Melayan NZ Anglers Di Rompin!!

Share

 

Benar, jika dibandingkan `boating’ di New Zealand dengan Malaysia bak bilis dengan jerung. Kemudahan prasarana dan kecanggihan di sana terlalu jauh berbanding apa yang wujud di sini.

Jeti terapung, tempat turun naik boat, tempat berlabuh dan semua yang berkaitan ilmu pelayaran dan memancing di sana sememangnya lengkap.

 

Bagaimanapun keistimewaan yang Tuhan anugerahkan kepada negara kita yang tidak di temui di sana malahan tidak mampu di tebus dengan prasarana yang mereka ada.

Setiap negara ada kelebihan dan kekurangan. Bila dijelaskan kepada mereka mengenai musim, kapasiti bot, kemudahan penginapan, sistem pengangkutan dan sebagainya

barulah mereka dapat pendedahan secara langsung mengenai industri memancing di negara kita.

 

Adalah sukar untuk menyakinkan mereka tentang aktiviti memancing di sini kecuali terpaksa bersemuka dengan mereka terlebih dahulu. Atas dasar ini, Brett berminat untuk

bertandang dan membuat penilaian ujian lapangan di kedua lapangan pancing ini iaitu Rompin untuk layaran dan Tasik Banding untuk menguji toman. Setelah mempersetujui

tarikh yang dicadangkan, semua persiapan di atur bagi merealisasikan impian Newzie ini merasai kehebatan ikan sukan di Malaysia.

 

Saya menjemput Brett bersama Derek dan Mike di KLIA pada hari yang di janjikan. Seorang lagi rakannya Mark telahpun berada di Rompin sehari lebih awal kerana beliau

masuk ke Malaysia melalui Singapura. Melihat kepada peralatan dan kepayahan mengusung bazooka, saya syorkan kepada mereka untuk trip akan datang lebih elok

mereka bertandang dengan barangan asas sahaja, peralatan pancing boleh di sewa di sini kerana jauh lebih murah.

 

Kami singgah dan melawat beberapa kedai pancing sebelum terus menuju ke Pekan Rompin untuk menginap di homestay di sana. Memandangkan mereka sudah biasa dengan

persekitaran sejuk, suhu di homestay agak panas dan akhirnya mereka meminta saya mendapatkan hotel lain yang paling best di pekan Rompin.

 

Saya kemudiannya bergegas ke Lanjut Golden Beach & Golf Resort (LBGR) untuk membuat pertanyaan, nasib baik bilik masih kosong dalam beberapa unit.

Sebilik untuk setiap orang di hotel berkenaan. Sebelah malam kami mula merencanakan program selama berada di sana.

 

Hari pertama kami akan fokus lebih kepada menjeratkan layaran dengan set kelas menengah 80lb dengan joran 30lb-80lb. Hari kedua pula lebih tertumpu pengunaan

pancing layang sahaja. Di samping itu saya turut memberi sedikit tip dan penerangan mengenai teknik memancing ikan layaran kerana mereka juga adalah pemancing seperti

saya. Ikan mersuji @ ‘Giant Black Marlin’ adalah antara spesies yang pernah mereka tawan.

 

Hari Pertama

 

Selepas bersarapan ringkas, kami menuju ke jeti dimana Tekong Rais sedang menunggu kami berlima. Hari permulaan buat Newzie berempat untuk bertemu dengan ikan layaran

buat kali pertama akan bakal berlaku kurang sejam dari jeti, itupun bergantung kepada susah dan mudah untuk mencari bekalan ikan hidup.

 

Peralatan dan set pancing yang tersedia dipasang dengan ikan selar dan lolong untuk mencari pembukaan adegan. Mata kail ‘circle’ bersaiz #26 diikat dengan perambut

kekuatan 100lb. Tiga set pancing digunakan, Daiwa Saltiga Dogfight, Shimano Baitrunner 6500 dan Daiwa Sealine TLD50 yang kesemuanya dimuatkan dengan tali spectra 60lb dan 80lb.

 

Musim layaran ketika itu berada di puncak dan banyak bot-bot yang turut sama berada di kawasan berdekatan kami. 15 minit pertama berhanyut, joran Penn 30-80 terus melentur

dan serta merta tali Spectra merah dalam gelendung Shimano Baitrunner 6500 berdesup keluar. Sebaik sahaja layaran mula menghambur di permukaan, joran diserahkan kepada

Mike untuk aksi seterusnya. Jeritan kepuasan Mike tidak berhenti sebaik sahaja melihat layaran melompat tetapi berterusan hingga ikan berjaya didaratkan. Dalam pada di akhir pertarungan, kekili Shimano Baitrunner pula memuntahkan tali.

 

Brett menjadi insan kedua pagi itu ditemukan jodoh dengan layaran. Dua ekor layaran kurang dari sejam pertama adalah petanda baik. Setelah dilepaskan kedua layaran

tersebut, tekong Rais bergerak perlahan mencari kawanan burung camar. Layaran tidak berada di satu kawasan kerana ia banyak menghabiskan masa mengikut kawanan ikan pelagik.

 

Apabila camar dikesan, saya pula akan mengesahkan kehadiran layaran melalui pemerhatian sekeliling. Kelibat layaran mudah diamati pada waktu musim puncak. Sebaik

bot berhenti, saya akan membuat lontaran sejauh mungkin umpan selar hidup ke arah kawanan burung. Beberapa kali selepas umpan di lontar jauh, layaran terus menerkam dan melarikan umpan.

 

Dalam keadaan spool kekili longgar ketika itu, banyak juga kes rabut dan mata kail tidak tersusuk kemas di mulut ikan. Apa yang hendak dirisaukan, pastinya ada lagi strike yang

menunggu. Cuma kena rajin berusaha. Setiap kali selepas umpan dilontar jauh, saya akan menunggu seketika jika ada layaran ambil umpan di tangan. Sementara Rais

akan hulurkan umpan setelah saya selesai melabuhkan dua joran pertama. Bila joran mengena, ucapan “Who’s next?” dan terus sahaja joran bertukar tangan untuk berentap dengan layaran.

 

Sebelah pagi sahaja kesemua mereka sudah dapat lesen layaran. Hari pertama kami memperolehi lebih dari 12 strike, 8 didaratkan. Bila semua puas, hari pertama diakhiri lebih awal.

 

Hari Kedua

 

Kini tumpuan diberikan sepenuhnya untuk teknik pancing layang di samping sesi popping dan casting sebagai selingan. Sebagaimana yang di ketahui New Zealand mempunyai

ramai peminat pancing layang. Mereka membawa joran wt9 dalam usaha menjerat layaran. Begitu juga pelbagai warna dan saiz set fly yang disiapkan awal mengikut info yang mereka ketahui.

 

Saya pula cuba mengumpan layaran dengan pengunaan popper tanpa mata kail. Teknik ini dapat memujuk layaran supaya hampir dengan bot agar mereka dapat melayangkan

umpan. Setengah hari dihabiskan dengan banyak belajar mengenai kesilapan beberapa langkah penting. Namun saya boleh puji sikap mereka, sering membincangkan di mana silap dan pembetulan yang perlu di buat.

 

Malah kebetulan hari kedua amat payah mengesan layaran mengekori popper di belakang bot. Tugas tekong mengemudi bot perlahan mencari kumpulan camar, saya akan meninjau

di belakang bot manakala dua pemancing akan lontar popper sebelum dua lagi bersedia dengan set pancing layang.

 

Tengahari kami berehat seketika sebelum menyambung semula sesi pada jam 2 petang. Pusingan kedua ini masing-masing mengambil peranan yang perlu bagi menjayakan misi

menjerat layaran dengan set fly. Setelah berjaya mengesan layaran mengikuti bot, dua popper kiri dan kanan dilontar dalam usaha memujuk layaran.

 

Ketika layaran jelas kelihatan di belakang bot, Brett dan Mark masingmasing memulakan tugas mereka. Satu hayunan set fly jatuh hampir dengan layaran, satu, dan dua fly di tarik lembut.

Tidak semena ia mendapat sambutan, “Yes fish on,” ujar Mark. Belum sempat sorakan lain menyampuk, layaran terus melayang ke permukaan sambil melakukan perkara yang tak ingin kami lihat.

 

 

Mata kail fly dimuntahkan dengan mudah. Kecewa lagi. Tekong kemudiannya bergegas ke kawasan kawanan burung yang berdekatan setelah ikan terlucut. Proses memikat diulangi

seperti sebelumnya. Strike kedua dengan set layaran menjadi milik Brett pula. Sambil menahan larian ikan, yang lain tumpang seronok. Ikan yang pada mulanya jelas kemudian samar-samar dan terus hilang dari pandangan kami.

 

Joran ditampung oleh Brett yang masih diasak layaran. Sekali lagi kami kecewa apabila mata kail yang digunakan sekali lagi terlucut ketika waktu hampir di penghujung

pertarungan. Hajat oleh geng Newzie ini untuk menewaskan layaran dengan pancing layaran belum tertunai.

Lewat petang mereka berazam untuk kembali lagi dengan persediaan yang lebih rapi dalam usaha membuat rekod peribadi masing-masing mencipta kenangan indah di Malaysia bersama layaran.

 

Selama kami memancing di sini geng ini cukup riang, hilai ketawa dan kutuk mengutuk antara mereka menjadi bualan. Bahkan mereka tidak menunjukkan rasa kecewa apabila

gagal dan semangat kesukanan cukup tinggi. Paling kuat bersorak ialah Mike setiap kali adanya strike dan Alhamdulillah cuaca menyebelahi kami selama dua hari di laut Rompin.

Published by
Amang