Bila sebut sahaja perihal tarpon atau di sini kami sebut ikan bulan Malaya, tak ramai pemancing yang pandang. Atau ramai yang pandang sebelah mata sahaja. Mungkin sebab ia mudah didapati bahkan turut dianggap sebagai ikan sampah, malah dagingnya yang kurang sesuai untuk dijadikan menu serta banyak tulang maka ia seperti spesies yang dipinggirkan.
Namun bagi kaki-kaki casting terutamanya penggemar teknik pancingan ultralight, ikan bulan atau tarpon ini merupakan salah satu spesies buruan utama kami. Satu kerugian besar jika tidak memburu tarpon sekiranya berkelapangan.
Memandangkan sekarang ini musim hujan, saya cuba jejakkan kaki ke kampung Segantang Garam,Merbok, Kedah. Di kampung Segantang Garam ini bolehlah dikatakan syurga sang bulan. Berbekalkan kekili Shimano Curado 71HG yang saya padankan dengan joran Nemesis 2-6lb, saya cuba memujuk sang bulan.
Ads
Lazimnya ikan bulan dipujuk menggunakan softplastic lure atau sinking pencil lure yang bersaiz kecil (mikro), tetapi kali ini kawan saya yang merupakan pengusaha kedai pancing yang saya kenal mengesyorkan penggunaan gewang permukaan atau popper yang baharu tiba di kedai beliau.
Popper kecil yang beratnya cuma 3gram berwarna merah berkilau menjadi senjata percubaan. Ternyata ia begitu tidak menghampakan dan menerima sambutan luar biasa daripada sang bulan. Terkaman demi terkaman saya terima.
Ads
Pada peringkat awal banyak terkaman yang diterima berakhir dengan kegagalan. Banyak yang lucut atau tidak lekat pada mata kail. Setelah saya tempo kayuhan dan daya strike, berjaya juga saya daratkan sang bulan yang rata-ratanya berskala berat 400 hingga 800gram. Saiz demikian mungkin kecil tetapi dalam skop pancingan ultra ringan, ia adalah saiz yang cukup menghiburkan.
Ads
Sesi casting hari di kampung Segantang Garam yang menghiburkan mendorong saya untuk kembali lagi keesokan harinya. Kali ini saya bawa bersama teman-teman sehobi. Namun nasib kami sedikit malang berikutan ketibaan kami disambut oleh hujan yang sangat lebat.
Setelah hampir sejam menunggu penuh sabar hujan pun berhenti dan sang suria kembali memancar. Kata orang,ikan bulan lebih aktif selepas hujan. Dan ia terbukti benar dan hujan bukanlah membawa malang sebaliknya rahmat. Balingan demi balingan gewang disambut rakus oleh sang bukan. Malah kali ini saiz bulan lebih kasar dan benar-benar menghiburkan kami.
(Oleh: Iskandar Zulqarnain)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pagi-pagi lagi selesai sarapan, kami telah pun bersiap berkemas untuk meneruskan perjalanan. Affizi telah berjaya mendaratkan ikan parang sungai pertama menggunakan set fly. Untuk ke hilir, kami mengambil keputusan cara untuk berhanyut.
Tidak sampai beberapa minit berhanyut ke bawah, saya telah berjaya menaikkan seekor anak sebarau bersaiz 300 gram. Tidak lama kemudian, seorang demi seorang daripada kami mula menaikkan hasil. Selain dari berhanyut, kami turut berhenti di tebing spot berpotensi dan mula melontarkan gewang dan juga sesudu.
Ada satu kejadian di mana saya dan Izzy terjatuh dari bot kerana Izzy terlalu gembira kerana lontaran sesudu ke sisi kayu balak melintang di tebing sungai disambar rakus kerandang. Dek kerana terlalu gembira, bot yang dibawanya melanggar tebing sungai. Mujur kerandang tidak terlepas.
Cikgu Kadir pula terlepas seekor sebarau yang agak besar sehinggakan rod miliknya patah. Selain itu, banyak juga kes rabut berlaku selain sebarau yang galak mengejar tetapi tidak mahu menghentam gewang. Mungkin di sebabkan air sungai yang agak jernih ia culas.
Ketika di satu lubuk yang tenang, Izzy gagal mendaratkan spesies yang tidak dapat dipastikan. Mungkin mama toman. Tali Ryujin 20lb putus akibat geseran di celah-celah kayu. Gewang milik Izzy terkorban dan kami cuba menyelam untuk mendapatkannya kembali, tetapi gagal.
Saya sendiri hanya berjaya memperoleh sebarau dan juga toman. Jealous juga melihatkan Izzy dan Affizi kerana masing-masing berjaya mendapatkan kerandang dalam trip ini. Takpe… belum rezeki lagi. He….he…
Ketika berhanyut ke hilir, ia bukanlah perkara mudah walaupun nampak macam mudah. Ada ketikanya tiba di kawasan air cetek, kami terpaksa turun dari bot dan menolak bot untuk melepasi kawasan cetek. 2-3 kali jugalah kami berbuat demikian.
Selain itu, tunggul kayu yang banyak turut menyukarkan perjalanan kami. Sesekali bot turut melanggar tunggul dan juga batu kerana gagal dikawal akibat arus yang deras kerana enjin bot yang kami gunakan hanyalah berkuasa kecil. Jadi kami terpaksa berhati-hati agar bot tidak ditimpa kemalangan.
Secara keseluruhan, kami berjaya mendaratkan hampir 20 ekor sebarau termasuk toman. Kesemua ikan toman dilepaskan dan hanya beberapa ekor sebarau sahaja dibawa pulang.
Kami naik semula ke jeti pada pukul 6 petang. Ternyata pengalaman berkhemah dan menaiki bot bersama rakan-rakan caster yang lain tidak akan saya lupakan kerana banyak ilmu yang saya pelajari. Saya pasti akan kembali semula untuk memburu sebarau mega di situ.
Sungai Lepar merupakan sebatang sungai yang merentasi banjaran tengah semenanjung Malaysia.
Bermula dari hulu sungainya yang terletak bersempadan dengan Hulu Sungai Lembing, aliran sungai ini terus sahaja merentasi mukim Lepar Utara sehinggalah aliran hilirnya bertemu di Sungai Pahang di bahagian selatan.
Dahulu sungai ini kaya dengan pelbagai spesies seperti kelah, tengas, sebarau, kenerak, kerai kunyit.
Namun berlakunya tekanan aktiviti mencari ikan secara haram oleh masyarakat sekitar secara senyap-senyap seperti menuba dan arus elektrik, spesies kelah dan kerai terutamanya sudah semakin sukar diperolehi.
Namun, setiap kali berlakunya bah besar, rantaian sistem Sungai Lepar kembali pulih. Stok ikan masih lagi ada, tetapi tetap sukar berjumpa spesies bersaiz besar.
Apa yang menariknya, di dalam rantaian pelbagai jenis ikan yang ada di sungai ini, terselit spesies sikang yang boleh dianggap masih banyak di sungai ini, terutama di bahagian hulunya yang berpasir landai dan berbatu.
Semasa kecil saya kerap juga ke sungai ini. Serius, dahulu saya tidak pernah pedulikan ikan ini. Badannya pipih, panjang, berlendir dan paling penting ia bermulut luas.
Sebab itulah, saya dan rakan-rakan menggelarnya sebagai ikan mulut luas. Malah saya turut menggelarnya ikan racing, kerana ikan ini begitu pantas di dalam air.
Cuma saya teringat, ikan ini banyak saya perolehi dengan cara memancing menggunakan batang pelepah sawit yang dikeringkan yang panjangnya 7 kaki, tali cap nelayan 4 lb, panjang tali hampir sama panjang dengan batang pelepah sawit dan mata kail udang.
Menggunakan umpan cacing tanah, saya membiarkan umpan hanyut di kawasan lata cetek yang berarus laju.
Bila terasa umpan diragut, tanda sikang sedang menjamah dan melarikan umpan, terus sahaja joran disentap ke belakang dan sikang sebesar 1-2 jari yang meragut umpan jatuh ke atas pasir.
Begitulah rutin saya dan rakan-rakan kalau pergi ke sungai ini semasa musim cuti sekolah.
Selepas lebih 20 tahun berlalu, sungai yang tak pernah jemu mengalirkan air walaupun landskapnya berubah setiap kali banjir berlaku, ikan sikang ini masih banyak dan kekal menjadi penghuni sungai bernama Lepar ini.
CASTING SIKANG SUNGAI LEPAR
Disebabkan memori lama itulah saya merancang trip untuk casting sikang bersama rakan-rakan.
Pada awalnya, kami bercadang untuk casting sikang di lubuk hulu Kuala Berakit, salah satu cabang anak Sungai Lepar, tetapi disebabkan hujan lebat yang turun tidak henti-henti
seharian pada semalamnya menyebabkan air keruh sekali gus membantutkan aktiviti casting.
Hanya beberapa ekor sahaja strike yang kami perolehi. Itu pun bersaiz kecil. Lubuk dalam yang kami jangkakan ada potensi, kosong!
Mungkin disebabkan air keruh yang berlumpur, ia membatasi keaktifan sikang menyambar gewang dan spoon.
Keesokan harinya, kami merancang pergi ke lokasi lain. Kali ini, kami betul-betul ke bahagian hulu Sungai Lepar yang hanya boleh diakses dengan menaiki motosikal.
Di hulu sungai yang bersempadankan ladang kelapa sawit dan hutan simpan, kami berjalan menyusuri sungai yang cetek airnya. Mujur air telah pun jernih dan tidak keruh.
Sekali pandang, memang tidak percaya ada banyak sikang. Tetapi setiap kali lontaran di zon lata dan air yang sedikit dalam, bertalu-talu sikang tanpa malu mengejar sama ada spoon atau gewang kecil yang kami lontarkan.
Walaupun bersaiz kecil, ia cukup menghiburkan kami.
Hasan antara yang paling gembira kerana lesen sikang pertama diperolehinya di sini. Kerana itulah juga dia sanggup mengambil cuti dan sanggup datang dari Shah Alam.
Mungkin sudah tuah agaknya, dia turun memperoleh saiz sikang yang boleh tahan juga saiznya. Ini semua ‘racun’ katanya!
KOMPLOT KEDUA
Selepas komplot pertama, saya merancang bertandang lagi ke sungai untuk mencari sikang.
Berbeza dengan trip kali dahulu yang airnya jernih, trip kali kedua ini airnya sedikit keruh, kerana berlakunya hujan agak kerap dan lebat.
Atas dasar percayakan tuah pada trip pertama dahulu, kami kembali ke lokasi yang sama.
Terdapat perbezaan landskap, terutama lubuk-lubuk yang dalam airnya telah berubah, dahulunya dalam telah menjadi cetek, yang cetek menjadi dalam (istilah dalam di bahagian hulu Sungai Lepar, hanyalah setakat pinggang sahaja).
Ketika kami berjalan berpecah sambil menyusuri dan menyeberangi sungai mencari spot-spot berpotensi, Pachai yang berjalan paling hadapan sekali berteriak kuat memberitahu berjaya memperoleh sikang bersaiz besar.
Sikang berkenaan berjaya diperdayakan menggunakan Rapala CD3 Fire Tiger UV series.
Ikan berkenaan diperolehi di satu lubuk airnya yang dalam, berarus dan berdekatan dengan gigi lata.
Pada pengamatan saya, sikang tersebut memang menghendap sumber makanan, terutama anak ikan kecil atau serangga yang hanyut.
Lontaran gewang berkenaan di kawasan lata sebelum ia memasuki ke tempat air yang dalam segera disergap oleh sikang yang menyangka ia habuan makanannya.
Melihat saiz sikang berkenaan, terbit rasa kagum dalam diri saya kerana sudah lama tidak melihat saiz sikang sebesar anggaran lengan kanak-kanak dan memiliki perut besar.
Cepat-cepat ikan berkenaan dilepaskan semula selepas diambil gambar.
Satu kepuasan bukan sahaja pada raut wajah Pachai, tetapi kami semua juga kerana berjaya mendapatkan sikang bersaiz begini dengan teknik casting.
Tidak lama kemudian, dia juga berjaya memperoleh seekor lampam sungai.
Cikgu Sofian yang baru belajar menggunakan baitcaster juga turut bertuah. Lontaran gewang pada saat kami ingin mengakhiri komplot berjaya memperoleh seekor kelah juvenil.
Amri pula, yang juga kali pertama cuba-cuba belajar casting turut berjaya memperoleh seekor sikang.
Walaupun bersaiz kecil, saya memberitahunya, tidak mengapa kerana bukan semua orang ada lesen ikan ini.
Agaknya inilah dikatakan orang baru memang selalu bertuah atau sebenarnya ia adalah `racun`permulaan kepada hobi memancing.
Salah satu spot pancingan kegemaran saya adalah di mukim Serendah. Terdapat sebuah lombong yang agak besar dan gelap airnya di sini yang banyak dihuni oleh toman-toman agresif. Dua kali kunjungan saya ke lombong ini belum lagi mengecewakan.
Kali pertama saya bersama seorang rakan berjaya mendaratkan seekor toman bujang yang gelap skema warnanya dan mencecah 10kg timbangan menggunakan lip grip hanya dengan kaedah mengilat dari tebing sahaja. Kunjungan kali kedua, saya ditemani seorang lagi rakan menduga dengan menaiki bot pula dan dipacu oleh thruster 55lb.
Dengan cara ini kami berpeluang untuk menyelongkar setiap sudut lombong tersebut yang terhad untuk diakses dari tebing. Kali ini banyak toman bujang berskala 1-2kg yang rakus menghentam gewang selaman dalam berjaya kami daratkan. Tangkapan bonus bagi kunjungan kedua ini adalah seekor induk toman yang begitu gemuk dan sihat.
Namun, satu pengalaman baru yang saya perolehi sebelum berjaya mendaratkan induk toman ini adalah sebaik sahaja balingan pertama ke arah timbulan kumpulan anaknya, timbulan yang seterusnya kumpulan anak tersebut telah berpecah menjadi tiga.
Agak sukar untuk mengesan kedudukan sebenar induknya di kalangan tiga kumpulan anak yang telah berpecah. Oleh itu, cara yang paling mudah dan efektif adalah dengan menunggu sahaja induknya timbul bersama anak-anaknya kemudian barulah gewang dihantar.
Kegembiraan bersama rakan
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh strike itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan sebagai seorang pengilat.
Jadi, sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara. Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Senantiasalah mengamalkan ‘Tangkap dan Lepas’ (CnR) ataupun menghadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit). Semoga usaha yang kita amalkan ini turut dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi memastikan stok ikan di perairan kita terutamanya spesies tempatan sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan pada masa hadapan.
Tiga tahun mengejar ilmu, akhirnya aku lulus semua ujian ku. Bulan depan aku akan memiliki ijazah sarjana muda ekonomi perniagaan. Sementara itu aku cadang...