“Obor-obor beracun (Portuguese Man O War) dikesan di pesisir Pantai Paka. Pengunjung dinasihatkan berhati-hati kerana difahamkan racunnya masih aktif walaupun sudah mati.”
Tampak comel namun sengatannya boleh membawa maut jika tidak dirawat segera. Obor-obor jenis Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ masih beracun walaupun sudah mati. Saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat serta boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.
Dipanggil Portugese Man O’ War kerana sifat tubuh badannya seakan kapal perang yang sedang berlayar di lautan, Spesies ini sentiasa disalah tafsirkan sebagai jellyfish walhal ia sebenarnya siphonophore, haiwan yang terdiri daripada koloni organisma yang bekerjasama. Ia juga dikenali dengan nama ‘bluebottles’ kerana warna mereka yang bewarna ungu-biru.
Ads
Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat dan panjang tentekelnya mampu mencapai seperti manusia dewasa dan sengatannya mampu menyebabkan badan anda mengeluarkan bintik-bintik merah, lumpuh dan akhir sekali boleh membawa kepada maut.
Sekiranya anda disengat, anda dinasihatkan bergegas untuk mendapatkan rawatan kerana simptom sengatan oleh haiwan ini dapat dilihat seawal 3 minit. Sehingga kini, masih tiada lagi penawar untuk racun ini dan pakar hanya mampu menyediakan ‘painkiller’ sahaja kepada pesakit untuk melegakan kesakitan.
Kemungkinan kemunculan haiwan berbisa itu ke pesisir pantai Terengganu disebabkan faktor musim monsun timur laut. Setakat ini penemuannya dilaporkan di Pantai Seberang Takir.
Ads
Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan laporkan kepada pihak berkaitan jika menemui obor-obor ini.
LAPORAN PEMANTAUAN
Ads
Rentetan: Paparan di akaun media sosial Facebook Kuala Terengganu Residen petang 23 Jan 2023 tentang kehadiran obor-obor jenis Portuguese Man o’War pihak Angkatan Pertahan Awam Daerah Kuala Terengganu / Kuala Nerus telah membuat pemantauan di Pantai Seberang Takir dengan Kekuatan 1 Pegawai Pasukan dan 3x Anggota dan telah menjumpai bangkai obor-obor tersebut yang terdampar di pesisiran pantai tersebut.
Hidupan ini juga disifatkan antara obor-obor yang berbisa dan sangat berbahaya yang mana boleh melumpuhkan mangsa dengan sengatannya selain boleh menyebabkan melecur pada kulit dan membawa maut.
Justeru itu, orang ramai turut dinasihati untuk tidak melakukan sebarang altiviti di persisir Pantai Seberang Takir buat masa ini dan mengambil langkah berhati-hati dengan hidupan berbisa ini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
“Hujan ni… kalau call Abang Wan pergi cari ikan malam ni, bagus juga,” tiba-tiba sahaja terdetik di hati saya ketika memandu pulang dari tempat kerja. Lantas handphone dicapai dan panggilan dibuat.
Jawapan Abang Wan seperti dijangka 99.9%. “Jadi! Lepas makan malam nanti kita pergi”.
Malam itu, selepas 45 minit perjalanan bermotosikal, kami sampai di benteng. Sasaran utama adalah lampam kerana trip sebelum ini ikan lampam cukup banyak.
Ikan lain bukannya tidak ada tetapi agak sukar mendapatkannya. Hanya sesekali, barulah sebarau, tengas, baung, terbul dan kelah kami perolehi.
Ucapan pembukaan yang perlu kami lakukan di sini adalah ‘merasuah’ terlebih dahulu penghuni sungai terlebih dahulu. Biji sawit yang sudah buruk dan masam dipijak-pijak agar keluar minyak serta aroma yang bisa membuatkan penghuninya terconget hidung.
10 minit kemudian, lontaran demi lontaran menerjah di permukaan air. Ia kudapan ikan tanda ikan berkumpul… lepas sesekor, seekor mangsa yang kami daratkan.
Sebarang cahaya tidak dinyalakan agar ikan yang sudah berkumpul tidak lari. Beroperasilah kami bertemankan cahaya samar sang rembulan.
“Bang… dekat pukul 12.30 malam dah ni. Ikan pun dah banyak. Macam mana?” saya bersuara.
“Eh… Ye ke? Sekejapnya rasa. Ok… jom kemas barang, kita balik. Esok nak kerja!” kata-kata Abang Wan menamatkan misi kami pada malam tersebut. Hampir 30 ekor lampam selebar 4-5 jari bakal dijadikan masak lemak cili padi.
Dalam perjalanan pulang, selepas pekena dua keping roti canai banjir di kedai mamak, kami pun balik dengan penuh kepuasan dan bila hujan lebat turun lagi, maka `trip lampam` akan diulang, lagi dan lagi.
Setelah bersarapan di jeti, kami terpaksa menunggu salah seorang ahli trip yang agak kelewatan. Sementara menunggu boathouse bergerak, ada juga yang cuba-cuba menghulurkan pancing di tepi-tepi bot. Hasilnya, seekor haruan kecil yang menyambar umpan cengkerik berjaya didaratkan oleh salah seorang ahli trip. Kira-kira jam 10.30 pagi barulah boathouse dapat bergerak keluar dari jeti.
HARI PERTAMA
Keadaan air agak surut dalam kunjungan ini. Situasinya sama seperti trip yang saya sertai tahun lepas. Ini merisaukan saya kerana pada pengalaman lalu, memang sukar untuk mengilat sang sebarau di kala keadaan air begini. Toman juga acuh tidak acuh walaupun banyak timbul di permukaan.
Boathouse berhenti bergerak lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Sewaktu itu, makanan tengah hari sedang dihidangkan. Setelah boathouse ditambat, kami menjamu selera kemudian bersiap untuk turun casting. Kami berpecah menjadi tiga kumpulan dan menaiki bot masing-masing. Saya memilih menaiki bot di mana terdapat pasangan bapa dan anak. Melihat mereka berdua membuatkan pemancing lain termasuk saya teringat bapa masing-masing. Kesefahaman antara mereka sering mencuri perhatian kami.
Tekong membawa kami ke suak pertama berhampiran boathouse tetapi tiada sambutan. Di spot kedua tidak jauh dari suak pertama, saya mendapat satu sambaran apabila spoon yang dijatuhkan hingga ke dasar sebelum dikarau laju. Seekor sebarau remaja ditundukkan dengan mudah disebabkan set up yang agak kiasu iaitu rod berkekuatan 8-20 paun, tali 20 paun dan perambut 30 paun.
Port ketiga dan empat pula agak mengecewakan. Gewang yang dilontar beberapa kali ternyata hambar tidak bersahut. Kami pun beralih arah ke kawasan yang lain. Tiba di port kelima, terdapat akar pokok yang berselirat terendam di gigi air. Agak sukar untuk mengarau gewang yang dilontarkan di situ termasuk spoon walaupun telah ditukar ke single hook. Akim terus menukar spoon yang beliau pakai dengan jig berwarna biru.
Tidak sia-sia, seekor sebarau berjaya dipujuk keluar dari siratan akar tersebut walaupun saiznya tidak begitu memberangsangkan. Misi petang itu diteruskan hingga ke Kenarong. Airnya agak cetek dan berselut. Memang terdapat banyak boiling tetapi agak sukar untuk membuat telahan sama ada sebarau, toman mahupun haruan yang sedang bermain di situ. Top water lebih efektif di kawasan tersebut. Banyak sambaran dibuat apabila gewang jenis pensel dengan aksi walk the dog dan jump frog dibaling tetapi mata kail tidak tertancap kemas menyebabkan berlaku terlepas cangkuk.
Hanya seekor haruan kecil berjaya dinaikkan oleh Akim. Keadaan menjadi agak tertekan kerana masih terdapat ahli trip di dalam bot itu yang masih belum strike. Masa sudah agak lewat petang.
Apabila keluar dari Kenarong, kami terserempak dengan boiling sebarau di luar tanjung. Tekong terus memainkan peranan dengan mematikan enjin bot. Balingan pertama di spot berkenaan terus membuahkan hasil apabila Wan berjaya mendapat satu strike.
Hari beransur gelap. Keadaan boiling semakin rancak dari pintu tanjung sehinggalah ke perairan tasik yang lebih terbuka. Saya melihat Iman terlepas satu peluang apabila popper yang digayakan disambar tetapi tidak mengena. Apa lagi, kami pun masing-masing mengeluarkan popper. Seketika kemudian, gewang Iman sekali lagi disambar. Kali ini ikan tersangkut kemas tetapi beliau tetap melayan dengan penuh berhati-hati kerana dikhuatiri terlucut.
Dalam perjalanan pulang, kepala saya ligat memikirkan apalah cerita rakan dari rakan bot lain. Adakah hasil seperti kami atau lebih meriah. Tiba di boathouse, Apit menunjukkan gambar toman bujang dalam anggaran 3 kilogram hasil lontaran gewang Rapala Risto Rap dari Aiman.
Apit menaiki bot yang agak kecil, jadi beliau hanya bertiga termasuk Aiman dan tekong. Manakala Apit sendiri berjaya memperoleh seekor toman. Sedikit kecewa katanya kerana toman Royal Belum agak sombong walaupun pelbagai jenis gewang dilalukan di depannya. Langsung tidak mahu layan.
MISI DITERUSKAN
Hari kedua kebanyakan daripada kami bangun seawal jam 6 pagi untuk menunggu giliran mandi dan bersiap. Usai sarapan, kami berangkat menaiki bot mengikut kumpulan masing-masing pada pukul 7 pagi. Saya mengambil keputusan untuk bertukar tempat dengan rakan dari bot lain. Ini kerana saya ingin merasai pengalaman dengan tekong dan rakan yang lain.
Tekong membawa kumpulan kami menuju ke satu suak. Setiba kami di spot pertama, kami di arah membaling ke satu kawasan di mana ada sebatang balak yang tenggelam di dasarnya. Selain itu, balingan perlu berpandukan kepada buih yang timbul dari dasar air.
Jenuh juga membaling gewang tetapi tiada sambaran. Tekong berkeras untuk tidak menukar port kerana di situ terdapat sejarahnya tersendiri kerana pernah menaikkan sebarau seberat 2.9 kg dan ada pemancing yang patah joran. Saya masih tidak putus asa, apa yang dicadangkan tekong sebentar tadi terus diaplikasikan.
Sedang sesudu dikarau di pertengahan air, satu sentapan kuat berlaku sehingga saya tidak sempat untuk mengepam joran. Apabila keadaan kembali terkawal, spoon seakan tersangkut di dasar dan saya tidak dapat menggulung tali.
Tekong menyuruh saya bertahan dan jangan memaksa. Beliau menuju ke arah punca tali menggunakan thruster dan menarik-narik tali utama saya yang berkekuatan 14 paun. “Ada ni… ada… tunggu dia keluar,” kata tekong.
Tali dihenjut-henjut menggunakan tangan oleh tekong bot. Bila tali mula bergerak, satu perlawanan drastik berlaku. Dua tiga kali drag keluar dari Shimano Calcutta Conquest DC 51 yang saya gunakan. Sememangnya drag diketatkan dalam anggaran 80 peratus untuk mengelak mata kail rabut dari mulut ikan apabila ditarik. Tidak lama kemudian, seekor sebarau yang agak besar saiznya muncul di permukaan. Tekong terus mencapai tali perambut yang berkekuatan 20 lb dan menarik ikan ke atas bot. Bagi sesetengah kaki pancing, mungkin perlawanan sebegini hanyalah satu rutin memancing di air tawar tetapi bagi saya, ini pun sudah dikira satu kepuasan.
Apabila ditimbang, berat ikan ialah 1.3 kg. Walaupun bukan bersaiz badong tetapi menurut tekong, susah untuk mendapatkan saiz begini sekarang. Apabila berbual dengan tekong, beliau berulang kali mengatakan sekarang bukanlah musim terbaik casting sebarau kerana paras air tasik tidak naik sepenuhnya. Keadaan air tidak menentu kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun mengejut. Pada awalnya kami memang ingin datang pada penghujung tahun tetapi semua tarikh telah penuh ditempah pemancing lain. Terpaksalah datang lebih awal. Jika tidak, trip terpaksa dibatalkan berikutan tiada tarikh yang sesuai.
SESI PETANG HARI KEDUA
Sebelah petang, Zaini pula menunjukkan belangnya. Sebanyak tiga ekor sebarau kesemuanya dinaikkan oleh beliau. Lebih menarik lagi apabila bukan sesudu yang digunakan tetapi gewang Rapala Risto Rap saiz 8 berwarna parrot. Menjadi sungguh gewang beliau kali ini. Malah ada juga yang lucut dan meninggalkan sisik sahaja di mata kail. Dari segi saiz pula, ikan berskala antara 300 hingga ke 500 gram. Sementara itu, satu lagi kumpulan berjaya mendaratkan beberapa ekor sebarau dan seekor mama toman.
Sebelah malamnya pula, selesai makan malam, kebanyakan daripada kami semuanya tidur awal ekoran kepenatan casting, walaupun ada juga yang cuba-cuba untuk membottom baung. Pukul 3 pagi, kami tersedar apabila seorang staff boathouse datang ke bilik untuk memeriksa tingkap berikutan hujan lebat.
HARI TERAKHIR TRIP
Hari terakhir, kami keluar lebih awal berbanding semalam. Selesai sarapan tekong membawa kami ke satu tanjung di pintu masuk salah satu suak di situ. Dari jauh kami telah nampak boiling. Saya tidak pasti sama ada toman atau sebarau tetapi tekong meyakinkan kami bahawa itu ialah sebarau.
Zaini memperolehi strike pertama tetapi rabut. Hanya sisik sebarau yang agak besar terlekat pada gewang Rapala Risto Rap yang digunakan. Padahal beliau menggunakan mata tiga tetapi masih rabut. Ketika itu tekong bising dan menyatakan jika rabut, peluang untuk mendapat strike di tempat sama agak tipis.
Sekian kali mencuba, Zaini akhirnya berjaya juga menaikkan sebarau menggunakan Risto Rap bersaiz 8 tetapi warna neutral dan sekali lagi mendapat strike di kawasan yang sama tetapi kali ini agak kecil saiznya. Memang bertuah betul dia.
Hanya toman juvenil sahaja yang sudi menyambar spoon saya dan menjadi ikan penutup pada trip kali ini walaupun saya menjangkakan sebarau kerana lontaran spoon dan karauan laju dibuat. Aiman, pula tersenyum puas apabila berjaya menaikkan toman bersaiz mama.
Apabila ada rakan mengajak ke Kuala Trong untuk mengilat siakap liar, tanpa berfikir lebih mendalam saya terus menyatakan persetujuan. Walaupun nama Kuala Trong sebagai padang pancing tidak lagi segah dahulu, namun sistem sungai yang melingkari hutan kayu bakaunya masih lagi berpenghuni. Siakap, siakap merah atau setidak-tidaknya populasi ikan bulan masih lagi berkembang biak dengan sempurna.
Sejurus tiba dan sebelum mencari tempat penginapan, kami berdua bertemu dahulu dengan boatman atau tekong yang akan membawa kami mengilat keesokan harinya. Berita daripada tekong berkenaan aktiviti memancing selama dua hari termasuklah pada hari itu amat positif.
Banyak spesimen siakap atau kakap putih skala berat sehingga 9 kg berjaya didaratkan. Beliau amat positif rezeki dan cuaca akan berpihak kepada kami. Namun malam itu bumi Kuala Trong dibasahi hujan setelah hampir seminggu panas terik.
Ketibaan kami di jeti Kuala Trong keesokan paginya disambut oleh hujan lebat juga. Hampir satu jam juga kami pasrah menunggu sehingga hujan reda. Setelah hujan reda, tekong segera membawa kami ke sebuah muka kuala sungai kecil yang sebelum ini merupakan spot utama kami memburu siakap.
Berikutan airnya yang agak keruh dan sementara menanti air yang keruh itu ditolak ke hulu oleh air pasang, kami ke spot lain dahulu namun tiada sebarang hasil diperoleh.
Sejam kemudian kami kembali semula ke spot tersebut namun spot tersebut terlebih dahulu dilabuh oleh sampan fiber dan pemancing lain. Dalam pada itu sempat juga kami menyaksikan salah seorang pemancing di sampan tersebut bertarung dengan siakap dan serta menghulurkan bantuan mendaratkan hasil tangkapannya.
Mungkin dek bantuan ikhlas yang kami berikan, setelah berlabuh tidak jauh dari spot utama itu, saya berjaya pula mendaratkan seekor siakap merah saiz hidangan.
Setelah berteduh beberapa ketika tatkala matahari terpacak di atas kepala, kami bersama dua buah sampan fiber lagi menyambung kembali aktiviti mengilat. Kembali ke spot yang sama, gewang rattlin yang saya gunakan disambar sesuatu.
Walaupun saiznya sekitar satu kilogram saja ia cukup bermakna kepada saya. Apatah lagi itulah siakap tunggal yang kami peroleh dan orang kedua yang berjaya mendaratkan siakap pada trip hari tersebut.
Walaupun hasil trip agak kurang memberangsangkan, ditambah pula dengan faktor cuaca yang kurang cantik, sedikit sebanyak ia membuktikan Kuala Trong masih lagi mampu dan berupaya menjadi padang pancing untuk kaki-kaki mengilat memburu spesies raja muara.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...