Masta Lejen Sebenar Dunia Memancing

Share

 

Pemancing legenda seharusnya seorang yang mempunyai kisah yang hebat dan mampu ‘memancing’ pemancing lain ke arah sukan memancing. Malah, dalam masa yang sama memberikan inspirasi kepada pemancing lain selain daripada sumbangan mereka dalam memartabatkan sukan memancing itu sendiri. Mereka inilah selayaknya digelar ‘pemancing kepada pemancing’.

 

Jika dilihat rekod daripada IGFA (International Game Fish Association), ramai yang memang terbukti hebat dalam sukan memancing malah mereka juga lahir dari pelbagai bidang seperti penulisan, sains, telekomunikasi dan perniagaan. Mari kita lihat antara lima pemancing legenda dunia.

 

Ted Williams (California, Amerika Syarikat / 30 Ogos 1918 – 5 Julai 2002)

 

 

Legenda baseball yang juga seorang juruterbang jet pejuang merupakan salah seorang legenda dalam sukan memancing. Dia dikenali sebagai salah seorang pemancing terbaik bagi kedua-dua perairan air masin dan air tawar.

 

Ted mula terjun dalam dunia memancing ketika dia diletakkan di Florida ketika Perang Dunia II sebagai juruterbang. Selepas perang, dia sering kembali ke sana di luar musim semata-mata untuk memancing. Dalam sejarah hidupnya, Ted dikatakan memancing begitu banyak spesies ikan.

 

 

Ted juga telah mendaratkan ribuan daripada tiga spesies kegemarannya yang dianggapnya ‘big three’ iaitu tarpon, bonefish dan Atlantic salmon. Kebanyakan ikan yang dipancing oleh Ted akan dilepaskan kembali. Ted juga merupakan pengumpul gewang tegar malah dia juga mempunyai barangan pancingnya sendiri.

 

Curt Gowdy (31 Julai 1919 – 20 Februari 2006)

 

 

Curt Gowdy pada asalnya merupakan seorang pengacara sukan. Bagaimanapun bidang pengacaraan sukan dan keghairahan dalam sukan memancing amat berkait rapat. Curt Gowdy mula mempelajari teknik fly fishing ketika dia merupakan pengacara di kelab Yankees. Dia memancing ikan tarpon ketika di Sarasota bersama pasukan Red Sox.

 

Gowdy bertanggungjawab dalam membawa pertandingan memancing ikan trout ke rancangan “Wide World of Sports” di saluran ABC. Lantas membuatkan rancangan yang diberi nama “The American Sportsman” ini merupakan rancangan pertama tentang memancing di kaca televisyen. Gowdy sendiri menjadi pengacara dalam rancangan tersebut.

 

 

Selama lebih 20 tahun dan telah memancing bersama ramai selebriti di pelbagai lokasi memancing terbaik seluruh dunia. Gowdy juga menerima anugerah tertinggi bidang pengacaraan sukan sebagai pemancing dan juga pemuliharaan ikan.

 

Michael Lerner (1891 – 1978)

 

 

Michael Lerner merupakan pemilik bagi pengedar dalam industri tekstil di serata dunia. Walau bagaimanapun, Michael Lerner merupakan seorang pemancing yang unggul dan telah banyak menyumbang dalam kancah memancing yang digilainya.

 

Lerner dan isterinya iaitu Helen telah memancing di pelbagai lapangan pancing yang terbaik termasuk memancing marlin biru (blue marlin) di Bimini, striped marlin dan swordfish di Chile, black marlin di Australia dan New Zealand, swordfish di Peru serta pelbagai spesies tuna di Nova Scotia.

 

 

Selain pernah memancing di pelbagai lokasi terbaik, Lerner juga merupakan pengasas IGFA (International Game Fish Association). Selain itu, Lerner juga telah menguruskan dan menyumbang dana ekspedisi bersama saintis American Museum of Natural History ke Cape Breton, Bimini, Australia, New Zealand, Peru, Chile dan Ecuador yang merupakan sumbangan berharga dalam industri memancing dan sains marin serta pemuliharaan.

 

Tommy Gifford (1896 – 1970)

 

 

Apabila bercakap tentang pancingan lautan atau big-game bluewater angling, dikatakan bahawa tiada kapten atau tekong yang lebih baik berbanding Tommy M. Gifford. Gifford mempunyai pengalaman laut dalam lebih 50 tahun sepanjang karier memancingnya.

 

Dalam jangka masa tersebut, Gifford telah membangunkan ensiklopedia tentang ilmu memancing dan telah pun mendapatkan reputasi yang tinggi dalam mendaratkan tangkapan rekod yang membolehkannya mendapat gelaran legenda setaraf dengan Ernest Hemingway, Michael Lerner, Charlie Lehman dan Van Campen Heilner.

 

 

Gifford mahir dalam inovasi peralatan memancing dan terkenal dengan kemahirannya mengubahsuai alatan memancing mengikut keperluannya. Kebanyakan peralatan memancing kini juga hasil daripada kemahiran ubah suai Gifford. Dia juga merupakan antara pemancing terawal menggunakan teknik layang-layang atau kite-fishing.

 

Ernest Hemingway (21 Julai 1899 – 2 Julai 1961)

 

 

Mungkin tiada pemancing sehebat Santiago, yang bertarung beberapa hari dengan tangkapan terbesar dalam hidupnya iaitu seekor marlin biru berukuran 18 kaki.

 

Santiago adalah seorang karakter pemancing terkenal dalam “Old Man and the Sea” , sebuah novel memancing terkenal yang ditulis oleh Ernest Hemingway. Namun begitu, Ernest Hemingway yang merupakan penulis novel fiksyen tersebut diakui legenda dalam kelas tersendiri dalam dunia memancing.

 

 

Hemingway atau digelar sebagai ‘Papa’ belajar mengenal dunia memancing sejak dari kecil bermula dengan pancingan trout bersama bapanya di Tasik Michigan. Menjejak dewasa, Papa menjadi pemancing yang dihormati, pernah menaiki bot kecil di Key West dan Cuba untuk bertarung dengan big fish seperti marlin, barracuda, sailfish dan tuna.

 

Itu belum termasuk memancing jerung yang mana Hemingway menganggap hadiah sebenar dalam memancing terletak di hujung tali pancing. Novel “Old Man and the Sea” juga merupakan novel terkenal dan pernah memenangi hadiah Nobel pada tahun 1954.

Published by
Amang