Cuaca sedikit tenang ketika kami mula bergerak meninggalkan Kuala Dungun. Dalam perjalanan tekong mengangkat 4 biji bubu beliau untuk mencari lauk makan tengah hari. Persiapan seperti biasa dengan bekalan kepingan umpan besi berketul-ketul yang dibeli di Hasya Joran, Sri Kembangan sehari sebelum bergerak ke destinasi.

 

Semua peralatan yang bakal digunakan sudah siap sedia menunggu masa sahaja. Kecuali muka baru yang lebih fokus pancingan dasar, 4 orang pemancing lagi begitu teruja untuk mengulangi pertarungan sewaktu trip tahun lalu.

 

Dengan kombinasi joran PE0.8 – 1.7 untuk dan ketika arus perlahan, PE1-3 pada waktu penggunaan jig 60 gm ke atas untuk sebelah malam. Kami jangka akan tiba di lokasi melewati waktu Asar, bolehlah bagi ruang dan tunjuk ajar kepada muka baru melabuhkan set pancing dasar mereka.

 

Jigging vs bottom

 

Lubuk 6.8 Batu Nautika Dari Pulau Tenggol

 

Kami memilih jig 45gm sebagai permulaan di kedalaman 150 kaki ketika arus lemah. Tiada masalah untuk jig mencecah dasar sebelum kayuhan rentak jigging dimulakan. Dalam kepenatan dan keletihan geng jigging mula terasa bahang apabila geng pemancing dasar sudah sedikit demi sedikit menunjukkan taring mereka. Bermula dari ikan kakap merah 6.5 kg sebagai pembuka episod ceria disusuli dengan seekor tenggiri yang turut menyambar umpan di dasar.

 

Patutlah banyak jig lebur setiap kali berlakunya strike. Belum sempat yang jigging berpeluang mengejar kedudukan, sekor lagi tenggiri terpedaya dengan lenggokkan ikan yang tergantung di permukaan air ketika pemiliknya baru hendak menurunkan umpan selayang hidup ke dasar.

 

Lebih manis apabila kedua-dua tenggiri tersebut tewas tanpa penggunaan kabel sebagai perambut. Malah perambut tangsi 90lb yang digunakan tidak menakutkan tenggiri yang selama ini culas dan takut dengan penggunaan perambut yang kasar.

 

Lubuk 6.8 Batu Nautika Dari Pulau Tenggol

Ads

 

Strike bertalu-talu

 

Apa pun saiz cupak sudah sesuai dengan set jig yang digunakan. Othman Paling bertuah apabila mengena seekor cupak paling besar pada malam itu. Ruang memancing ketika itu agak selesa kerana dari 7, tinggal 3 pemancing yang masih setia berada di luar kabin menahan kedinginan tiupan angin. Mujur ada strike dari cupak dan alu-alu sebagai penawar menahan rasa mengantuk.

 

Bila melakukan aktiviti jig, kita tak boleh pilih ikan, yang mana hentam jig, gasak sahaja. Sentuhan dari alu-alu selain memutuskan tali, ia membuatkan pemancing terpaksa bekerja keras mengikat semula FG knot dalam keadaan yang kurang selesa. Mahu atau tidak ini satu kemestian mengikat kembali shockleader yang terputus sebelumnya. Sebelum ramai yang memilih untuk berehat, satu-satunya joran dasar yang dilabuhkan mengena seekor lagi kakap merah.

 

Lubuk 6.8 Batu Nautika Dari Pulau Tenggol

 

Awal pagi pada hari kedua, bot kami masih lagi bertahan di lokasi yang sama. Ketika kaki jigging masih lagi mendapatkan rehat yang secukupnya di kabin, geng pancing dasar mengambil alih kedudukan termasuk tekong kami.

 

Masa untuk memancing ikan cermin bermula setelah beberapa ekor selayang disambar ikan cermin purata saiz melebihi sekilo. Boleh tahan juga ikan cermin yang rakus dengan umpan selayang hidup di awal pagi. Kebetulan tempat yang sama terdapat anak ikan yang dipancing menggunakan set apollo.

Ads

 

Umpan hidup

 

Cermin spesies ikan yang datang meronda sesekali di kawasan tempat kami berlabuh umpan sebab itu serangan kumpulan cermin tidak berterusan. Sekejap makan kemudian hilang dan datang semula. Mata kail 3/0 sebentuk diikat pada perambut 50 lb sudah mampu bertahan dari asakan cermin.

 

Lubuk 6.8 Batu Nautika Dari Pulau Tenggol

 

Dalam masa yang sama juga kehilangan mata kail dan hasil tidak dapat dielakkan kerana alu-alu banyak lagi berterusan mengikuti pergerakan umpan kami. Ketika yang lain fokus melayan ikan cermin, set pancing Junhairi pula mengena sekor ikan ebek yang menelan sotong kurita yang disasarkan kepada kakap merah dan jenahak.

 

Bayangkan sotong yang sama berjaya mengena sekor kakap merah disusuli ebek pertama dan ebek kedua sebelum sotong tertanggal dari mata kail ketika melayan asakan ebek kedua. Melihat kehadiran ebek, geng jigging tidak senang duduk. Dalam usaha yang berterusan hanya seekor sahaja ebek terperdaya. Pada masa yang sama, sekor lagi tenggiri berjaya ditewaskan dengan set pancing dasar.

 

Ads

Lubuk 6.8 Batu Nautika Dari Pulau Tenggol

 

Dalam perbincangan awal kami merancang untuk memancing dua malam di lokasi sama kerana tarikan ikan dasar buruan iaitu jenahak dan kerapu boron cukup kuat panggilannya memaksa kami bertahan. Menyedari sotong yang dibeli di pasar tidak lagi segar, tengah hari itu kami banyak berusaha mendapatkan bekalan ikan selayang hidup dan tamban segar.

 

Sambil layan apollo, sempat juga kami melayan kumpulan belitung tadika yang sering meronda hampir dengan kedudukan bot. Sebelum ini saiz sekitar 5 kg seekor, kali ini yang bertamu kurang dari 2 kg tapi masih lagi rakus menghambat umpan hidup yang dihulurkan.

 

Cuaca tidak menentu

 

Cuaca yang tidak menjanjikan apa-apa pada petang hari kedua bertambah garang. Angin timur bercampur utara mula menolak bot melawan pergerakan arus. Di kaki langit awan gelap mula berkumpul dari ketulan kecil menjadi gerombolan awan pekat dan bercahaya. Masa untuk beredar menurut tekong kerana cuaca begini bot akan berada dalam keadaan tidak selesa. Kalau bertahan ia berdendang lagu sedih tambahan pula aktiviti memancing terlalu merbahaya.

 

Lubuk 6.8 Batu Nautika Dari Pulau Tenggol

 

Hasrat untuk bermalam di lokasi tersebut dibatalkan sambil membiarkan tekong mengemudi haluan bot mencari perlindungan di Pulau Tenggol yang sudah tidak kelihatan ketika itu. Waktu untuk melabuhkan badan mana tahu malam nanti cuaca elok boleh sambung memancing lagi.

 

Kami tidak sedar lagi selepas itu hanya membiarkan tekong meneruskan perjalanan ke destinasi yang selamat dari haluan angin dan hujan. Melihat kedudukan gps ketika deruan enjin bot tidak lagi berbunyi ialah 6.8 batu nautika dari Pulau Tenggol.

 

Kedudukan baru ialah di tengah antara pantai Teluk Lipat dan Pulau Tenggol. Laut agak tenang dan arus hampir tidak bergerak langsung. Sukar memancing apabila bot sering berpusing tidak menentu. Cuma yang jigging sahaja masih berusaha sementara pemancing dasar meneruskan pancing mimpi mereka. Begitu pun misi hujung monsun dikira berjaya juga.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI