Aku masih lagi terkenang pada satu kejadian aneh yang berlaku ketika aku, Mie, Faizal dan Zamree pergi memancing di sebuah ‘bonda’ (panggilan pada terusan kecil yang mengalir ke sawah bertujuan untuk mengairi kawasan sawah. Ia adalah dialek orang Minangkabau di kawasan Kuala Pilah).

 

Kami pergi memancing sebaik sahaja pulang dari kelas mengaji Tuan Haji Hamdan. Aku rasa waktunya dalam pukul 5.30 petang. Berbekalkan umpan cacing yang dimasukkan ke dalam tin susu yang kami sediakan sebelum itu, kami meredah semak belukar untuk mencari port memancing yang sesuai.

 

Kawasan itu memang sunyi. Hanya terdapat sebatang pokok ara yang tumbuh melangit dengan akarnya yang terjuntai. Nun di kejauhan, terbentang sawah padi sedang menghijau. Kalau diikutkan cerita nenek, kawasan di situ agak keras. Banyak peristiwa aneh dan misteri yang berlaku di situ terutamanya pada waktu senja dan tengah malam.

 

Lubuk Tali Air Berpuaka

 

Namun pada kami, budak-budak lasak dan nakal yang baru berusia sembilan tahun, hanya keseronokan yang tergambar di fikiran. Apatah lagi apabila mengenangkan ikan keli masak lemak kuning yang dimasak kuahnya pekat-pekat atau ikan puyu gemuk goreng berlada. Itu semua menambahkan lagi semangat kami untuk meneruskan aktiviti memancing pada petang itu.

 

Memang rezeki kami agak murah pada petang itu. Selain port yang strategik, aku tidak tahu mengapa setiap kali kami melabuhkan joran batang buluh dengan berumpankan cacing tanah, ikan-ikan darat seperti keli, sepat dan haruan galak memakan umpan kami seolah-olah tidak memilih bulu.

Ads

 

Setiap 2-3 minit pasti kami akan menaikkan ikan yang agak besar. Ini membuatkan semangat kami tambah membara sehingga kami berempat seakan-akan berlumba untuk menaikkan ikan terbanyak. Dalam keasyikan memancing itu, aku dan kawan-kawan seakan terleka dengan perubahan cuaca yang berlaku. Hari sudah remang senja.

 

Lubuk Tali Air Berpuaka

 

Kawasan sekitar mula di terpa dengan kegelapan malam namun keasyikan menaikkan ikan membuatkan kami berempat meneruskan aktiviti memancing tanpa rasa takut atau curiga. Di dalam kepala hanya satu yang kami fikirkan, mahu memancing seberapa banyak ikan untuk dibawa pulang.

 

Ads

Kami berempat bagaikan dirasuk tentang ikan yang dikail. Kami tidak kisah dengan baju yang sudah lencun dek peluh atau kawasan sekitar yang sudah semakin gelap. Kepenatan langsung tidak terasa hinggakan apabila telingaku mendengar laungan azan bertalu-talu dan tiba-tiba aku dan kawan-kawan bagaikan tersedar daripada mimpi panjang yang menakutkan.

 

Ketika itulah baru kami terpinga-pinga serta saling berpandangan sesama sendiri. Ikan yang ditangkap bagaikan tiada erti apabila kami dapati di sekitar kami adalah satu kawasan gelap yang sungguh asing pada pandangan mata.

 

Lubuk Tali Air Berpuaka

 

Ketika itu, aku rasa bagai mahu menangis. Terkenang akan ibu, abah dan adik-adik di rumah. Aku tidak dapat mengagak waktu ketika itu. Mungkin pada firasatku baru pukul 7.30 malam. Suara azan berlaung lagi. Zamree dan Mie menjerit sekuat hati memanggil ‘Mak’. Aku pula perlahan-lahan membaca surah An Nas bersama ayat Qursi.

Ads

 

Aku cuba menenangkan diri dan membaca ayat-ayat itu di dalam hati. Tidak sampai sepuluh minit, kami ternampak suluhan lampu bersimpang siur di hadapan kami. Rupa-rupanya suluhan lampu-lampu itu datangnya dari sekumpulan pemuda kampung yang datang mencari kami berempat. Kami dipeluk dan dicium dalam keadaan kami terpinga-pinga kehairanan.

 

Tiba di rumah, barulah aku tahu kisah sebenar yang berlaku. Apabila kami tidak pulang sehingga jam 7.45 malam, abah mengambil keputusan untuk memberitahu Tok Empat Kampung tentang hal ini. Apatah lagi bila bapa Mie, Zamree dan Faizal memberitahu perkara yang sama. Operasi mencari bermula pada jam 8.00 malam. Dan kami hanya dijumpai pada jam satu pagi!

 

Lubuk Tali Air Berpuaka

 

Semenjak hari itu, aku dan kawan-kawan tidak lagi berani keluar memancing di kawasan ‘bonda’ berkenaan. Aku tidak tahu mengapakah aku tidak terasa sudah duduk memancing sambil bertinggung di kawasan itu hampir tujuh jam lamanya. Namun, aku bersyukur, aku dan kawan-kawan selamat.

 

Memori ini walaupun sudah hampir 20 tahun berlalu, namun ia segar dalam ingatan kerana itulah kali terakhir aku memancing bersama rakan-rakan baik di kampung. Sesungguhnya, benarlah kata orang-orang tua dahulu, selain kita sebagai penghuni dunia, ada lagi makhluk Allah yang berkongsi bumi yang sama.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI