Belum pun reda isu pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang menjejaskan kesihatan ribuan penduduk berhampiran, tidak mustahil insiden yang sama berlaku di Pulau Indah, Klang pula.
Kelmarin Harul GMK, admin kelab pancing Facebook (Geng Menebing Klang) ada memuat turun foto dan video ikan-ikan siakap yang mati dipercayai berpunca dari pencemaran sungai.
Menurut Harul, sesiapa saja yang pernah masuk ke Lebuhan Gurap, Pulau Indah akan dapat melihat tahap kualiti air sungai yang seperti warna oren apabila surut habis.
Beliau percaya kejadian itu berpunca dari pencemaran bahan-bahan sisa buangan ke dalam anak sungai tersebut.
Ahli kelab tersebut turut sependapat dengan beliau apabila memuat turun komen dan pernah melihat pontoon (tongkang) membuang sisa besi ke dalam sungai.
Ads
Tambah menyakitkan mata apabila melihat pelbagai spesies ikan terutamanya siakap bersaiz besar 5-7kg mati begitu saja.
Ads
Saksikan video kiriman beliau:
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Setiap kali ada kelapangan, pasti saya dan rakan-rakan dari Pulau Pinang akan turun ke port biasa kami, iaitu tasik bersia di Gerik, Perak. Lapangan pancing ini merupakan port biasa kami ‘melampiaskan nafsu serakah’ memancing.
Selalunya kami akan bertolak dari kediaman masing-masing selepas waktu Isyak dan rakan-rakan dari pulau pinang akan menjemput saya di Kuala Ketil, Kedah. Sesudah memuatkan barang keperluan Ke dalam kereta,kami akan meneruskan perjalanan ke gerik melalui Lebuhraya Kulim-Baling-Gerik.
Perjalanan melalui lebuhraya ini menyingkatkan waktu perjalanan selama hampir satu jam berbanding jika melalui jalan lama Baling – Pengkalan Hulu – Gerik . Tiba di bandar Gerik, kami akan bermalam di hotel Great Wall dengan kadar bayaran yang berpatutan.
Kami semua bangun pada awal pagi, dan sesudah menunaikan solat subuh, kami Langsung menuju ke Pasar Gerik bagi membeli keperluan makanan sepanjang memancing nanti, selalunya nasi lemak bersebelahan stesen Petronas yang akan kami tapau, kerana rasanya yang sedap dan tahan lama.
Setelah selesai urusan membeli makanan, kami terus menuju ke Kampung Bersia, di mana tauke bot, saudara Izan sudah menunggu. Beliau mengusahakan servis sewaan bot tanpa enjin dengan kadar harga RM50 bagi seharian memancing. Bagi kami kos ini amat berpatutan, namun yang lecehnya terpaksa bawa enjin sendiri.
Telah diketahui bahawa Bersia merupakan lubuk toman gadang yang termasyhur di utara, dengan rekod tangkapan ikan toman mencecah belasan kilogram di sini.
Walaupun Bersia adalah sebuah tasik jaringan sungai utama yang kecil, yang terbina dari Sungai Perak yang tenggelam akibat pembinaan Empangan Hidroelektrik Bersia. Stok ikan sebaraunya juga masih mewah dan tomannya pula masih tidak culas membaham gewang.
Kami akan memulakan pancingan pada awal pagi lagi kerana mengejar waktu ‘makan’ sebarau. Tabiat sebarau yang aktif waktu pagi dan petang membuatkan kami terkejar-kejar masa keemasan ini. Namun sebaliknya pada tengah hari lah waktu paling sesuai menjinakkan ‘gangster’ Bersia ini iaitu sang toman.
Toman di sini amat diketahui tinggi daya juangnya jika terkena gewang, sehinggakan banyak gewang terpaksa disedekahkan kerana perambut putus atau split ring terkangkang. Inilah cabaran yang dilalui ketika bergasak dengan samseng ini.
Saiz toman yang sering ditewaskan adalah Sekitar 3-6 kilogram. Bergasak dengan samseng, merupakan satu kepuasan yang maksimum.
Berikut beberapa kisah tangkapan ikan tapah gergasi yang pernah mewarnai akhbar arus perdana negara kita.
Tapah 60 kg (Harian Metro – 29 Jun 2016)
Penduduk Kampung Blok G Sawah Sempadan, Tanjung Karang, yang suka memasang taut di tebing Sungai Tengi tidak menyangka berjaya menangkap seekor ikan tapah gergasi seberat 60 kilogram.
Arbany Satimin, 59, yang dikenali Sidang Nandong berkata, ikan itu memakan umpan ikan keli yang dipasang rakannya.
“Ini adalah kali pertama kami dapat ikan sebesar ini dan memang kami tidak sangka sebab sebelum ini tangkapan paling besar pun sekitar enam kilogram saja.
“Walaupun kejayaan mendaratkan ikan tapah gergasi ini berlaku kira-kira dua minggu lalu namun ia masih meniti di bibir dalam kalangan penduduk setempat seolah-olah kejadian berkenaan baru berlaku semalam,” katanya.
Albany berkata, sebelum ini sebanyak 60 taut dipasang sepanjang dua malam sebelumnya dan setiap pagi dia memeriksa taut berkenaan.
“Selain dapat ikan tapah gergasi, beberapa spesies ikan sungai lain seperti belida, baung dan ketutu turut menjadi rezeki saya pada hari itu,” katanya.
Tapah 70 kilogram (Harian Metro – 16 Ogos 2017)
Seorang penduduk tidak menjangka jaring ikan yang dipasang di Sungai Beriah berhampiran Kampung Matang Pasir, Alor Pongsu, Bagan Serai, memerangkap ikan tapah seberat lebih 70 kilogram.
Muhammad Amirul Jamaludin berkata, kira-kira 7 pagi hari ini, dia bersama bapa, Jamaludin Mahmud, 60, dan adik, Muhamad Aiman Jamaludin, 19, terkejut melihat kelibat sesuatu yang besar tersangkut pada jaring. Menurutnya, selepas diamati dari dekat, ternyata ia adalah ikan tapah yang besar tersangkut pada jaringnya.
“Jaring ini dipasang pada petang semalam dan akan diperiksa hasilnya pada waktu pagi.
“Kami terkejut apabila mendapati jaring yang dipasang itu mengena ikan tapah gergasi itu lalu membawanya pulang,” katanya.
Dia berkata, atas permintaan penduduk kampung, ikan itu disiang dan dijual kepada penduduk dengan harga RM35 sekilogram.
“Alhamdulillah hasil jualan ikan ini kami memperoleh lebih RM2,000 dan selebihnya ada disedekah kepada penduduk.
“Sepanjang memasang jaring di sungai, ini adalah pertama kali kami memperoleh ikan tapah gergasi dan bersyukur dengan kejadian ini,” katanya.
Tapah 50 kg (Sinar Harian – 7 April 2017)
Penduduk Kampung Jerantut Feri digemparkan dengan kemunculan ikan tapah seberat hampir 50 kilogram dan sepanjang 1.5 meter yang ditangkap oleh salah seorang nelayan darat di situ.
Nelayan berkenaan, Roslan Mohamad Napiah, 45, berkata, dia menangkap ikan itu menggunakan sauk besar dikenali sebagai candit. Roslan yang bekerja sendiri memberitahu, Isnin lalu dia turun ke sungai jam 10.30 pagi untuk meninjau keadaan sangkar ikan miliknya yang dikongsi bersama rakan.
Tambahnya, selepas melihat sangkar ikannya, dia kemudian mencandik ikan di sungai menggunakan bot dan candik miliknya.
“Masa tengah candik ikan, tiba-tiba candik saya direntap kuat. Lepas tu saya tengok ikan yang tersangkut pada candik adalah ikan tapah.
“Disebabkan disentap agak kuat, saya terlepas candik tu. Masa tu kecewa juga. Tapi dalam 15 minit kemudian saya nampak candik saya tersangkut pada sangkar ikan.
“Saya tengok ikan tu masih lagi tersangkut pada candik. Disebabkan tak boleh bawa bot ke situ, saya pun berenang dan tarik candik ke tebing, tangkap dan letak ikan tapah dalam bot,” katanya.
Roslan berkata, selama lebih lima tahun menjadi nelayan darat, itulah kali pertama dia melihat dan menangkap ikan tapah sebesar itu.
“Saya kemudian menyeberang ke tebing sungai belakang rumah dan panggil isteri untuk sama-sama angkat ikan tapah tu.
“Ikan itu mempunyai kepanjangan melebihi ketinggian saya, ekor masih mencecah tanah walaupun kepala berada di bahu saya,” katanya.
Menurutnya lagi, berita penangkapan ikan tapah itu tersebar melalui aplikasi WhatsApp dan sebaik dinaikkan ikan itu, penduduk mula mengerumuni rumahnya.
“Saya minta bantuan rakan dan mereka cadang saya jual ikan tu ikut kilo kepada penduduk. Kami menjualnya di simpang masuk tapak pasar malam Jerantut Feri.
“Kami timbang ikan tu dan dapati beratnya cecah lebih kurang 50 kilogram. Sekilo ikan tapah saya jual RM40 dan telah terjual sebanyak 30kg.
“Saya anggap ia rezeki kami dan anak. Wang saya peroleh dapat saya belanja untuk keluarga,” katanya.
Roslan berkata, ikan tapah yang ditangkapnya itu betina berdasarkan telur seberat dua kilogram yang ditemui dalam perutnya.
“Telur ikan tu saya agih kepada rakan yang bantu jual. Saya ambil bahagian kepala ikan untuk dimakan bersama keluarga,” katanya.
Penangkapan ikan tapah besar itu sekali gus menaikkan nama Roslan yang juga dikenali sebagai Lan Tapah kerana dia sering berjaya menangkap ikan tapah yang jarang diperoleh itu.
Setelah tiga bulan merancang, Alhamdullilah perancangan yang diatur oleh Encik Mahfiz selaku trip organizer akhirnya menjadi kenyataan.
Perairan Pulau Tioman, itulah destinasi pancingan kami. Trip kali ini terdiri daripada 6 sahabat dan kenalan iaitu Encik Mahfiz, Haji Azmi, Zul Gemang, Rozikim, Rofizi dan Mahmud.
Selesai solat Subuh, kami semua berkumpul di Kota Tinggi, Johor untuk bersarapan terlebih dahulu sebelum bertolak ke Mersing. Air muka masing-masing terpancar ceria dan tidak sabar untuk beraksi dengan ‘kelengkapan alatan perang’ masing-masing.
Setibanya di Mersing, kami singgah sebentar di sebuah kedai menjual peralatan memancing. Beberapa peralatan yang dirasakan masih tidak mencukupi, segera kami topup.
Tidak terkecuali umpan udang hidup dibeli sebanyak RM100 (170 ekor) sebagai taruhan selain bekalan makanan.
Oleh sebab ada sebuah kedai yang cukup terkenal menjual keropok lekor di sini, kami turut ‘tapau’ sebagai bekalan sarapan pada hari kedua.
Langkah pertama
Selepas selesai memunggah barang ke dalam bot dan menyimpan kereta, bermulalah perjalanan trip ini yang akan dikemudikan oleh Tekong Rosli dan awak-awaknya Pak Mat Siren.
Masing-masing kemudiannya berdoa daripada-NYA memohon agar dilindungi dari bahaya dan mendapat rezeki yang banyak.
Kami tiba di lokasi pertama sekitar jam 12.35 tengah hari dan masing-masing tidak sabar untuk melabuhkan pancingan joran mereka. Pak Mat sempat mengusik kami semua dengan berkata “Kita tengok dapat lesen dahulu”.
Tidak sampai 5 minit, kekili Banax GT4000 milik Haji Azmi melentur kuat sambil kami berdebar menanti apakah ikan lesen pertama yang dinaikkan.
Tidak lama kemudian, seekor bawal cermin dalam skala 2 kg timbul di permukaan, sambil Hj Azmi tersenyum lebar.
Sedang Haji Azmi sibuk bergambar dengan ikan miliknya, Pak Mat Siren pula berteriak di bahagian depan bot sebelah kanan tekong dengan berkata,
“Haaa… Giliran aku pula, tengok-tengok siapa yang belum dapat lesen” sambil menggunakan teknik ambor tangannya pantas menarik naik tali ambor.
Puas juga, Pak Mat Siren berantakan melayan spesies yang menyambut ambornya ke kiri ke kanan dan akhirnya maka muncul seekor jemuduk berskala 3 kg.
Barulah kami tahu, kehebatan Pak Mat Siren bukan sahaja dari ‘suaranya yang kuat seperti siren’ tetapi juga skill dan teknik memancing ‘ambor’ nya.
Sedang saya dan rakan yang lain belum dapat ikan, Mahfiz yang duduk di belakang bot pula yang terkena ‘karan’. Rod Eupro PE 1-3 dihenjut kuat ke bawah, manakala Shimano Stradic 4000 laju memuntahkan tali.
Mahfiz berantakan melayan dengan cool aksi spesies yang menyambut umpan udang hidup miliknya dan akhirnya beliau berjaya mendaratkan ebek berskala 4 kg dengan dibantu gancu oleh tekong Rosli yang sentiasa bersedia membantu kami semua.
Hotspot kedua.
Syok memancing ikan, sampaikan terlupa perut kosong. Kebetulan pula, Pat Mat Siren bertanyakan “Ha..korang nak makan ikan mana satu ni”.
Lantas ebek pertama Mahfiz dipilih dan menunya masak asam pedas taucu campur sayur kacang bendi sebagai hidangan tengah hari. Fuhh… tak tahu nak bayangkan, sedap betapa lazatnya makan ikan segar.
Selepas makan, kami menyambung kembali tugasan. Laut kuat bergelora dan beberapa orang rakan termasuk saya ‘tumbang’ (muntah).
Apa lagi kami semua masuk ke kabin mencari port untuk berehat dan tidur. Sebaik terjaga, bot tekong sudah pun sampai ke hot spot baru dan hari pun sudah beransur senja.
Rupa-rupanya geng di luar sedang rancak mencandat sotong. Tekong Ros agak sibuk membantu menyediakan umpan sotong segar dan selayang potong untuk jadikan umpan.
Sebaik sahaja hari beransur gelap, Mahfiz yang sejak tidak putus asa jigging di belakang bot, kelihatan bergasak dengan ikan pemangsa.
Tiba-tiba, kami dikejutkan dengan bunyi nyaring tali dari drag spool milik Mahmud yang keluar begitu laju. Automatik, saya dan rakan-rakan yang sedang melayan tidur ‘tercelik’ mata dan terus menumpukan perhatian pada Mahmud yang sedang beraksi.
Keadaan agak gelap sedikit menyukarkan apakah ikan yang telah memakan umpan hirisan selayang yang dihulurkan.
Selepas 30 minit bergasak, akhirnya spesies mega, iaitu pari seberat 27 kg berjaya dinaikkan. Kami sebenarnya terkejut, kerana jika melihatkan kepada set yang digunakan, ia bukanlah tandingan untuk menaikkan ikan sebesar ini.
(Joran- Abu Garcia Tournament Heavy Action 20 lb, Kekili- Shimano Sedona 4000, tali utama- Cobia 30 lb, perambut- Eupro GT 40 lb dan mata kail-Owner 5/0). Tetapi inilah bila dikatakan jika sudah rezeki, tidak ke mana.
Dalam dingin subuh, kami terus melayan. Haji Azmi yang menyepi sejak sekian lama, turut mendapat rezeki, kali ini ebek pula yang mendominasi tangkapan.
Selang beberapa minit kemudian, giliran saya pula menerima tentangan dan berjaya menaikkan ebek seberat 3.5 kg.
Tidak ketinggalan Wan juga berjaya menaikkan skala yang sama. Tidak sempat mengatur nafas, rod Protech Classic 25 lb yang dipadankan dengan Shimano FX4000, tali 30 lb dan mata kail owner 4/0 di uji lagi hampir 7 minit. Gerong belang saiz sedap dimasak kari berjaya dinaikkan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...