Saya pernah memancing di kolam air masin yang bersambung dengan kuala sungai. Ikan jenahak dan siakap yang dicari tetapi yang berjaya dinaikkan ialah dua ekor belangkas.
Saya tidak melepaskan kembali belangkas tersebut sebaliknya dibawa pulang semata-mata untuk dimasak.
Disebabkan tidak pandai menyiang dan memasaknya, saya minta bantuan jiran untuk mengerjakannya.
Belangkas tersebut dimasak lemak cili api dan siap berkongsi resepi lagi.
Ads
Bahan-bahan:-
2 ekor belangkas
1 biji kelapa parut – (ambil santan pekat)
15 tangkai cili api – (ditumbuk kasar)
3 ulas bawang merah – (ditumbuk)
2 cm kunyit hidup – (ditumbuk)
2 batang serai – (diketuk)
1 sudu teh biji ketumbar – (ditumbuk)
1/2 sudu teh jintan halus – (ditumbuk)
1/2 sudu teh jintan kasar – (ditumbuk)
1 helai daun kunyit
2 biji tomato – (dipotong empat)
1 tangkai cili hijau – (dibelah dua)
1 tangkai cili merah – (dibelah dua)
Garam dan serbuk perasa
Ads
Cara-cara penyediaan:-
1. Siang belangkas dan buang bahagian bertoksik dan bersihkan.
2. Campurkan bahan tumbuk ke dalam santan.
Ads
3. Jerang diatas api yang perlahan dan kacau supaya santan tidak pecah.
4. Masukkan belangkas, tomato, cili hijau, cili merah dan garam.
5. Bila santan sudah mendidih, masukkan daun kunyit. Padamkan api.
6. Siap untuk dihidangkan. Lagi sedap kalau ada pekasam puyu goreng!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pemandangan waktu senja sememangnya menarik ramai kaki pancing mengambil peluang untuk merakam gambar suasana waktu tersebut. Ada yang menggunakan teknik Silhoutte dan teknik Low Key Lighting dengan mengambil kira cahaya di belakang objek yang lebih natural seperti cahaya matahari terbenam.
Jika anda menggunakan teknik Silhouette, bukaan cahaya (exposure) ditentukan melalui bacaan background dengan penggunaan Aperture 9 hingga 11 dan Shutter Speed antara jarak 120 hingga 200.
Anda hendaklah sentiasa peka dengan perubahan cuaca yang berlaku di sekeliling anda. Sama ada matahari terbit atau terbenam, anda hendaklah bersedia sekurang-kurangnya setengah jam sebelum matahari tersebut berada di kedudukannya. Lihat juga perubahan langit kerana ia memberi pelbagai lapisan warna dan bentuk berbeza pada satu-satu masa.
TEKNIK KOMPOSISI
Ambil gambar dengan menggunakan pelbagai teknik focal lengths sama ada menggunakan Wide Angle atau teknik zooming. Penggunaan tripod perlu sekiranya anda menggunakan lensa 200mm ke atas. Anda juga hendaklah menggunakan teknik Rule Of Third dengan memastikan kedudukan matahari tersebut berada di komposisi yang sesuai dan ia juga mampu membantu menaikkan mood sesuatu gambar nanti.
Menariknya mengenai gambar matahari terbenam ini ialah tiada satu pun exposure yang tepat bagi mendapatkan hasil yang terbaik untuk gambar matahari terbenam ini.
Anda juga hendaklah sentiasa rajin bermain dengan shutter speed dan aperture kerana imej yang dihasilkan berbeza antara satu sama lain.
Pastikan anda menukar kepada Mode Auto White Balance kepada setting Cloudy atau Shade bagi mendapatkan hasil imej berbeza warna. Ini kerana penggunaan mode auto White Balance akan menjejaskan tona warna asli matahari terbit mahupun matahari terbenam.
TIPS PERLU TAHU!
Bawa tripod sama penting dengan anda bawa peralatan memancing. Walaupun anda menggunakan kamera kompak, kestabilan sesuatu imej bergantung dengan cara kita mengambil gambar dan pengawalan nafas.
Lihat sekeliling dan peka dengan keadaan yang berlaku.
Teknik Silhoutte dan teknik Low Key Lighting dengan mengambil kira cahaya di belakang objek yang lebih natural seperti cahaya matahari terbenam.
“Jadi ke awak pergi mencari siput pagi ni?” Tanya Mak Biah.
“Jadi. Semalam Wak Jam datang lagi. Minta tambah lagi lima kilo. Semuanya yang dia nak dekat-dekat dua belas kilo juga,” jawab Pak Barra sambil matanya ralit melihat si Jalak yang sedang berebut mematuk gandum yang baru dilempar oleh Mak Biah ke tanah.
“Banyak tu bang. Agak-agaknya berapa hari baru dapat kita kumpulkan siput sebanyak tu,” keluh Mak Biah.
Bukannya dia tak tahu, satu hari mahu mengumpul siput dua kilo pun agak sukar bagi mereka berdua. Kena turun dua kali pagi dan petang untuk mencarinya. Kalau kena pada musimnya, sekali turun mencari senang-senang saja boleh dapat lima enam kilo tapi kalau di luar musim, memang agak sukar kecuali dikumpul sedikit demi sedikit.
“Insyaallah, lusa nanti dapatlah kita kumpulkan. Semalam pun dah ada dekat-dekat tiga kilo. Pagi ni awak tak payah tolong saya. Biar saya seorang yang pergi cari,” cadang Pak Barra sambil bangun untuk menukar kain pelikat yang dipakai.
Tidak sampai sepuluh minit, dia sudah keluar dengan memakai seluar track suit lusuh dan baju kemeja lengan panjang.
Mak Biah menghulurkan termos air panas dan bekalan makanan berupa lempeng dan sambal tumis ikan bilis.
“Kalau tengah hari saya tak balik, maknanya saya Zuhur di sana ya. Insyaallah lepas Asar baru saya balik,” laung Pak Barra sambil menghidupkan enjin motosikal Honda buruknya.
Dengan membawa baldi dan satu batang kayu pendek, motosikalnya menghala ke kawasan pinggir kayu bakau yang terletak hanya dua kilometer daripada rumahnya.
Sampai sahaja tempat dituju, terus Pak Barra meletakkan motosikalnya di bawah pokok ru. Dengan ucapan Bismillah, langkahnya dihayun menuju ke arah belukar kayu bakau. Tempat dia mencari rezeki dengan mengutip siput yang selalu juga dipanggil dengan nama ‘siput sedut’.
Jam sudah menghampiri ke angka lapan malam. Mak Biah menanggalkan telekung yang dipakai. Sudah habis doa dan surah Yassin yang dibaca namun kelibat suaminya masih belum kelihatan. Kerisauan sudah bergayut di tangkai hati. Ke mana pulak dia pergi ni? Takkan tersesat pulak, bisiknya di dalam hati.
Menghampiri jam sembilan, hati Mak Biah sudah tidak keruan lagi. Mak Biah mencapai telefon lalu mendail nombor anak sulungnya, Rohiman. Marah juga Rohiman apabila ibunya lambat memberitahu tentang kehilangan ayahnya.
Bersama tiga orang kawan, mereka mencari Pak Barra di kawasan paya bakau itu, namun hanya motosikal dan bekalan makanan yang dijumpai. Bekalan makanan itu seolah-olah tidak diusik langsung!
Bimbang dengan keselamatan ayahnya, Rohiman membuat laporan polis tentang kehilangan ayahnya itu.
Satu pasukan yang dianggotai oleh pihak polis, bomba dan ahli dari Jabatan Pertahanan Awam segera dikerah untuk misi menyelamat. Malam itu, penduduk Kampung Merbah gempar dengan kehilangan Pak Barra yang keluar untuk mencari siput sedut.
Seluruh kawasan paya bakau itu diselongkar dengan bantuan anjing pengesan namun kelibat Pak Barra masih belum ditemui.
Pihak keluarga meminta bantuan daripada pengamal perubatan tradisional untuk membantu mencari kerana dikhuatiri kehilangan Pak Barra mungkin berkaitan dengan alam mistik namun usaha itu masih juga gagal.
Akhirnya, seorang ustaz muda meminta izin untuk mengalunkan azan sebanyak tujuh kali. Betul-betul di bawah sebatang pokok besar yang akarnya terjuntai hingga ke tanah. Selesai azan kali ketujuh itu dilaungkan, ustaz muda itu membuat solat hajat dua rakaat.
Tidak sampai lima belas minit, terdengar suara riuh rendah mengatakan Pak Barra sudah dijumpai dalam keadaan letih lesu berhampiran kawasan bakau. Dia kelihatan seperti orang mamai dan tidak mampu bercakap. Hanya baldi birunya yang berisi siput sedut yang dipegang erat ketika dijumpai.
“Pak cik rasa sekarang pukul berapa?” Tanya seorang anggota bomba apabila Pak Barra sudah diberikan rawatan oleh paramedik yang sedia menunggu.
“Agaknya tujuh malam…” jawab Pak Barra dengan suara yang lemah. Dia jadi hairan apabila melihat orang ramai berada di situ. Kenapa pula mereka semua berkampung ni? Bisiknya hairan.
“Pak cik, sekarang dah pukul empat setengah pagi. Hampir seharian pak cik hilang di sini. Apa yang terjadi sebenarnya?” Tanya pegawai bomba itu lagi.
Pak Barra termenung. Mustahil….getus hatinya. Namun sempat dia mengerling jam tangan yang dipakai oleh Rohiman. Memang sah, pukul empat setengah pagi. Ya Allah, rupanya dia sudah tersesat di kawasan yang sama hampir 19 jam lamanya.
Sebenarnya, pada perkiraan dirinya, dia cuma berlegar-legar di tempat yang sama. Setiap kali dia cuba untuk melangkah mencari jalan pulang, dia akan menuju ke tempat yang sama. Dia pasti itu tempat yang sama kerana di situlah dia memacak kayu pendek yang dibawanya ke dalam kawasan selut untuk tandaan kawasan.
Nasib baiklah air laut tidak pasang penuh dan melimpah masuk ke dalam kawasan paya bakau itu. Kalau tidak, tentu hanya mayatnya saja yang akan ditemui.
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Adnan. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di setup tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Adnan untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Adnan bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Adnan mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan Maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan Isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh.
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Adnan yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?”
Pak cik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Adnan hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Adnan hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Nan!” Tetapi tidak diendahkan oleh Adnan sebaliknya Adnan terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Adnan, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Adnan sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...