilik kolam itu sendiri.
Pemiliknya bukan sahaja memahami apa yang dikehendaki oleh pemancing, malah tidak lokek untuk berkongsi cara dan teknik demi kepuasan hati pemancing.
Ia merupakan sesuatu yang jarang berlaku di kolam-kolam lain. Seolah-olah pemilik kolam berpuas hati melihat pemancing tidak menang tangan mendaratkan.
dapat tangguk ikan pun terasa happy
Justeru itulah saya rasa tenteram dan damai sepanjang memancing di kolam ini.
Langsung terlupa bebanan kerja yang menekan fikiran. Seolah-olah hidup tiada hutang dengan sesiapa!
(Oleh: KD Negri)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kebelakangan ini, setuju atau tidak, pengaruh media sosial Facebook bukan saja memainkan peranan dalam institusi politik, malah industri memancing sama terpalit. Selain media massa seperti majalah dan akhbar, Facebook melalui kelab-kelab pemancing yang ditubuhkan juga boleh menentukan jatuh bangun pengusaha kedai pancing, pengusaha umpan, pengusaha kolam mahupun tekong atau pengusaha bot memancing.
Apabila dipelawa oleh WAC (Kelab Pemancing Wanita) untuk turut serta dalam satu trip jemputan tekong di Sekinchan, penulis mohon berfikir dahulu sebelum memberikan keputusan. Selain dari perlu memantau jadual kerja, penulis berminat untuk mengenali tekong yang baik hati tersebut.
Ini kerana nama tekong tersebut sebenarnya sudah tersohor, sayangnya tersohor dengan reputasi negatif di kalangan pemancing yang pernah menggunakan khidmat beliau. Pandangan yang sama turut sama disuarakan oleh rakan sekerja.
Ironinya, pandangan-pandangan itu membuatkan penulis semakin berminat pula untuk menimba pengalaman bersama tekong yang tersenarai dalam tekong pancing yang perlu dihindari ini.
Destinasi atau lokasi padang pancing `kepunyaan’ tekong adalah tukun dengan keluasan 1 batu persegi dan 6 kilometer dari pantai berdekatan. Menyedari hanya di kawasan itu sajalah tekong membawa pemancing maka fahamlah penulis kenapa tekong `mewajibkan’ pemancing menggunakan tali utama sehingga 80lb dan perambut 100lb.
Ketika memulakan sesi memancing, gelagat tekong memeriksa setiap set pancing yang digunakan oleh ahli WAC menyerlahkan karakter beliau yang diperkatakan oleh pemancing-pemancing.
Penulis sekadar memerhatikan saja sambil menanti juga untuk diperiksa kerana menggunakan set ringan dengan tali utama sekadar 20lb dan teknik perambut tidak menepati `peraturan’ yang beliau tetapkan. Namun tidak pula beliau ambil kisah pada penulis.
Lucu juga melihat rona wajah ahli WAC yang disoal siasat. Pada hemat penulis, apa yang dilakukan oleh tekong itu bersifat positif cuma caranya saja yang kurang tepat. Dengan wajah ketat, intonasi suara seperti pegawai penyiasat sudah pastinya sesiapa saja akan tersentap.
Apatah lagi jika pemancing itu adalah wanita. Walaupun maksud sebenar pertanyaan itu bukanlah untuk mengkritik sebaliknya memuji tetapi public relations skills adalah kriteria yang wajib ada pada para tekong. Dan penulis sendiri terpinga-pinga apabila ditempelak tanpa usul periksa ketika berseloroh dengan ahli WAC.
Di sebalik semua itu, hasil pancingan di kawasan tukun itu memberangsangkan juga. Kerapu, ebek, bawal emas, telinga gajah, daun baru, sembilang dan beberapa spesies lain berjaya didaratkan meskipun hampir setengah hari terpaksa berteduh ekoran hujan lebat. Trip ini bolehlah dianggap sukses juga kerana bukan kesemua mereka sudah biasa memancing di laut.
Malah yang pertama kali naik bot pun ada. Dengan kelengkapan pancing yang kurang sepadan dan umpan yang dibawa juga kurang mencakup, tetapi berjaya juga mendapatkan bawal emas dan telinga gajah yang merupakan sasaran spesies di tukun ini.
Lantaran hujan lebat yang agak panjang, dapatlah penulis berbual bicara dengan tekong secara privasi. Dari perbualan panjang itu dapatlah penulis rumuskan pemancing wajar memberikan peluang kedua kepada beliau dalam membaik pulih reputasi yang terjejas.
Setiap tekong ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Kekurangan dan kelemahan beliau adalah kemahiran perhubungan awam atau public relations skills. Sekiranya beliau mengambil sikap tengok dan lihat dan mengurung `cara teguran’ yang sudah sebati dengan karakternya, penulis percaya reputasinya akan kembali menyinar.
Kami terpaksa menunggu hingga tengah malam kerana arus dijangka bergerak sederhana. Mengisi masa terluang layan dahulu getuan ikan remong, anak kerapu dan anak merah tanda berumpankan sotong pasar. Henjutan semua jenis ikan yang menceriakan pemancing apabila ada pergerakan pada hujung joran.
Aktiviti jigging ketika ini mudah dipraktikkan kerana saiz jig seberat 40g dah mencecah dasar yang berkedalaman 180 kaki. Namun bila asyik melayan ikan lauk, ramai yang ingin saiz yang lebih gadang.
Usaha berterusan pemancing yang berjaga separuh malam membuahkan hasil apabila sambaran yang dihajati. Ego pemancing pakai kekili elektrik mana seronok layan ikan kecil. Bila dah kasar sambaran maka bertungkus lumus pemancing menahan asakan larian kencang ikan yang tidak mahu berhenti.
Maka kecohlah keadaan bila ikan berpusing di serata bahagian bot. Mana yang leka mengarau tali pancing bagi memberi laluan kepada pemancing yang sedang bertarung lalu sama-sama turut terjebak.
Dari seorang yang terima sambaran, pemancing sebelah, di kiri dan kanan turut kena tempias tali pancing dikaut bersama. Terlalu banyak bersilang sesame sendiri maka peluang untuk memenangi pertarungan adalah tipis.
Pecutan ikan mudah memutuskan perambut 80lb bila bergesel dengan tali sulam. Ikan putus dan masa untuk meleraikan simpulan tali menjadi adegan seterusnya di bawah pancaran lampu api boreng terang benderang.
Sambaran kasar kedua pula secara mengejut hampir membawa bersama kekili elektrik apabila rod holder tertanggal. Tali pengikat jadi penyelamat. Pertarungan semakin rancak apabila sekali lagi beberapa tali pancing orang sebelah turut dikaut bersama.
Seperti babak pertama kisahnya berakhir sedemikian, menggigit jari lagi. Sekali lagi tali tersimpul diurai beramai-ramai di atas bot. Mujurlah trip kami tekong dan awak-awak banyak membantu. Tugas menjadi lebih mudah.
Hampir separuh malam kami dikejutkan dengan banyak sambaran padu sehingga banyak kes rod holder tertanggal. Nasib tiada kes joran patah. Namun masih belum berjaya menewaskan spesies misteri yang sering membuat sambaran mengejut.
Dalam sejarah memancing di kawasan pelantar minyak, inilah kali pertama merasai cuaca laut yang amat baik sepanjang masa. Deruan angin sederhana berbahasa mendayu, tiada alun dan tidak merasai titisan air hujan sepanjang 4 hari di laut yang terik sekali.
Seminggu selepas trip, kami dikhabarkan banyak bot terpaksa berpatah balik gara-gara ribut yang mengganas. Hanya selang beberapa hari kami balik, angin bertukar wajah dari ceria dan mesra pengunjung kepada ganas dan tidak bersimpati kepada pengunjung terutama yang berdegil untuk mencabar kuasa alam.
Fenomena alam yang di luar percaturan kita. Terima seadanya walaupun perit ditelan. Buat yang terpaksa berputih mata melihat ombak menggulung di tepian pantai tentu hiba kerana perancangan dan kos yang dilaburkan amat besar dalam waktu penantian cukup lama.
Kami memulakan perjalanan dari bandar Mukah setelah kesemua ahli komplot berkumpul. Setelah menikmati teh tarik di Open Air Mukah sekitar jam 10 malam, maka perjalanan ke Tasik Bakun sejauh lebih kurang 400 km bermula.
Sekitar jam 4.20 pagi, kenderaan 4×4 kami sampai di Simpang Sungai Asap iaitu tempat pertemuan dengan guide, Richard Kiin yang juga rakan pancingan kami bertanggungjawab mengepalai sesi pancingan selama 2 hari 1 malam nanti.
Sebelum trip lagi saya telah dimaklumkan oleh Richard Kiin bahawa paras air di Tasik Bakun mengalami penurunan hampir 20 kaki dari paras normal. Cuaca panas dan kurangnya hujan menyumbang kepada penurunan paras air yang amat drastik.
Sesungguhnya keadaan ini amat tidak menyenangkan Richard Kiin. Ujarnya, kebanyakan spot pancingan terbaik banyak yang telah terjejas dek kerana paras air yang rendah. Namun atas minat serta keghairahan untuk menjerat penghuni tasik terutamanya semah trip ini tetap kami teruskan juga.
Sampai saja di boathouse, Richard Kiin terus menyediakan sedikit sarapan sebelum kami memulakan sesi pancingan pada hari pertama tersebut. Perjalanan ke lubuk pertama yang merupakan aliran keluar air dari sebuah bukit cuma memakan masa sekitar 10 minit.
Percubaan kami spot pertama kurang memberangsangkan. Cuma beberapa kejadian miss call berlaku. Setelah mencuba dalam masa lebih kurang 20 minit, yang dicari tetap enggan memunculkan diri. Kami sepakat untuk mencuba lubuk yang seterusnya pula.
Kali ini spot yang dipilih betul-betul di sebuah kuala sungai dan dipagari kayu mati, kira-kira 20 minit perjalanan dari spot pertama. Richard Kiin sempat `menabur racun pekat’ kepada kami dengan mengatakan spot itu memang sukar dijangka. Pernah beberapa kali gewangnya dilesapkan oleh penghuni reba yang rata-rata bersaiz lingkungan 2kg dan ke atas.
Kata-katanya telah membuatkan kami ghairah untuk menjerat penghuni lubuk tersebut. Setelah beberapa balingan dibuat, namun penghuni reba serta lubuk belum memberikan respon. Disebabkan lubuk di situ agak dalam, kami menggunakan gewang selaman dalam seperti Rapala TDD 9cm, Max Rap Fat Minnow 9cm serta Shad Rap yang mampu menyelam ke kedalaman 3-6 meter.
Saya yang menggunakan Rapala Max Rap Minnow 9cm warna Flake Ayu telah memecah kesunyian apabila seekor sebarau satu belang melarikan gewang dengan rakus. Semua tumpuan terarah ke arah saya seketika kerana tangkapan itu adalah yang pertama untuk pagi tersebut.
Setelah melayan seketika dengan setup yang disasarkan untuk bertempur dengan sang monster Tasik Bakun, Rapala Shadow 10-20lb yang bergandingan dengan kekili Daiwa Ryoga 1016HL, bertali utama Sufix 832 20lb serta perambut fluorocarbon Hi Seas 30lb, sang sebarau 1 belang rempit tersebut dengan mudah didaratkan.
Rupa-rupanya tangkapan tersebut adalah petanda yang kami akan berpesta sebarau dan diselang-selikan dengan semah ataupun kelah untuk sesi pagi tersebut. Belum pun sampai seminit selepas tangkapan pertama saya, Cikgu Iqbal juga berjaya mendaratkan seekor sebarau rempit tidak jauh dari spot yang pertama tadi.
Kemudian giliran Richard Kiin pula menerima sambaran padu. Melihat pecutan dan larian yang dipamerkan, kami menjangka ia adalah angkara seekor sebarau. Kami bersorak gembira seekor sebarau bersaiz kasar berjaya didaratkan. Sebarau satu belang itu dalam anggaran lebih kurang 1.2kg. setelah mengambil gamar, sebarau tersebut juga dilepaskan kembali ke habitat asalnya dengan segera.
Seorang lagi rakan iaitu Felix turut mendapat tangkapan sebarau satu belang juvenil tidak lama kemudian. Disebabkan ia lesen sebarau pertamanya, Felix amat gembira sehingga beberapa kali dia mengambil gambar pose istimewanya.
Keadaan dalam bot bagaikan tak keruan apabila selepas itu kami terus menerus mendaratkan pelbagai saiz sang sebarau. Double hooked up sering kali terjadi tatkala matahari semakin meninggi. Tuan Majid yang pertama kali menyertai trip 100% casting air tawar turut tidak terkecuali mendapat trofi sebarau pertama pada pagi tersebut.
Untuk trip mengilat pada hari pertama saja, kami betul-betul lost count angkara amukan sang sebarau dan semah yang pelbagai saiz. Namun kesemua tangkapan tidak mengira saiz kami lepaskan semula ke habitat asalnya dengan harapan supaya stok ikan di tasik ini akan terus terjaga dan mapan.
Pada hari kedua, kami menyasarkan mencari spesimen yang lebih besar, namun badong yang kami cari tidak juga memunculkan diri. Yang ada saiznya lebih kurang sama seperti hari pertama. Kadangkala ada juga haruan yang menyambar rakus gewang. Kelibat kaloi besar berlegar-legar di bawah bot, siap berpasangan lagi. Namun ikan berkenaan langsung tidak bernafsu dengan gewang yang kami lontarkan. Cuma ikut saja!
Selama 2H1M kunjungan saya ke Tasik Bakun ini, bolehlah dianggap berjaya walaupun casting pada paras air tidak berapa cun. Namun kerana keramahan penghuninya menghentam gewang membuatkan saya jatuh cinta. Saya tidak dapat bayangkan jika saya bertandang ke tasik ini lagi sewaktu musim monsun sebagaimana syoknya rakan di semenanjung memancing sebarau pada musim monsun di Tasik Kenyir.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...