Bagaikan tak disangka trip yang dirancang dalam masa 2 minggu ini boleh menjadi.
Biarpun perancangannya agak singkat dan bagaikan tidak serius saja, namun semua yang dirancang Tuan Haji Toskhan menjadi kenyataan.
Perairan Kelanang (Banting, Selangor) bagaikan menanti-nanti ketibaan kami.
Trip ini disertai oleh 6 orang pemancing yang rata-ratanya dari Lembah Klang iaitu Tuan Haji Toskhan, Rashid Hamzah, Nazri Mohd, Zam Desa, Zul Kail dan Ayub Ali.
Kami memilih tekong Azhari untuk membawa kami ke lubuk-lubuk yang berpotensi di sini.
Tepat jam 8.30 pagi kami terus memulakan perjalanan untuk memburu hasil laut Kelanang.
Laluan Kapal 2
Hentian pertama kami ialah di kawasan kapal berlabuh untuk mencari ikan-ikan pelagik seperti selar dan cencaru.
Namun tidak banyak yang berjaya kami perolehi hanya sedikit selar dan cencaru pula hilang entah ke mana.
Melihat keadaan ini, tekong terus menuju ke kawasan laluan kapal 2 dan berlabuh di lubuk pertama.
Keadaan agak sunyi pada awalnya, namun ianya berubah apabila tekong menjadi pemecah suasana dengan menaikkan seekor merah berskala 1 kilogram berumpankan sotong.
Namun selepas itu, keadaan kembali sunyi dan tekong mengambil keputusan menukar lubuk.
Lubuk Merah
Di lubuk kedua pula menyaksikan gerombolan mengkerong yang paling banyak mengitai umpan kami pada awalnya.
Mujurlah tak lama selepas itu joran berumpankan kepala sotong yang dilabuhkan saya mendapat satu rentapan yang keras.
Dengan selamba sahaja Daiwa Tanacom Bull 750 membuat kerja dan menaikkan merah berskala 2.5kg.
Selang beberapa minit, giliran Ayub Ali pula mendapat sambaran. Pertarungan hampir 5 minit akhirnya berpihak kepada spesies tidak diketahui yang berjaya meloloskan diri.
Nazri yang berada di bahagian belakang bot juga mendapat rentapan dari dasar. Dengan mudah seekor merah berskala 1.8kg dinaikkan ke dalam bot.
Ayub yang kecewa pada awal tadi akhirnya mendapat henjutan keras. Tiada masalah untuk kekili elektrik Shimano Beastmaster menaikkan merah dengan berat 2.9kg.
Selepas itu yang lain turun mendapat sentapan dari sang merah yang mungkin tengah kelaparan agaknya.
Walaupun saiz nya hanya sekitar 2-3kg, namun ini sudah cukup menggembirakan kami.
Selepas keadaan sunyi sepi, tekong mengarahkan kami untuk bertukar tempat. Belum sempat berbuat apa, rentapan yang cukup kasar berlaku pada joran Haji Toskhan.
Kawan-kawan yang lain segera memberi laluan. Hampir 15 minit bertarung, namun ternyata tuah tidak berpihak kepada penganjur trip apabila ikan tersebut berjaya memutuskan tali perambut 80lbs yang digunakannya.
Akhirnya pada jam 7 malam kami bergerak pulang ke jeti Kelanang. Hasil 9 ekor merah dan seekor pari dianggap cukup memuaskan bagi trip yang seharian yang dirancang pada waktu yang singkat ini.
Biarpun ada beberapa kejadian rabut pada trip kali ini namun kami tetap berpuas hati dan hasil yang kami dapat kami bahagi sama rata. Insyaallah, jika ada kesempatan pasti akan kami duga kembali trip di perairan Kelanang ini.
(Catatan: Zam Desa)