Seorang isteri, Chong Yoke Lin, 34, menarik nafas lega apabila suaminya yang dikhuatiri hilang selepas turun ke laut sejak pagi kelmarin, ditemui selamat.
Suaminya, Chang Chee Hoe, 36, bersama dua lagi rakan, Loh Chong Young, 60 dan lelaki dikenali sebagai Ah Kiong, 50-an, turun ke laut untuk memancing dan memasang bubu kira-kira jam 11.30 pagi.
Mereka menaiki sebuah bot gentian kaca menuju ke arah Pulau Tenggol dan terputus hubungan kira-kira 30 jam selepas Bot dinaiki mengalami kerosakan enjin dan hanyut dalam jarak 30 batu nautika dari arah Pulau Tenggol ke perairan Kemaman.
Ketiga-tiga mereka bernasib baik apabila diselamatkan nelayan di perairan kemaman dan dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Tidak pulang hingga lewat malam
Menceritakan kejadian, Yoke Lin berkata, dia mula resah apabila suaminya tidak pulang ke rumah walaupun hari sudah lewat malam.
Menurutnya, usaha menghubungi suami melalui telefon juga gagal.
“Suami saya bekerja sebagai tukang baiki bot dan enjin di jeti Rajawali. Dia selalu juga pergi ke laut untuk memancing dan menangkap ikan.
“Biasanya kalau pergi ke laut, sebelah petang dia sudah pulang ke rumah tapi kali ini tidak. Pukul 12 tengah malam dia tidak pulang dan gagal dihubungi,” katanya.
Menurut Yoke Lin, memandangkan suaminya gagal dihubungi hampir 24 jam, dia membuat laporan polis pada sebelah pagi.
“Saya ke jeti tapi dia tiada di situ dan hanya kereta yang ada. Rakan-rakannya pergi cari menggunakan bot tetapi masih tidak jumpa.
“Dalam kepala memang sangat serabut dan bimbang kejadian tidak diingini menimpanya,” katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana suaminya ditemui selamat dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.
“Dia sendiri menghubungi saya menggunakan telefon orang lain kira-kira 3.30 mengatakan dia selamat dan dibantu nelayan di Kemaman.
“Esok hari lahirnya dan saya sangat gembira dia tidak mengalami sebarang kecederaan. Terima kasih nelayan, pihak polis dan APMM yang membantu suami saya dan rakan-rakannya,” katanya.
Elak turun ke laut ketika tengkujuh
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaccob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau menasihati nelayan dan orang ramai supaya tidak turun ke laut pada musim sekarang kerana keadaan ombak bergelora serta mengancam nyawa.
“Kelmarin sebuah bot dilaporkan terbalik dihempas ombak dan kali ini bot rosak. Kita ingatkan kepada nelayan, pemancing dan sesiapa saja supaya tidak turun ke laut ketika musim tengkujuh atau air pasang kerana risikonya amat tinggi.
“Elakkan aktiviti di laut pada musim sekarang bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
(Sumber: Sinar Harian)