Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Tapi tuah Md Rizal Ismail, datang bergolek tepat jam 9.05 pagi, Isnin lalu apabila joran 5 kaki miliknya berjaya menjerat sembilang 0.730 kilogram sekali gus muncul juara Pancing Santai Pantai Kelanang.
Tempat kedua disandang Simah, dari perkampungan Orang Asli Tongkah, yang menjinakkan gelama papan 0.500 kg, manakala Shariff Wahi berpuas hati di tempat ketiga dengan ikan sembilang 0.500 kg.
Kemenangan Simah dan Shariff ditentukan oleh masa tangkapan apabila kedua-duanya menaikkan ikan yang sama berat, namun Simah berjaya menaikkan tangkapannya lebih awal iaitu pada jam 8.10 pagi manakala Shariff pada jam 8.25 pagi.
Ads
Dengan kemenangan itu, Md Rizal membawa pulang RM7,000.00, Simah menerima RM3,000.00 manakala Shariff berpuas hati dengan RM1,000.00 serta hamper.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Ads
Dalam ucapan mereka, Hasnul dan Abdullah Sani membayangkan pertandingan memancing Pantai Kelanang akan menjadi acara tahunan, sambil membayangkan acara sama turut akan diadakan di Pantai Morib.
Ads
Ini berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk Kuala Langat, khususnya dari kawasan DUN Morib. Namun, menurut mereka yuran yang perlu dibayar bagi menyertai pertandingan memancing itu nanti dijamin tidak akan membebankan peserta.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Perairan Kuantan dari Cherating, Kempadang hingga ke Penor menjadi medan kaki light jigging. Namun kurang kedengaran cerita pancingan dasar. Kalendar memancing kami berubah dengan tidak semena-mena dek silau kemerahan si ikan merah dan pantulan kilau kerapu minyak yang berjaya dipunggah oleh pemancing lain.
Sebaik tiba di lokasi pertama, tekong membunyikan hon sebagai isyarat umpan sudah boleh dilepaskan ke dasar. Borhan yang duduk di bahagian hadapan bot mula-mula mendapat strike. Hujung joran yang melendut-lendut menyerap asakkan hingga mencecah air menandakan mangsa bersaiz kasar.
Kami yang menanti umpan dijamah ikan, memerhati sambil menunggu apakah hasil sulung trip ini yang bakal dinaikkan oleh Borhan. Seekor kerapu minyak berjaya didaratkan ke lantai bot. Semakin berkobarlah semangat kami. Selang beberapa minit sahaja, Khalim pula mendapat strike. Di sebelah kiri bot, kelihatan Rizal pula sedang bertarung.
Wah… meriah betul. Beberapa minit sahaja di lokasi pertama 3 ekor kerapu berjaya dipancing. Saiznya pun boleh tahan besar. Sekitar 15 minit kemudian tekong membunyikan hon 2 kali agar pemancing menaikkan umpan dan bot terus membelah ombak untuk ke lokasi seterusnya.
Ketika trip ini berlangsung, Khalim merupakan pemancing yang ‘hanyir’. Ikan merah terberat serta kerapu bersaiz besar, dia yang naikkan di samping ikan-ikan lain yang menghuni tongnya. Bila bot singgah sahaja di mana-mana lokasi pasti jorannya bergegar dan kekili elektriknya menjerit nyaring. Awak-awak sentiasa berada tidak jauh darinya untuk membantu.
Ini kali dia punya ‘ong’. Akan datang orang lain pula. Kadang-kala kita lupa yang kita sudah pun mengalami situasi lepas aku..aku, suatu ketika dahulu. Atau mungkin belum pernah mengalaminya sehingga sekarang. Suatu ketika nanti pasti hari ‘menjadi’ menjelang tiba. Allah Maha Adil dalam pemberian rezekinya.
Masalah Problem
Di pertengahan jalan tiba-tiba enjin bot mati. Beberapa kali cubaan menghidupkan enjin tidak berjaya. Tekong mengarahkan awak-awak menyelam untuk melihat kipas bot. Memang betul kipas telah berbelit dengan tali. Setelah selesai membuang tali, enjin dihidupkan dan kami menyambung kembali perjalanan menuju kapal karam.
Antara spesies yang berjaya ditewaskan seperti ikan merah, kerapu, jemuduk, jebong, kaci serta beberapa ikan lain. Cuaca juga cantik cuma pada malam kedua angin serta ribut kecil melanda. Bila bot dah bergoyang dan hujan yang mencurah, apa pun tak boleh.
Lebih baik masuk ke kabin dan baring. Langsung terlelap. Sedar-sedar ruang kabin dah ‘penuh’ dengan rakan-rakan yang lena.
Keadaan laut kembali tenang, saya merangkak keluar dan kelihatan di birai bot 2 orang rakan sedang bergasak dengan aruan tasik.
Trip kali ini kami hanya memancing di lubuk kapal karam yang hampir. Menurut tekong ada sebuah lagi kapal karam yang jauh tapi tidak dapat dikunjungi kerana kesuntukan masa. Jika tempoh trip lebih panjang pastinya kami akan melenjan penghuninya.
Bertitik tolak daripada liputan kejohanan memancing tahunan yang dianjurkan Royal Selangor Yacht Club (RSYC) dan Persatuan Pengail Selangor (PENGAIL) di perairan Pelabuhan Klang, saya diundang untuk menyertai komiti penganjur ini bersantai-santai memancing di perairan air tawar, Tasik Kenyir.
Selama 4 hari 3 malam para komiti RSYC & PENGAIL yang merupakan pemancing-pemancing otai serta jemputan dari Pure Fishing, berkomplot di atas boathouse Sri Gagau, menduga penghuni Tasik Kenyir secara santai.
Penulis yang diundang awal-awal lagi sudah berasa teruja untuk menyertai trip ini. Biarpun tarikhnya serentak dengan event lain, penulis tidak berubah fikiran untuk menyertai trip otai-otai ini.
Bukan senang nak dapat peluang memancing bersama, berkongsi pengalaman dan cerita, dan menimba ilmu memancing daripada pemancing berpengalaman seperti mereka ini.
Kesantaian grup ini terserlah apabila boathouse Sri Gagau mula bergerak keluar dari jeti Pengkalan Gawi, rupanya mereka belum putuskan ke mana destinasi yang hendak dituju. Mengetahui penulis sudah kerap ke Tasik Kenyir, pendapat penulis ditagih untuk sama-sama menentukan lubuk terbaik yang harus dituju.
Mandangkan grup ini tidak memohon permit memancing di taman negara, maka lubuk-lubuk bersempadanan dengan taman negara dicari. Perbincangan bersama tekong boathouse Sri Gagau akhirnya Sungai Lawit menjadi lubuk pilihan.
Selain aktiviti menjaring yang agak berleluasa kerana terletak di luar kawasan taman negara, Sungai Lawit tidaklah terlalu menghampakan.
Biarpun di luar musim, paras air tasik yang masih tinggi, senario pancingan di Sungai Lawit hampir tidak banyak bezanya dengan Sungai Terenggan atau lubuk lain di dalam kawasan taman negara.
Banyak teluk, suak dan sistem sungai bagi kaki casting keluar memburu sebarau dan toman. Malah lokasinya juga tidak untuk ke Sungai Papan atau Sungai Lepar. Aktiviti pancingan di atas boathouse juga tidak begitu membosankan. Belida, baung dan lampam agak mudah dipancing.
Malah jauh lebih baik kalau dibandingkan dengan keadaan di taman negara. Dan agak seronok juga menyaksikan gelagat pemancing-pemancing otai laut dalam yang biasa menaikkan pari serta jenahak bagak-bagak ini bertungkus-lumus cuba menjinakkan lampam sungai.
Pelaburan selama 2 malam di Sungai Lawit agak memuaskan hati ahli-ahli grup. 2 ekor belida berskala 4 dan 7kg berjaya dinaikkan dan selamat dijadikan sup bebola istimewa. Baung-baung bersaiz kasar juga banyak didaratkan. Cuma aktiviti mengilat sedikit mengecewakan.
Begitu banyak port yang menarik tetapi tiada sambutan dari sebarau mahupun toman. Yang banyak meligan gewang hanya toman rempit atau sebarau remaja.
Hari ke-3, ahli-ahli grup sepakat sekata untuk mencuba nasib di Sungai Mentong pula. Pada hari yang sama juga satu pertandingan kecil di antara ahli grup diadakan. Namun pancingan di Sungai Mentong ini agak menghampakan.
Selain daripada aksi 4 kumpulan toman remaja berkongsi satu teluk meligan gewang yang dilontar, selebihnya boleh dikatakan tiada aktiviti yang menarik. Biarpun banyak teluk dan suak yang berpotensi, namun kelibat sebarau mahupun siakap langsung tidak kelihatan.
Rumusannya, trip bersama otai-otai perairan Port Klang ini cukup menghiburkan. Semangat dan disiplin mereka yang seawal 6.30 pagi sudah siap untuk turun casting setiap pagi benar-benar mengagumkan.
Mungkin faktor nasib dan masa saja yang tidak menyebelahi mereka. Yang pasti, penulis menaruh harapan mereka masih sudi untuk meneroka sungai-sungai di Tasik Kenyir lagi.
Secara peribadi pula, penulis gembira kerana masih ada ikan belida yang masih mahu memakan umpan yang dilabuh berdekatan dengan boathouse.
Bukan mudah sebenarnya ikan belida untuk ditewaskan kebelakangan ini di Tasik Kenyir. Tak mustahil suatu hari nanti ia satu usaha yang mustahil sebagaimana untuk menaikkan seekor kelah merah.
Jajaran Sungai Dinding yang terletak di daerah Manjung, Perak sememangnya menjadi antara port memancing yang sangat berpotensi untuk diketengahkan. Tak kiralah sama ada untuk casting mahupun bottom, pelbagai jenis ikan boleh dijadikan target di sini.
Tak hairanlah jajaran sungai ini semakin meriah di kalangan kaki pancing dan pada masa yang sama pengusaha kelong turut tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan untuk mendirikan kelong di jajaran sungai ini untuk kaki pancing.
Kelong Batu undan merupakan antara kelong yang semakin mencipta nama dan meniti di bibir kaki-kaki pancing Malaysia. Memulakan operasi dengan sebuah kelong pada tahun 2010, siapa sangka ia mendapat sambutan yang sangat luar biasa dan tidak mampu menampung permintaan tempahan di kalangan kaki pancing pada waktu itu.
Oleh yang demikian, kelong yang diusahakan oleh pasangan suami isteri yang mesra dipanggil Puan Lina dan Cikgu Kamarul mengambil inisiatif untuk menambah 2 buah lagi kelong untuk menampung permintaan yang sangat menggalakkan pada waktu itu.
Menurut Puan Lina, sebelum terbinanya kelong ini, beliau hanya bermula dengan nursery ikan di belakang rumahnya, kemudian akibat masalah bekalan elektrik yang kerap terputus, menjadikan beliau menghentikan projek nursery ikan dan terus merancang untuk membina sangkar ikan pada tahun 2009.
Ternyata projek sangkar ikan juga tidak bertahan lama atas faktor persekitaran dan hasilnya yang lambat dituai. Idea terbinanya Kelong Batu Undan ini terjadi secara tiba-tiba apabila ada pihak yang ingin menjualkan kelong terpakai (second hand) kepadanya pada waktu itu. Dengan bantuan sedikit modal, mereka memperbaiki kelong itu dan seterusnya terhasillah Kelong Batu Undan yang masih kukuh hingga ke hari ini.
Bermula dari itu, sambutan yang diterima memang tidak putus-putus. Semuanya hasil perkongsian dari mulut ke mulut di kalangan pemancing. Ternyata perkongsian “word of mouth” ini mampu menaikkan nama Kelong Batu undan untuk dikenali.
Dan atas sambutan menggalakkan itu, Puan Lina terus mengambil inisiatif menghasilkan sebuah blog untuk mempromosikan lagi Kelong Batu Undan.
Bercerita tentang fasiliti, Kelong Batu Undan lengkap dengan kemudahan asas sama seperti kelong ataupun rumah rakit yang lain.
Setiap kelong di sini terdapat satu bilik, bilik air, dapur gas, dan juga bekalan air yang dibawa dari darat bersama dengan lampu menggunakan bateri untuk pancingan waktu malam. Untuk sesi memancing, menurut Cikgu Kamarul, waktu yang terbaik memancing di sini ialah ketika air berarus iaitu sewaktu pergerakan air besar ke kecil dan air kecil ke besar.
Ini kerana, pada waktu ini ikan dari laut banyak mudik masuk ke muara untuk mencari makanan. Antara ikan yang boleh dijadikan target di sini ialah jenahak, kerapu, siakap dan pari. Malah untuk lebih membakar kaki pancing berkunjung ke sini, ada rekod pernah menunjukkan kaki pancing menaikkan kerapu seberat 9kg dan pari 10kg di kelong ini. Itu belum lagi ditambah dengan cerita ikan tak dapat dinaikkan dan kes-kes joran terbang di kelong ini.
Diakhir perbualan penulis dengan pasangan suami isteri ini, mereka sempat menyatakan harapan untuk perniagaan yang diusahakan ini. Mereka amat berharap agar pihak tertentu untuk mula melaksanakan undang-undang untuk mengasingkan kawasan zon memancing dan memukat di kawasan Sungai Dinding ini.
Ini bagi memberi lebih ruang kepada pemancing amnya agar bebas memancing dengan tenang tanpa gangguan pukat sekali gus mampu memberikan hasil terbaik buat mereka yang berkunjung ke sini. Ini sekali gus mampu menaikkan industri ‘angling tourism’ di negeri Perak.
Dalam pada masa yang sama juga Puan Lina dan Cikgu Kamarul amat berharap agar kelong yang diusahakan ini mendapat sokongan padu di kalangan kaki pancing Malaysia. Puan Lina juga turut meletak harapan untuk menambah beberapa lagi rumah rakit di masa akan datang untuk menarik lebih ramai kaki pancing berkunjung ke sini terutama pada waktu hujung minggu dan juga cuti persekolahan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...